Cari Blog Ini



Allah Telah Menjanjikan Kepada Orang-Orang Yang Beriman Dan Mengerjakan Amal Sholeh Untuk Menjadikan Mereka Sebagai Khalifah Di Muka Bumi Ini Sebagaimana Ia Telah Menjadikan Orang-Orang Sebelum Mereka Sebagai Khalifah, Menyebarkan Bagi Mereka Agama Yang Telah DiredhoiNya Untuk Mereka Secara Merata Dan Menggantikan Ketakutan Mereka Dengan Rasa Keamanan (sehingga) Mereka Dapat Menyembah-Ku Dan Tidak MenyekutukanKu. Barangsiapa Engkar Setelah Itu, Merekalah Orang-Orang Yang Fasiq-An-Nur : 56


Wahai Orang-Orang Yang Beriman Barangsiapa Dari Kalian Berpaling (murtad) Dari Agamanya Maka Allah SWT Akan Memunculkan Sekelompok Kaum Yang Dia Cinta Mereka Dan Mereka Juga MencintaiNya -Al-Maidah :54


Ternyata Sekarang Ini Dunia Telah Dipenuhi Dengan Pemimpin Zalim Baik Dari Negara Kafir Mahupun Dalam Negara Muslim Sendiri...


Namun Masanya Sudah Hampir Tiba, Dunia Akan Diwarisi Oleh Hamba-Hamba Tuhan Yang Sholeh. Dia Akan Memenuhi Dunia Dengan Keadilan Setelah Dunia Ini Dipenuhi Dengan Kezaliman Para Pemimpin..




Penyelamat Umat Itu bakal Datang tidak lama lagi...!!!

PeNGiKuT NaN SeTia..

Khamis, 5 September 2024

Kenangan Mengusik Jiwa - Tulisan tanpa noktah, jalan tanpa hujung.

     Ranjau Kehidupan

     Sesungguhnya kehidupan ini banyak cabarannya, banyak ragamnya serta di penuhi dengan tipu daya. Aku hanyalah insan kerdil di antara berbilion-bilion umat manusia. Dalam tempoh dua puluh enam tahun rasanya sudah terlalu banyak onak dan duri yang aku redah. Dari kehidupan penuh kegelapan ke kehidupan penuh cahaya. Dari dunia kejahatan ke dunia kebaikan. Alam cinta palsu yang penuh khayalan hingga mencapai cinta sejati yang penuh nikmat telah kuselami. Kini aku sedang alami kehidupan yang kurasakan aneh dari sudut gerak-geri, aneh dalam fikiranku dan aneh pada zahir dan batinku. Oh! Suatu kehidupan yang misteri dan luar biasa. 



   

Sesungguhnya kehidupan yang telah aku tempuh setakat ini terlalu mencabar, terlalu banyak duri dan rasanya sukar untuk berdiri tegak dan berjalan lurus. Aku sedar bahawa putaran kehidupan ini amat pantas dan tiada tanda akan berhenti. Aku juga sedar bahawa aku masih harus melangkah jauh, menempuh jalan yang berliku untuk sampai ke destinasi. Seketika aku berfikir bahawa segala onak ranjau dan duri yang telah aku tempuh, itu masih sedikit berbanding dengan apa yang akan aku hadapi nanti. Segala kerumitan dan segala tipu daya itu hanya seumpama tusukan jarum di telapak kaki kerana aku percaya bahawa ada perkara yang lebih besar menantiku di langkah-langkah yang seterusnya.. Lantas aku merenung diriku, apakah aku sanggup menghadapi itu semua? Dapatkah aku bersabar dengan segala ujian hidup ini? Dapatkah aku mencapai matlamat hidupku? Semua persoalan ini belum ada jawapan yang pasti.

     Pada suatu ketika aku merasakan bahawa aku adalah insan ang paling bahagia di alam ini yakni ketika aku di resapi madu cinta dunia yang penuh khayalan. Namun ada ketikanya aku merasakan bahawa akulah insan yang paling malang di alam ini yakni ketika aku di racun oleh kepalsuan cinta dunia.

     Telah tersurat di dalam lipatan sejarah hidupku yang dilahirkan dengan sifat yang lemah tetapi keras kepala. Sifat lemahku ini menghalang aku menguasai lawanku. Aku terpaksa menerima kekalahan dan pengejian. Namun dengan sifat keras kepala aku sanggup menghadapi kekalahan demi kekalahan. Aku tidak pernah serik menghadapi situasi yang buruk itu. Meskipun aku pernah meraung akibat dikalahkan tetapi hari berikutnya aku masih menghadapinya lagi. Begitu juga dengan kejian yang aku terus menghadapinya hari demi hari. Aku terus menerimanya meskipun merasakan pahitnya.

     Aku Malu

     Apabila usiaku meningkat dan pergaulanku semangkin luas, aku telah dikuasai sifat malu tetapi mudah mesra. Aku malu menatap wajah orang asing apatah lagi untuk  berbalas pandang dengan kaum hawa. Sifat maluku ini menyebabkan diriku tidak ramai kawan. Setiap kali aku bertemu dengan orang baru, terlalu berat rasanya bibirku ini untuk melontarkan kata-kata. Hendak bertentang mata bagaikan tiada daya. Maka aku pun dikatakan orang sebagai seorang yang sombong. Apakah daya aku.. Tetapi anehnya, setiap orang yang telah mengenali aku, mereka mengatakan aku adalah seorang yang mudah mesra dan sentiasa memberikan perhatian terhadap diri mereka. Apa yang sebenarnya yang aku lakukan terhadap mereka adalah, aku hanyalah pendengar yang teliti apabila berada di samping mereka. Jika bicaraku di pintas, tidak mengapa. Aku hanya akan berbicara apabila mereka bersedia untuk mendengarnya. Aku tidak sekali-kali akan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap mereka. Jika memuji pula, aku lebih suka memuji mereka secara terang-terangan. Hanya itu yang aku lakukan.



     Sesunguhnya perkenalanku dengan kaum hawa sangatlah sedikit kerana aku sangat pemalu. Mahu menghampiri mereka saja sudah mengeletar anggota tubuhku, apatah lagi hendak berbual dengan mereka. Ada di antara mereka yang menaruh minat terhadap diriku, namun merasa kecewa kerana aku seorang yang sombong dan ego, itu kata mereka. Entahlah kenapa aku di tuduh sedemikian.. Suatu ketika aku mendengar sekumpulan wanita bertanya sesama mereka, "siapakah yang memiliki senyuman yang begitu menawan?" Maka dijawab oleh beberapa orang di kalangan mereka, "dia adalah seorang lelaki di kalangan kita, tetapi dia sentiasa menjauhkan diri dari kita.." ( dialog ini terjadi ketika aku berkerja di kilang Ocean Industri. Majoriti pekerja kilang ini perempuan dan hanya sedikit pekerja lelaki) Aku hanya mampu melahirkan senyuman seperti yang mereka maksudkan, tidak lebih dari itu.

     Khayalanku

     Sesunguhnya apabila aku mengenangkan kembali zaman kanak-kanakku, ada manis tetapi banyak pahitnya, ada suka tetapi banyak dukanya. Begitulah yang telah tersurat. Tabiat masa kecilku , terlalu suka menyendiri, suka berkhayal. Biasanya aku suka bermain di halaman rumah, menjadikan beberapa batang kayu sebagai lori atau kereta, membentuk pasir dan tanah liat menjadi rumah, istana dan gua serta membina jalan raya. Dari sini aku mula menghidupkan cerita khayalanku dan terus leka bermain dan tenggelam dalam cerita khayalan yang panjang sehingga ibu menyedarkan aku.



     Ketika di bangku sekolah rendah, aku membuat lakaran kartun kecil di setiap sudut muka surat buku. Setiap satu muka surat, lakaran diubah secara detail, sehingga bila setiap muka surat buku itu di selak dengan pantas kelihatan seolah-olah lakaran itu bergerak. Rakan sekelasku begitu berminat lantas mereka berebut-rebut untuk menyaksikannya. Ketika aku di dalam darjah enam, aku mula melukis komik. Kebanyakan watak-watak di dalamnya aku ciplak dari watak-watak yang pernah aku baca dari buku cerita dan yang pernah aku lihat di tv. Cerita yang aku buat adalah hasil dari khayalanku. Pada awalnya jalan cerita yang aku buat itu mendatar sahaja. 

     Setelah aku naik tingkatan satu, aku dapat menghidupkan jalan cerita yang lebih bervariasi, penuh aksi. Beberapa rakanku pula mengesyorkan untuk aku mengarang cerpin. Menurut mereka aku lebih baik mengarang daripada melukis kerana kata mereka lukisan aku itu buruk. Tidak lama kemudian aku telah menghasilkan majalahku sendiri. Aku hasilkan ia sebulan sekali. Majalah yang tidak bernama itu mengandungi dua buah komik bersiri, sebuah komik pendek, sebuah cerpin, sebuah novel bersiri dan dua buah pantun. Aku berhasil mendapatkan beberapa orang pembaca tetap yang membacanya dengan percuma. 😀 Majalah ini dapat bertahan selama enam bulan, selepas itu aku menjadi malas dan tidak mengarang lagi..

     Corak hidupku berubah menjelang umurku lima belas tahun. Aku sudah mula menghisap rokok, tidur di dalam kelas, ponteng sekolah dan pelbagai lagi sikap burukku yang lain. Maka segala karya ciptaanku mati setakat ini sehingga aku meninggalkan bangku sekolah. 

     Beberapa tahun kemudian aku cuba menghidupkan kembali daya khayalku. Aku ingin menulis seperti dahulu tetapi apakan daya aku tidak lagi mampu berbuat demikian. Mungkin zaman kegemilangan itu hanya akan tinggal kenangan dalam hidupku. Walaupun ada juga aku menulis sedikit di masa lapangku namun ianya umpama 'hidup segan, mati tak mahu'. Begitulah keadaannya.

     Muzik

     Sejak zaman kanak-kanak aku begitu berminat dengan muzik. Ini agak aneh kerana rumahku tidak memiliki radio. Keluargaku miskin. Ayah cuma bekerja sebagai buruh di sebuah kilang simen. Gajinya murah. Ibuku pula tidak bekerja kerana sibuk memelihara kami lima beradik. Apa yang aku ingat, aku mendengarnya dari radio yang bergema dari rumah jiran-jiran. Apabila aku mendengar irama muzik itu, aku menghayatinya dengan penuh perhatian.

 


     Semasa aku di dalam darjah enam, barulah bapaku membeli sebuah radio kecil lantas dengan serta-merta minatku ini bertambah mendalam. Setiap lagu yang popular aku tahu siapakah penyanyinya dan menghafal liriknya.. Aku telah menyediakan sebuah buku tulis khas untuk aku menyalin lirik-lirik lagu tersebut. Setelah aku menduduki sekolah menengah, sesuatu yang aneh berlaku lagi. Kini aku tidak lagi memperdulikan lirik-lirik lagu yang aku dengar, kerana aku sudah merasa bosan dengan lirik yang kebanyakannya hanya bercerita tentang cinta, kecewa kerana putus dalam percintaan yang berulang-ulang dari dulu hingga sekarang. Sebaliknya aku hanya menumpukan hanya pada alunan seni muzik yang dimainkan. 

     Aku mula belajar nama jenis-jenis muzik yang aku dengar sehingga pada akhirnya aku dapat mengenali apa jenis muzik yang mereka mainkan. Seterusnya aku mula berminat dengan muzik yang berirama rancak. Dari hari ke hari irama muzik yang aku minat semangkin meningkat, dari irama rancak ke irama yang lebih keras yakni Heavy Metal. Seterusnya lebih meningkat ke arah Thrash Metal dan akhirnya mencapai kategori Black Metal. 

     Pada suatu hari aku telah memiliki sebuah gitar. Berbekalkan gitar ini aku maju setapak lagi dalam hal mempelajari muzik. Aku tidak mampu hendak pergi belajar di sekolah muzik, aku hanya belajar dengan seorang rakanku. Belum banyak yang aku belajar, tiba-tiba gitar kesayangan aku ini hilang, mungkin seseorang telah mencurinya.. Aku sangat kecewa.

     Radio

     Ada satu barang yang aku sangat berminat yang mana dari sekolah rendah sehinggalah aku sudah bekerja aku memilikinya. Barang itu adalah sebuah radio. Pertama kali aku memilikinya adalah semasa aku masih bersekolah di dalam darjah enam. Radio ini adalah hadiah dari ayahku kerana aku telah memperolehi markah yang tinggi dalam Peperiksaan Penilaian. Sebuah radio kecil yang sentiasa menjadi temanku ke mana saja aku pergi. Apabila ia rosak aku sangat susah hati dan berusaha mendapatkan yang baru. Semasa di dalam tingkatan tiga, aku memperolehi sebuah radio yang lebih besar dan berfungsi lebih baik. Radio ini mempunyai tiga gelombang. Aku sangat berminat menelusuri siaran-siaran luar negara pada 'gelombang pendek' (sw). 

     Pada suatu ketika, secara tidak sengaja aku dapat menemui siaran 'suara malaya' yang dipancarkan oleh pihak komunis yang aku tidak tahu dari mana dipancarkan, siaran 'suara vietnam' dalam Bahasa Indonesia dipancarkan dari Negara Vietnam sana. Seterusnya terdapat beberapa siaran dalam Bahasa Indonesia yang dipancarkan dari serata dunia yakni dari Amerika, Uni Soviet (USSR) (sekarang Rusia), British, Jerman dan termasuk juga dari pulau-pulau kecil di Lautan Pasifik. Aku cuba juga mencari siaran luar negara di dalam Bahasa Melayu, memang ada tetapi tidak banyak, yakni siaran BBC London, Suara Amerika dan beberapa lagi yang aku sudah lupa. Dalam banyak-banyak siaran, ada yang aku sangat berminat dengannya, yakni siaran dari Australia Brocasting Internasional dalam Bahasa Indonesia. Aku sangat meminatinya kerana ada rancangan 'Top 10 lagu paling popular di Amerika', 'Top 10 lagu popular di Britain' dan 'Top 40 lagu di Australia', masing-masing bersiaran pada petang hari jumaat, sabtu dan ahad. Seterusnya aku berminat juga mendengar siaran dari 'Suara Amerika' pada malam sabtu kerana ada menyiarkan rancangan 'Top 40 lagu popular di Amerika' dan mendengar siaran BBC London yang menyiarkan rancangan 'Top 40 lagu popular di Britain' pada petang hari sabtu. Ya, nampaknya waktu siaran bertindan jadi aku terpaksa mendengar bergilir-gilir setiap minggu atau kadang kala aku tinggalkan siaran yang lain mengikut kesukaanku pada suatu lagu yang menjadi popular pada minggu tersebut. Jadi pendek kata, siaran-siaran radio yang aku sangat minat itu sangat kuat kaitannya dengan minat aku terhadap muzik.

 


     Masa berlalu, kemudian apabila aku sudah bekerja, aku memiliki sebuah radio 'mini compo' yang mana fungsi utamanya adalah untuk mendengar kaset. Bermula dari saat ini aku mula membeli kaset-kaset kumpulan muzik yang aku gemari. Namun oleh kerana aku tidak punya banyak wang, kebanyakan kaset-kaset yang aku beli adalah hasil dari 'cetak rompak'. Kebanyakan kaset yang aku beli itu adalah dari kumpulan yang membawakan muzik berat berasal dari luar negara dan  juga dari kumpulan muzik rock tempatan.  Kaset yang paling banyak aku beli ialah dari kumpulan heavy metal barat bernama 'Iron Maiden'. Ada sepuluh album mereka yang aku miliki. Setiap kulit album sentiasa ada gambar 'Eddie' yakni syaitan pujaan mereka! Begitu banyaknya kaset-kaset yang aku beli sehingga penuh laci almariku dengannya. Begitulah.

     Budak Jahat

     Kali pertama aku ditanyakan tentang cita-cita, lantas aku menjawab bahawa aku ingin menjadi seorang ahli sains kerana aku sangat berminat dengan uji kaji yang kami lakukan di dalam kelas.  Wah! Hebat. Beberapa lama kemudian aku bercita-cita ingin menjadi seorang wartawan pula, kerana inilah yang paling serasi denganku, sesuai dengan bidang yang aku gemari yakni penulisan. Setelah aku kian dewasa, jelas sudah betapa susahnya untuk aku mencapainya apatah lagi setelah proses pembelajaranku terbengkalai. Rekod cemerlangku mula merosot teruk sebaik saja rentak hidupku menjadi tempang. Guru Besar sekolahku pernah berkata, "awak memiliki otak yang cerdas, sayangnya awak tidak menggunakannya dengan betul, nanti pasti awak akan menyesal.." 



     Sampai suatu masa, aku benar-benar menyesal. Aku menyesal kerana tidak mahu belajar dengan bersungguh-sungguh. Aku menyesal kerana sikap malasku dan aku menyesal kerana memilih jalan yang salah dalam kehidupanku. Namun apa boleh buat, nasi sudah menjadi bubur. Menangis air mata darah pun, itu tidak mungkin akan mengembalikan masa yang telah berlalu..

     Peringkat awal persekolahan, aku seorang murid yang suka menyendiri, hanya ada dua-tiga orang kawan. Kami sentiasa bersama. Ketika ini aku sangat tekun belajar. Semua buku habis kubaca. Aku pernah menduduki nombor tiga mengatasi tiga puluh lapan murid yang lain. Inilah kebanggaanku. Namun pada peringkat akhir sekolah rendah, aku menjadi lebih agresif. Walaupun begitu pelajaran masih aku kuasai dan masih berjaya mengatasi seratus murid yang lain. Apabila aku melangkah ke sekolah menengah, suasana mula berubah. Kawan-kawan semangkin ramai dari pelbagai bangsa namun tiada yang dianggap sebagai sahabat karib seperti di masa lalu. Aku juga memiliki sekumpulan kawan seramai tujuh orang yang sering melakukan pelbagai aktiviti bersama, aktiviti yang baik dan kebanyakannya aktiviti yang tidak baik. Oleh kerana aku terlalu aktif dalam kegiatan berkumpulan ini, pelajaran tidak lagi aku hiraukan. Tahap pelajaranku merosot teruk sehingga para guru yang mengajarku hairan. Apabila aku sudah bosan belajar maka hancurlah segala kehebatan yang pernah menjadi kebanggaan diriku. 

     Aku bersama kumpulanku selalu melakukan hal yang buruk. Pada setiap hujung minggu kami sering merayau-rayau di tengah bandar dan selalu tidak pulang ke rumah. Kami minum arak, hisap ganja, menonton video lucah, mencuri, memeras ugut dan bermacam lagi sehingga di suatu peringkat, aku pernah menjadi pembungkus, pembekal dan pengedar dadah. Pendapatan ini cukup lumayan, dapatlah aku membeli 'walkman' yang selama ini aku idamkan. Namun begitu setiap kejahatan akan menerima akibatnya. 

     Suatu ketika aku telah tertangkap, ketika aku mencuri sebuah kaset muzik rentak 'breakdance' di sebuah pasaraya. Ketika kejadian, aku masih belum cukup umur untuk dapat di penjarakan. Sebaliknya aku dikenakan hukuman masuk ke sekolah budak-budak jahat (JUVANA). Namun bapaku membuat rayuan agar hukuman aku dapat dikurangkan. Akhirnya aku hanya di hukum sebatan sebanyak 3 kali sebatan. Walaupun hanya disebat 3 kali, sakitnya amat pedih membuatkan aku tidak dapat tidur lena dan juga hanya mampu tidur secara meniarap kerana bahagian pinggulku tidak boleh disentuh apatah lagi untuk di tindih. Sepanjang malam aku menangis mengenangkan apa yang telah terjadi.

     Budaya Barat

     Aku salah seorang anak muda yang mudah terpengaruh dengan budaya barat. Sejak di bangku sekolah aku telah mengenali muzik rock. Pakaian harianku ringkas dengan hanya berbaju singlet dan berseluar jean lusuh bertampal di pinggul dan di ke dua lutut. Aku salah seorang yang sentiasa dahagakan konsert rock. Di mana sahaja ada konsert rock, di situlah aku akan berada walaupun duit di poket tidak sentiasa ada.

 


     Pada awalnya sangat jarang ada konsert sebegini kerana tiada pihak yang mahu menganjurkannya. Pada masa ini  aliran muzik rock terlalu asing di mata ahli muzik tempatan. Namun tidak lama kemudian album-album rock dari band luar negara tiba di pasaran Malaysia, bagaikan pisang goreng panas, berebut-rebut anak muda seperti aku membelinya. Kami yang kini di gelar 'Mat Rock' menjadi penggemar band-band rock seperti Kiss, Deep Purple, AC-DC, Sixon, Scorpion dan ramai lagi. Aku sendiri pada masa ini telah menjadi penggemar berat band heavy metal 'Iron Maiden' sebagaimana yang telah aku tulis di atas. 

     Di samping itu, sebuah aliran muzik baru juga telah menguasai pasaran Malaysia. Aliran muzik ini di beri nama 'New Wave' yang berasaskan alat muzik elektronik. Alat muzik elektronik ini dihasilkan oleh peralatan muzik seperti synthesizer, drum elektronik malah alat muzik yang dihasilkan oleh komputer. Dari sini terhasillah sebuah aliran muzik rock baru yakni 'Industrial rock' yang mengabungkan alat muzik tradisional dan alat muzik elektronik. 'Godflesh' adalah band yang beraliran Industrial Dead Metal yang mengabungkan kedua jenis alat muzik ini yang akhirnya telah menjadi salah satu aliran muzik yang sangat aku minati.

     

     Beberapa tahun kemudian, irama rock sudah mula mendapat tempat di pentas terbuka dan di tayangkan di tv. Media masa dan akhbar rasmi mula membicarakan perihal aliran muzik berat ini. Mereka mula membahas baik dan buruknya. Tidak lama kemudian beberapa kumpulan rock tempatan telah menerbitkan album mereka. Maka bermulalah era muzik rock di Malaysia. Band-band rock lahir bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Aku pula merasa bangga kerana telah menjadi salah seorang penggemar awal aliran muzik ini. 

     Beberapa lama kemudian, aku merasakan muzik yang dihasilkan tidak lagi menarik minatku. Bukan aku saja, semua mereka yang digelar 'Mat Rock' juga berperasaan sama seperti aku. Ada yang tidak kena dengan industri muzik ini. Terlalu banyak muzik perlahan (slow rock) dengan nada yang mendayu-dayu serta lirik percintaan dan kekecewaan. Muzik rock yang dicemari dengan alunan pop leleh dan susunan bunyi bising yang tidak di adun dengan teliti. Nampaknya industri muzik rock hanya fikirkan wang lalu mengabaikan kualiti muzik tersebut. 

     Kami para Mat Rock akhirnya memberontak, tidak lagi berminat membeli kaset-kaset rock keluaran tempatan sebaliknya hanya membeli kaset-kaset keluaran luar negara yang pastinya lebih enak di dengar. Apa yang lebih extreme lagi, para pemain muzik, yakni band-band rock itu sendiri mula beralih kepada industri underground yang mana mereka lebih bebas mencipta, menyusun dan memilih alur muzik mereka sendiri untuk di terbitkan. Tahap seterusnya kami tidak lagi suka dengan gelaran 'Mat Rock' sebaliknya kami mahu di gelar 'Mat Metal' pula kerana selepas ini kami akan terus berjuang dan memelihara kualiti muzik yang lebih keras ini. Begitulah kesudahannya.

     Bercerita tentang aliran muzik 'New Wave', ketika ini aku sempat terjebak dan hanyut di dalam kegilaannya. Kumpulan muzik seperti The Police, Culture Club, Duran-duran dan Eurythmic serta para artis seperti Donna Summer, Boy George, Prince dan banyak lagi telah menjadi kegemaranku. Pada masa ini juga dunia telah melahirkan seorang artis yang telah menjadi fenomena di seluruh dunia, siapa yang tidak kenal dengan 'Micheal Jackson'? Pasti hampir semua orang kenal.. Hampir semua lagu-lagunya aku pernah dengar dan beberapa di antaranya telah aku dengar berulang kali. Album 'Triller' menjadi salah satu album yang aku sangat suka. Filem muzikal yang dilakonkannya juga aku telah tonton beberapa kali. Sungguh mengujakan. Begitulah hebatnya demam muzik era baru, New Wave yang hari demi hari terus berkembang dan telah melahirkan banyak cabang muzik yang lebih bervariasi. Demikianlah ceritanya.

     Alam Pekerjaan

     Kisah di alam pekerjaan pula, aku adalah seorang yang sering bertukar-tukar kerja. Setelah meninggalkan bangku sekolah, aku bekerja sebagai seorang buruh binaan. Apabila aku tidak mampu lagi nak buat kerja berat itu, aku bekerja pula di sebuah kilang. Suasana di dalam kilang pula membosankan, lagipun gajinya murah, maka aku berhenti lalu bekerja semula  sebagai buruh binaan. Selepas mengalami sakit serta demam 'pelentung', atas nasihat doktor, aku berhenti bekerja di situ. Sekali lagi aku bekerja  di kilang 'gula kabung'. Hanya sebulan sahaja, aku berhenti bekerja di situ, aku bekerja pula di kilang kain. Di kilang ini aku bekerja agak lama dan di sinilah aku di kelilingi para gadis. Meskipun aku seorang yang pemalu, namun setelah berkenalan, aku mudah mesra dengan mereka. Ada seorang gadis yang sangat menyukai diriku dan ingin menjadi teman istimewa tetapi aku menolak keinginannya itu. Lama kelamaan aku bosan juga bekerja di situ lalu berhenti kerja. 



     Aku bekerja pula di kilang 'Zen Concrete Industri'. Di kilang ini aku telah mendapat ramai kawan. Di sini aku telah belajar bermain 'cator'. Permainan ini kemudiannya menjadi popular di kawasan kejirananku setelah aku memperkenalkan ia di kalangan rakan-rakan kejirananku. Setelah masa berlalu, aku mula bosan bekerja di sini dan berhenti kerja lagi.. Kemudian aku bekerja pula sebagai seorang 'juru jual'. Gajinya lumayan tinggi, tetapi di sini juga aku tidak dapat bertahan lama, bukan kerana jemu, tetapi kerana aku tidak pandai berbicara, tidak pandai memujuk dan merayu pembeli untuk membeli barangan yang aku jual. 

     Setelah berhenti bekerja sebagai seorang 'juru jual', aku bekerja pula sebagai seorang 'pemotong rumput'. Inilah pekerjaan yang paling lama dapat aku bertahan. Aku bekerja di sini selama tiga tahun. Selepas tiga tahun bekerja, aku berhenti. Banyak pekerjaan yang aku pernah ceburi seperti bekerja di restoran, juru pam minyak, pengawal keselamatan dan entah apa-apa lagi aku pun sudah lupa. Begitulah aku dalam dunia pekerjaan..

     Cinta dan Kasih Sayang

     Kini akan aku ceritakan babak percintaanku. Kisah percintaan yang penuh misteri dan penuh kekecewaan. Kata orang cinta itu indah dan penuh kenikmatan. Namun aku tidak menemui keindahan dan kenikmatan itu. Mungkin orang akan berkata, belum masanya untuk aku mendapatkannya. Namun begitu ramai mereka yang seusiaku telah menikmati keindahan cinta itu dan ada yang sudah berbahagia dengan pasangan mereka masing-masing. Atau sekuang-kurangnya mereka pernah merasakan kebahagiaan itu.

 


     Masih kuingat lagi ketika umurku empat belas tahun, aku telah diperkenalkan dengan seorang gadis yang seusiaku oleh sepupuku. Jamilah namanya, cantik wajahnya. Dia suka berkenalan denganku. Aku juga menyukainya. Alangkah gembiranya jika dapat berbual dan bermesra dengannya. Aku membayangkan dan berkhayal bermesra dengannya, alangkah indahnya saat itu. Tetapi apakan daya aku, aku terlalu malu untuk berbuat demikian, hendak bertentang mata pun aku tidak mampu. Betapa hampanya jiwaku. Beberapa kali sepupuku telah menyampaikan hasrat Jamilah untuk bertemu berdua denganku. Aku menolak kerana malu. Aku hanya mampu memandang dia dari kejauhan.. Sedang dia ternanti-nanti kehadiran diriku, aku pula sibuk melawan  ketakutan dan perasaan malu yang begitu kuat menguasai diriku. Akhirnya dia berlalu pergi setelah sekian lama menantikan kehadiran diriku. Segala keindahan dan kemesraan yang aku bayangkan dan aku dambakan itu musnah jua akhirnya. Sungguh menghampakan dan betapa kecewanya aku saat itu. 

     Di suatu majlis perkahwinan, aku terpikat pula dengan seorang gadis. Gadis itu adalah sepupuku, tetapi jarang aku temui dan tidak pernah berbual dengannya. Melalui orang lain, aku telah mendapatkan data peribadinya. Seperti biasa, aku malu untuk memulakan bicara dengannya. Namun pada kali ini aku memberanikan diri untuk menulis sepucuk surat untuknya. Alangkah gembiranya aku setelah menerima balasan darinya. 

     Namanya Norma. Dia sangat cantik. Senyumannya manis. Rambutnya berwarna perang. Suaranya lembut dan lunak di dengar. Itu membuatkan aku sangat menyukainya. Dia telah menjadi pujaan hatiku dan mimpi indah dalam tidurku. Pada suatu hari aku menggagahi diriku untuk berbicara dengannya. Akhirnya aku berjaya meskipun dalam keadaan yang bergemuruh. Inilah komunikasi sulung aku dengan kaum hawa! Walaupun hanya seketika tetapi hatiku melonjak kegembiraan. Sepanjang perkenalanku dengan Norma, aku jarang bertemu dia kerana aku masih takut dan malu dan juga kerana dia tinggal jauh di kampung. Kami hanya selalu berhubung melalui surat menyurat. Aku pernah meluahkan isi hatiku bahawa aku menyukai dia dan menyayangi dirinya melalui sepucuk surat. Lalu dia membalas dengan berkata, "kita berdua ni sepupu yang rapat, kiranya adik-beradik jugalah kita ni.." Lantas aku pun baru tersedar. Aduhai! Cinta ini sudah mula berputik di jiwa ini namun sudah salah sasaran.. Betapa kecewanya aku.

     Pada suatu hari, ada seorang gadis yang bernama Fauziah telah datang berkunjung ke kampungku. Dialah satu-satunya gadis yang telah mengucapkan kata cinta terhadap diriku. Dengan malu-malu aku membalas cintanya, tetapi bukan dengan kata-kata, hanya melalui warkah biru. Ketika cinta sedang mekar di hati, ada pula yang iri hati lalu memusnahkan cinta ini. Aku kecewa lagi..

     Dia yang seterusnya adalah gadis yang berjiran denganku. Kami sudah saling kenal sejak kecil lagi, tetapi jarang bertemu, jarang bergaul dan jarang bermain bersama kerana aku malu. Walaupun begitu, aku pernah juga bergurau senda dengannya dan merayau-rayau berdua dengannya di sekitar kawasan kejiranan kami ini. Apa yang paling aku ingat adalah aku tidak pernah lupa memberikan hadiah hari lahir kepadanya setiap tahun sehinggalah kami dewasa. 

     Sudah ditakdirkan juga hubungan kami bakal punah. Dia tidak lagi mahu bermesra seperti dulu. Dia sentiasa ingin menjauh dari diriku. Apa silapnya aku namun yang pasti, aku tahu bahawa dia sudah ada teman baru. Mereka semangkin rapat dan begitu mesra. Aku hanya mampu melihatnya dari jauh dengan perasaan cemburu. Remuk jiwaku setelah dia pergi meninggalkan aku. Apa lagi yang mampu aku lakukan. Aku berduka.. dan buat pertama kalinya aku menangis kerana kecewa dalam bercinta. 'Kamisah' gadisku, air mataku gugur keranamu. Tidurku sering bermimpikan dirimu. Kau telah membuatkan jiwaku resah gelisah. Rinduku padamu tiada penghujungnya. Namamu tidak akan pernah aku lupakan. Senyummu, tawamu, tangismu dan gurau sendamu semuanya masih terbayang dimataku dan masih terdengar di telingaku. Kisah kau dan aku akan kukenang selamanya. 

     Sebenarnya dalam semua kisah percintaan aku di atas ini, aku tidak pernah 'melafazkan' ayat 'aku cinta padamu', hanya kata-kata yang menghampiri perkataan tersebut seperti, 'sayang' dan 'suka'. Aku terlalu malu hendak menyebut perkataan 'cinta'. Entah mengapa. Mungkin inilah antara sebab utama yang membuatkan cintaku tidak dapat bertahan lama. Jika aku masih terus begini, tentu aku akan terus menerus mendapat kekecewaan dalam bercinta. Benarkah begitu? Atau mungkin di suatu masa nanti akan ada seorang gadis yang memahami gaya 'cinta sepi' yang aku amalkan. Cinta sepi yang lahir dari seorang lelaki yang amat pemalu di alam percintaan. Aku sangat berharap gadis itu hadir dalam hidupku dan dia tidak akan mengecewakan aku. Gadis yang akan menjadi suri hidupku, gadis yang sudi hidup bersamaku untuk selamanya.. Itulah harapanku.

     Sejak kecil lagi aku dahagakan kasih sayang seorang ibu. Aku masih tidak mendapatkannya. Aku masih tidak mengerti adakah dia tidak menyayangiku atau hanya mengambil sikap untuk sayang dalam diam? Beginilah hidupku tanpa kasih sayang dari orang yang hampir denganku. Aku terumbang-ambing dalam kehidupan. Aku hidup tanpa arah tujuan. Aku terus berjalan ke arah yang salah tanpa ada lagi petunjuk. Sampai bila akan begini? Entahlah. Aku pasrah..

     Rusda B.A. 1982.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Saudara2ku yang dihormati dan semua yang mengunjungi blog ini, terimakasih saya ucapkan kerana telah sudi meluangkan masa di sini, semoga kehadiran kalian berakhir dengan manafaat. Walau bagaimanapun, saya tetap insan yang lemah, segala kesilapan saya silalah ditegur, dikritik dan dinasihati ..