Cari Blog Ini



Allah Telah Menjanjikan Kepada Orang-Orang Yang Beriman Dan Mengerjakan Amal Sholeh Untuk Menjadikan Mereka Sebagai Khalifah Di Muka Bumi Ini Sebagaimana Ia Telah Menjadikan Orang-Orang Sebelum Mereka Sebagai Khalifah, Menyebarkan Bagi Mereka Agama Yang Telah DiredhoiNya Untuk Mereka Secara Merata Dan Menggantikan Ketakutan Mereka Dengan Rasa Keamanan (sehingga) Mereka Dapat Menyembah-Ku Dan Tidak MenyekutukanKu. Barangsiapa Engkar Setelah Itu, Merekalah Orang-Orang Yang Fasiq-An-Nur : 56


Wahai Orang-Orang Yang Beriman Barangsiapa Dari Kalian Berpaling (murtad) Dari Agamanya Maka Allah SWT Akan Memunculkan Sekelompok Kaum Yang Dia Cinta Mereka Dan Mereka Juga MencintaiNya -Al-Maidah :54


Ternyata Sekarang Ini Dunia Telah Dipenuhi Dengan Pemimpin Zalim Baik Dari Negara Kafir Mahupun Dalam Negara Muslim Sendiri...


Namun Masanya Sudah Hampir Tiba, Dunia Akan Diwarisi Oleh Hamba-Hamba Tuhan Yang Sholeh. Dia Akan Memenuhi Dunia Dengan Keadilan Setelah Dunia Ini Dipenuhi Dengan Kezaliman Para Pemimpin..




Penyelamat Umat Itu bakal Datang tidak lama lagi...!!!

PeNGiKuT NaN SeTia..

Khamis, 29 Ogos 2024

Warkah Silam Dari Gadis Pertamaku.

     Sebelum aku perturunkan warkah tersebut, ini adalah catatan aku berkenaan dengan gadis pertama dalam hidupku. Catatan ini pertama kali aku menulisnya didalam 'Coretan Seorang Jejaka - Libra' tetapi sayangnya coretan tersebut telah hilang entah dimana. 

 November 1982.

     Namanya Samsiyan Harun. Sejak aku bertemunya aku mulai mengenal erti rindu yang tidak tertahan-tahan.. Waktu pertemuan ini terjadi, aku menghadirkan diri dimajlis pertunangan abangnya di Pengkalan Gate. Sebenarnya aku tidak pernah terniat untuk mengenali dirinya serta dua orang temannya yang lain. Adik tirinya yang telah mengusik aku dengan cara memberikan alamat rumahku kepadanya. Dia menyangka itu benar-benar pemberian dariku. Dia membalasnya dengan salam persahabatan. Secara spontan, aku melonjak kegembiraan. Aku dan dia semangkin mesra. Kami berbual-bual diwaktu petang tentang diri masing-masing. Aku mengajak dia bersiar-siar dan bergambar. Sungguh mengembirakan pada waktu tu. Ketika malam menjelma, aku merasakan siang begitu cepat berlalu. Sepatutnya aku harus pulang ke rumah selepas magrib, tetapi dia dan kawan-kawannya menghalang aku. Katanya masih ingin berbual lagi denganku kerana esok sudah tiada masa lagi untuk ini kerana dia akan pulang ke kampung halamannya yang sangat jauh dari sini. Apabila jam sudah menunjukkan pukul sebelas setengah malam, aku mesti pulang ke rumah, sudah tidak boleh lagi ditangguhkan walau hatiku ini terasa sangat berat untuk meninggalkan dirinya.. Sewaktu aku melangkahkan kaki untuk meninggalkan dirinya, beberapa kali dia berpesan kepadaku;

     "Rus, Jangan lupakan Sam ya, tulislah surat untuk Sam, Sam pasti akan balas!"

     Begitulah, sejak aku berjauhan dengannya, hatiku tetap terasa dekat dengannya. Setiap surat yang aku utuskan kepadanya, pasti menerima balasan darinya, begitu juga sebaliknya. 

     November 1984, genap 2 tahun pertemuanku dengan dia. Kini semuanya tinggal kenangan dan hanya menjadi mimpi indah dalam hidupku.

Sweet Dream - Eurythmics

'Coretan Seorang Jejaka - Libra'

Rusda B.A. 1984

 




     Inilah warkah pertama dari gadis pertamaku bernama Samsiyan Harun. Ia dikirimkan di penghujung tahun 1982. Di bawah ini aku salin semula isi surat tersebut;


Daripada Samsiyan Harun

Peket 60 Dalam, Sg. Nipah, Sg. Besar, Selangor.

Jam 11 pm ( nota: tiada tarikh )

( nota: Pembukaan surat sentiasa bermula dengan ayat Bismillahi Rahmani Rahimi )

( nota: dan disampul surat ini ada ayat 'ALLAH MELIHAT APA YANG KAMU BUAT' )

     ASSALAMUALAIKUM

     Bertemu kembali teman yang baru Sam kenali dengan pertanyaan apa khabar sekarang? Semoga bahagia disamping keluarga. buat pengetahuan Rus di sana, Sam d sini sentiasa berharap belajarlah bersungguh2 semoga berjaya dalam semua bidang pelajaran, insyaAllah.

     Rus teman baru,

     sebelum Sam memanjangkan lebih lagi, Sam meminta kemaafan terlebih dahulu dan Sam ingin mengucapkan terimakasih kerana sudi berkenalan dengan Sam.

     Rus bagaimana dengan permintaan yang dahulu tu, sudikah Rus memberikanya pada Sam, yang dimaksudkan tu adalah gambar yang kita janjikan itu. Tentu sudah ada potret yang sudah disediakan untuk Sam, buat masa ini Sam belum ada gambar lagi. InsyaAllah gambar kita berdua ada pada Idah.

     ( nota: Idah adalah salah seorang sahabatnya. sewaktu aku mula berkenalan dengannya, sebenarnya aku lebih tertarik pada Idah, tetapi Sam sentiasa mendampingiku dan sering tolong jawab setiap soalan yang aku tujukan ke Idah. Apa boleh buat, Sam lah yang terpaksa aku layani )

     Sam tak sangka persahabatan kita di rumah Nor, Sam sungguh gembira mendapat teman yang peramah. ( nota: sebenarnya aku hanya menjadi pendengar yang setia )

     Rus, Sam sungguh sedih apabila melihat Rus pulang pada malam isnin dan Sam sangkakan pada hari isnin tu Rus pergi sekolah rupa-rupanya tidak disebabkan hari hujan. Syukurlah kepada Allah swt kerana Allah telah memberikan hujan kepada hambanya. ( nota: Apa yang terjadi sebenarnya, aku ponteng sekolah semata-mata hendak melihat dia di stesyen bas ) Rus, Sam terkejut kerana kita berjumpa di stesyen bas, nasib baik Sam belum bertolak. Sam baru menaiki bas. Rus sungguh bertuah kerana dapat bertemu di stesyen bas sekali lagi. Sam lihat Rus berdiri di tepi tiang sedih saja kenapa? Rus bersedih kerana melihat Sam pergi ke? Jangan lah Rus bersedih pula, Sam pulang bukan nak cari apa-apa cuma nak cari ilmu untuk masa depan kita. Apakan daya Sam, Sam ke kampung untuk belajar saja. InsyaAllah hari raya Sam akan datang ke Lahat untuk berjumpa dengan Rus dan keluarga di sana. Sam ke Lahat terutamanya untuk berjumpa dengan Rus dan Sam harap jika Rus ada wang janganlah bersedih lagi dan ingat-ingatlah Sam yang jauh. ( nota: sungguh sedih rasanya dia tidak kunjung tiba sehingga hubungan kami terputus, rupanya pemergian dia tidak pernah kembali lagi. Pernah sekali aku berkunjung ke rumahnya tetapi dia tiada di rumah )

     Sam berkenalan dengan Rus dengan hati yang ikhlas. Oh ya, Rus tentu ingat lagi rupa paras Sam, Sam lihat Rus semasa kita berbual Sam memandang wajah Rus dengan hati yang sedih kerana esoknya Sam akan bertolak, Rus jangan marah ya kerana Sam hulurkan tangan 2 kali pada malam itu dan di stesyen bas juga 2 kali. Sam tidak merasa segan kerana Sam akan pergi meninggalkan Rus buat sementara, insyaAllah. ( nota: sebenarnya untuk selama-lamanya ) Rus maafkan Sam kerana kita berjalan berdekatan semasa hendak pergi ke lombong mahupun ke atas bukit pasir. Sam merasa seronok semasa mendaki bukit pasir yang tinggi.

     ( nota: Ini adalah kisah ketika aku, dia dan dua kawannya serta Zaki bersiar-siar di waktu petang. Aku dan dia begitu mesra, bergurau senda dan bergelak ketawa. Kawasan yang kami kunjungi adalah di belakang Perkampungan Pengkalan Gate. Disitu ada sebuah lombong tinggal serta bukit-bukit pasir di sekitarnya. Udara dikala itu sungguh nyaman. Sebenarnya aku sedang dibuai kenikmatan bermesra dengannya, lagi pula aku sebelum ini aku tidak pernah bergaul dengan anak gadis... )

     Rus, Sam ingin menasihati Rus, jika Rus nak pakai, pakailah, jika tak mahu pakai tu terpulanglah pada diri Rus. Rus, Sam tak nak lihat teman Sam hisap rokok kerana rokok tu lah yang membawa penyakit. Sam nak tanya Rus, rantai yang Rus pakai tu emas ke? atau nekal, jika emas tak usahlah pakai kerana seorang lelaki memakai rantai emas adalah berdosa tetapi jika bukan emas tidak mengapa. Hanya tu pintaan Sam.

     (nota: aku tidak dapat menahan diriku dari merokok maka nasihatnya tidak aku turuti hanya aku tidak akan menghisapnya di hadapan gadis-gadis kerana aku pun tahu bahawa gadis-gadis tidak menyukainya. Rantai yang aku pakai hanyalah nekal jadi aku boleh terus memakainya. Sebenarnya budaya barat terlalu kuat mempengaruhiku sehinggakan aku sanggup menebuk lubang di sebelah telingaku untuk lebih bergaya dengan memakai sunting lelaki. Ini terjadi beberapa bulan selepas ini)

     Latar belakang diri Sam. Nama; sudah tahu. Adik beradik; 3 orang anak yang kedua (tengah). Cita-cita; ingin menjadi seorang guru. Dari keluarga yang sederhana. Hobi; Berkenalan, membaca, mendengar radio dan menonton.

     Rus temanku,

     Rus nak gambar beberapa keping tetapi gambar yang Rus nak tentu gambar kita berdua dan gambar kita berempat di atas pasir tu kan? Insyaallah Sam akan kirimkan bila-bila masa. (nota: Sayangnya gambar tersebut tidak pernah dikirimkannya. Ini menyedihkan...)

     Rus, petang ahad tu kenapa tak jadi pergi Ipoh? Abang Mat marah ke? Atau Rus tak mau ajak Sam? (nota: yang sebenarnya aku tak de duit..) Rus, belajarlah bersungguh-sungguh semoga berjaya di dalam peperiksaan (SPM) insyaallah dan Sam juga ingin menjadi seorang anak yang berjaya (SRP)

     Rus, Sam mempunyai teman lelaki 3 orang. Pertama Sam berkenalan dengan orang Johor, cina masuk islam namanya Ramli sekarang berada di Selangor. Sam berkenalan selama 1 setengah tahun. (nota: kisah dia bersama Ramli banyak diceritakannya di dalam surat-surat yang berikutnya)

     Kedua Sam berkenalan dengan pemuda Sungai Nibung. Sam berkenalan 1 bulan sahaja. Kali ketiga dengan seorang pelajar bernama Falldarus. (nota: Oh! yang ketiga aku rupanya..) Sam pilih 2 orang sahaja, seorang Perak dan seorang Johor, itu saja, diharap Rus janganlah berkecil hati dan tentu Rus ada teman perempuan yang lebih cantik dari Sam kan.

     (nota: aku tak kisah kalau dia ada teman lelaki lain, tetapi sesungguhnya aku belum pernah ada teman wanita selain dia..)

     Rus, Sam ingin melihat muka Rus yang tak bercermin mata, tapi Rus malu, kenapa? (nota: sememangnya aku malu jika membuka cermin mata kerana mataku cengkung dan memburukkan lagi wajahku, aku malu..)

     Hanya setakat ini sahaja yang dapat Sam coretkan buat pertama kali kita berkenalan. Sambutlah salam perkenalan kita.

     Sekian. Wassalam.

p/s: Sampaikan salam Sam pada keluarga Nor dan keluarga Rus. Maaf saja yang Sam pinta dari Rus.

Salam perkenalan.....83       Maaf terlalu panjang, Sam takut tak larat baca         Harap balas jika sudi


*******   *****   ***   *


     Demikianlah warkah pertama dari gadis yang telah mencuri hatiku. Suratnya yang panjang berjela itu sungguh seronok kubaca. Berulang kali aku membacanya tanpa jemu. 

     Selanjutnya surat ini segera aku balas. Aku menulisnya dengan panjang berjela juga, malangnya aku lupa apa yang aku telah tulis, yang aku ingat hanyalah gambar yang dia minta masih belum aku kirimkan kepadanya. Dan setelah surat itu aku kirimkan, aku hanya perlu menunggu balasan selanjutnya darinya. Namun aku mula gelisah apabila surat balasan yang aku nanti-nantikan tidak kunjung tiba.. Sehinggalah pada suatu petang, akhirnya tiba juga.. Inilah surat ke dua darinya;

Samsiyan Harun

     Assalamualaikum,

     Sekali lagi menemui sahabatku yang jauh dari Sam. Semoga Darus berada di dalam situasi yang mengembirakan disamping keluarga dan teman seperjuangan.

     Darus, Sam minta maaf kerana kelewatan Sam membalas surat Rus kerana Sam sibuk dengan pelajaran mungkin Rus pun begitu juga lagipun Sam baru lepas sembuh dari sakit. Sam harap Rus berjaya di dalam peperiksaan yang bakal Rus hadapi. Bagi diri Sam insyaallah.

    Insyaallah pada 5.9.1983 Sam telah pun menghadapi peperiksaan percubaan SRP. Rus doakanlah semoga Sam berjaya. Rus, Sam belum tentu pada hari raya haji ni akan datang ke Perak. Janganlah Rus dan Nor menunggu Sam di perhentian bas. Rus, kalau Sam datang pun bukan Sam seorang, Sam datang tentu dengan teman Sam. Diharap Rus tak cemburu.

     (nota: Pada hari raya haji tersebut aku tetap menanti kehadirannya di stesyen bas, berjam-jam dan akhirnya aku kehampaan. Dia tidak datang. Tetapi aku sedar bukan salah dia, bukankan dia telah menulis, 'Rus, Sam belum tentu pada hari raya haji ni akan datang.. Janganlah tunggu)

     Bagaimana dengan gambar tu dah ada ke? Kalau sudah ada kirimkanlah kepada Sam. Insyaallah jika ada Sam akan berikan pada Rus. Mengenai tarikh lahir Sam boleh Sam berikan.

Tarikh lahir; 28.12.1968

     Nampaknya setakat ini sahaja yang dapat Sam tuliskan untuk Rus pada kali ini, insyaallah di lain waktu dan hari jumpa lagi. Sekian. Wassalam.

Yang Benar... 83            8.20 malam.


     Demikianlah warkah kedua yang tidak sepanjang warkah pertamanya. Ringkas sahaja seolah-olah sudah tiada apa lagi hendak dituliskan kerana semuanya sudah ditulisnya pada surat sebelumnya. Namun begitu, masih kuingat lagi, warkah ke duaku masih panjang berjela, bermacam kisah aku coretkan dengan harapan dia berminat membacanya. Lalu warkah ke tiga darinya muncul tidak lama selepas aku mengirimkannya. Kali ini coretannya kembali panjang berjela sebagaimana warkah pertamanya sebelum ini. Aku tidak akan menyalin lengkap warkah ke tiga ini. Aku hanya menyalin ayat-ayat menarik atau perenggan yang menarik. Selebihnya hanyalah tulisan atau ayat yang diulang-ulang olehnya.

     (nota: Sekali lagi pembukaannya memohon agar Allah memberikan kami kejayaan di dalam peperiksaan masing-masing. Dan yang paling istmewa setiap pembuka perenggan disertakan dengan perkataan 'Rus yang jauh')

     Sam berdoa agar Sam dan Rus berjaya di dalam peperiksaan masing-masing. Jikalau Sam gagal ini hanya cubaan. Kalau Sam gagal dalam percintaan tak mengapa, tapi gagal dalam peperiksaan menangis tak berair matalah dibuatnya..

     Rus temanku, Sam mengucapkan ribuan terima kasih atas kesudianmu memberiku sekeping potretmu yang begitu cantik pada pandangan matakuuu.. Terima kasih sekali lagi Sam ucapan kepadamuuu..

     (nota: Kemudian dia berjanji akan memberikan sekeping gambarnya bersaiz kad pengenalan sahaja dan benarlah di dalam surat seterunya ada sekeping gambar dirinya. Tidaklah begitu cantik tetapi aku meminatinya)

    (nota: Perenggan berikutnya dia memohon maaf kerana tidak dapat datang pada hari raya haji yang lepas dengan alasan dia tiada wang dan kerja sekolah terlalu banyak untuk diselesaikannya)

     Rus, maafkan Sam, mungkin Abang Tasrip tahu tentang perhubungan kita/persahabatan kita. Dia kata, Kalau saya (Sam) nak berkenalan dengannya (Rus) berkenalanlah tapi jangan berlebihan sudahlah.

     (nota: Abang Tasrip adalah abang tirinya yang tinggal di Kajang. Aku tidak pasti dia suka atau tidak perhubungan kami. Lagipun dia tak boleh marah-marah, hubungan kmi cuma melalui surat sahaja..)

     (nota: Perenggan-perenggan seterusnya berkisah tentang alam peperiksaan, ada falsafah pula tu, yang biasa disebut orang, USAHA ITU TANGGA KEJAYAAN. Dan nasihatnya agar segeralah membuat persiapan untuk menghadapi peperiksaan tersebut (SPM). Namun begitu dia tidak mengetahui perilaku diriku sejak setahun sebelumnya, aku dah mula malas belajar. Aku sering ponteng sekolah dan asyik tidur ketika kelas bermula. Perilaku negatif ini ada di dalam coretan aku, 'meniti titian usang' dairi tahun 1989.( InshaAllah akan aku terbitkan di dalam blog ini nanti - nota terkini))

     Jangan kerana Sam Rus tak belajar kerana Sam bukannya boleh menentukan yang Rus pasti berjaya. Rus, kalau kau berjaya nanti jangan lupakan aku. Dan jika kau berjaya kelak bersyukurlah kau pada illahi Pencipta Alam Yang Maha Agong. Dan dengan kejayaanmu itu kau bisa hidup bahagia. Di masa itu aku yang bernama SAMSIYAN ini akan menumpang gembira atas kejayaanmu itu. Itu pun jika kau sudi aku menumpangnya.

     (nota: Di sini nada suaranya bertukar, ada cetusan rasa hati yang tersembunyi. Terasa seperti ada satu ikatan pada hati kami)

     Jangan Rus beritahu Abang Tasrip, Mat dan Nor ya. (tentang alamat baru) Harap maaf.

SAMSIYAN HARON

d/a Kedai Muhammad Rawi,

Kg. Datok Abu Bakar Baginda,

Air Hitam Kajang, Selangor.

     Sebelum berpisah buat sementara sambutlah salam dariku yang jauh. Assalamualaikum. Nama Ida ialah Junaidah Omar, dia tiada di sini. OH ya, Rus...

     (nota: Nama Ida disebut lagi, dan aku pun suka memperkatakan tentangnya. Memang aku berusaha untuk mengetahui lebih lanjut tentang diri Ida tetapi gagal, hanya yang aku dapat tahu, Ida adalah seorang gadis yang malang, ayahnya tiada, ayah tirinya pula membenci dirinya. Kisah Ida ini aku ada jadikan puisiku di dalam sebuah buku, 'Sajak - nukilan Rusda B.A.' Tetapi malangnya buku tersebut sudah hilang dari simpanan, hilang bersama sebuah lagi buku catatan harian tahun 1990..)

     SELAMAT MENGHADAPI PEPERIKSAAN. Sekian. Wassalam.

Nukilan Rasa.... 

***

     Surat yang seterusnya sudah bertukar nada, banyak tulisannya mengisahkan kesedihan jiwanya. Aku tidak akan menyalin isi surat tersebut, cukuplah aku menulis secara ringkas apa sahaja yang ditulisnya dengan gaya bahasa aku sendiri kecuali jika ada kalimat yang menyentuh hatiku yang tak sanggup aku membuangnya. Ayat yang aku salin itu aku letakkan dalam kurungan seperti ini.. [....]

     Seperti biasa dia tidak lupa menulis, 'Allah melihat apa yang kamu buat' di sampul semua surat yang dia utuskan dan ayat 'Bismillah....' di permulaan kepala surat. [Menemui kembali abang yang kini berada di Ipoh] Nampaknya aku kini mendapat gelaran sebagai 'abang' di dalam surat ini dan surat-surat yang seterusnya. 

     Dia menceritakan bahawa dia ingin lari dari rumah. Dia menulis: [Aku mahu lari dari rumah kerana ayahku yang suruh begitu..] Mungkin dia akan menumpang rumah Abang Tasrip di Kajang. Ayahnya memarahinya kerana dia enggan menerima peminangan orang.

     [Sekarang diri Sam sudah tidak bermakna lagi. Sam sebagai seorang gadis, hidup Sam tidak bererti lagi. Sam hanya bersyukur pada Allah Yang Maha Esa semoga hidup Sam di tahun hadapan Insyaallah bahagia]

     Kemudian dia menyatakan hubungan baik diantaranya dengan Ramli masih berlangsung. JANGAN KAU TANGISKAN PEMERGIANKU... Ayat penutup suratnya. Surat yang ini sungguh menghibakan hatiku. Aku perlu membantunya!

     Surat yang seterusnya pula penuh dengan puji-pujian untukku. [Menemui kembali teman yang di redhoi Allah SWT semoga dikau berada di samping keluarga yang tercinta, juga doaku semoga dikau berjaya di dalam peperiksaan SPM nanti insyaallah.]

     [Sahabatku yang disayangi dan di rindu.. Saya sangat gembira mendapat teman yang jujur dan mahu berterus-terang terhadap teman perempuannya. Saya telah pun faham isi kandungan warkahmu tempoh hari. Terimakasih kuucakan kepadamu. Rus, memang betul kata-katamu di dalam warkahmu, kurasa lebih sukar untuk melupakan peristiwa pahit dan manis yang kini ku menghadapinya.]

     [Rus sahabatku yang jauh, janganlah kau menangis seadainya aku menangis, walau sekalipun kau sebagai sahabatku yang baik hati, aku tidak ingin melihat kau mengalirkan air mata untuk ku. Aku ingin melihat dirimu riang-ria selalu.. Aku izinkan kau melantik diri kau agar menjadi seorang sahabat yang jujur terhadap teman dan keluarga.]

     Seterusnya dia mengulangi nasihatnya tentang pelajaran. Dia menjemput aku ke rumahnya serta dia berjanji sekali lagi akan datang ke Ipoh pada tarikh 22 Disember 1983. Namun pada tarikh tersebut dia tidak juga datang. Sekali lagi aku kecewa tidak dapat bertemu dengannya. Kemudian dia berbicara lagi tentang Ramli, abang angkatnya itu. Akhir sekali dia mohon maaf kerana menulis terlalu panjang, risaukan aku jemu membacanya. Oh! Sekali-kali aku tidak akan jemu membacanya, malahan berulang-kali aku membaca surat ini.

[Nasibku yang malang... 2.30 petang...] Rintihannya di ruang tanda tangan.

***

     Begitulah hubungan kami berterusan. Surat demi surat kuutuskan dan dia tetap membalasnya. Kebanyakan yang kami tulis tentang perihal diri masing-masing. Dia pula sering tidak lupa menulis perihal Ramli. Ramli ini pada mulanya sebagai abang angkatnya tetapi lama kelamaan sudah menjadi kekasihnya. Membuatkan aku menjadi cemburu. Ini menyebabkan aku dengan tiba-tiba membenci apa-apa yang dia tulis dan seterusnya aku berhenti dari mengutus surat kepadanya lagi. Namun tindakan ini hanya membuatkan jiwaku terseksa kerinduan. Aku terus memaksa diriku untuk membencinya tetapi aku gagal. Apabila surat darinya sampai ketanganku, aku menjadi riang gembira, namun setelah aku membaca isi suratnya itu, aku diserang rasa cemburu lantas enggan membalasnya.

     [Mencari dirimu yang jauh dariku. Maafkan aku dan sebelum berlanjutan coretanku ini aku memohon ampun dan maaf kerana kedatangan warkah ini tanpa di undang terlebih dahulu dan aku harap kau sudi menatapnya hingga ke noktah yang terakhir..]

     Begitulah pembuka suratnya yang mengandungi kemaafan dan kerendahan diri. Mungkin ada pertanyaan darinya, mengapa surat-suratnya tidak dibalas? [Aduh! Panjang lebar aku bercerita mungkin kau sudah bosan dengan kata-kataku itu tapi ubahlah sikapmu dari sekarang ok.]

     [Oh ya! Rus kalau boleh bulan 4 datanglah ke Ulu Langat dan kita boleh bersiar-siar di Kuala Lumpur dengan teman yang aku kasihi iaitu Ramli okay..] Perhatikan ayat ini, apakah maksudnya hendak aku melihat telatah mereka berdua? Surat ini juga tidak aku balas dan akhirnya dia tidak lagi mengutusi diriku. Tiada lagi kehadiran warkah darinya. Segalanya telah berakhir. Begitulah sangkaan dariku. Sebenarnya situasi ini tidak mengembirakan aku, kesedihan mencengkam aku di saat tengah malam. Terasa begitu sepi dan pilu..

     Akhirnya aku mulai dapat melupakan dia kerana aku telah menyibukkan diriku dengan alam pekerjaan. Riang dan gembira bersama rakan sekerja. Tetapi beberapa bulan kemudian, tiba sepucuk surat dan aku tahu benar surat siapa ini. [Darus, sebelum aku meneruskan kata-kata di helaian ini aku memohon ampun dan maaf kerana melayangkan warkah tanpa keizinanmu dan aku minta maaf kerana telah lama perbualan kita putus begitu saja. Aku tahu kau mungkin sibuk dan aku pun sibuk dengan tugasku. Aku tidak mempunyai masa untuk menulis surat untukmu... Hanya malam masanya aku sempat menulis surat untukmu..]

     [Pada awal bulan 4 aku ada melayangkan warkah pada kau tapi tiada balasan, mungkin kau sibuk dengan buku pelajaran atau surat yang aku kirimkan itu tak sampai.. Maaf sekali lagi. Aku rasa mungkin kau telah jemu dengan kata-kataku selama ini. Mungkin juga kau telah jemu menatap warkahku yang usang ini.. Bagi diriku tak jemu membaca dan menulisnya. Selagi hembusan nafasku masih ada. Insyaallah. Aku harap kau janganlah jadi seperti teman lelakiku yang dulunya aku anggap sebagai abang sekarang dia telah menghilangkan diri tanpa berita..]

     Nah! Sekarang dia sudah kehilangan Ramli, orang kesayangannya, yang menurut katanya, suka mengambil berat hal kesusahan dirinya, yang sentiasa mengasihinya. Sudah ke mana larinya? Surat yang ini juga tidak kubalas.

     [Salam persahabatan dariku yang kesepian tanpa teman. Dariku yang kesepian.. 12 tengah malam.]

***

     Sebelum aku menyalin semula warkah terakhir darinya, aku perturunkan dua kad ucapan selamat hari raya masing-masing tahun 1983 dan 1984.

     KAD UCAPAN SELAAT HARI RAYA 1983

"Untukmu Duhai Sayangku

Hai! Bagaimana dengan persiapan hari raya ini? Dah beli baju raya dan banyak ke buat kuih pada raya tahun ini?"

     KAD UCAPAN HARI RAYA 1984

"kekasihku yang jauh di mata. Inilah bingkisan kasih mesra dariku sebagai pengganti diri"

Kedua-dua kad ucapan tersebut di hiasi dengan gambar bunga mawar merah lambang sebuah cinta. Aduhai! Sungguh, kad ucapan yang aku kirimkan pula tidaklah begitu. Ia hanya di hiasi dengan gambar kubah dan pelita malam tujuh likur. Tulisan di dalamnya pula hanyalah kata-kata biasa.. 



     WARKAH TERAKHIR DARI GADIS PERTAMAKU.

Samsiyan Haron

Peket 60 dalam

Sungai Besar

Selangor.

     Assalamualaikum jawab dulu baru baca.

     Kehadapan saudara Darus yang telah lama menghilangkan diri beberapa bulan yang lalu. Apa khabar sekarang? Semoga kau berada di dalam situasi yang mengembirakan di samping keluarga jua tugas yang ada.... Amin.

     Sebelum Sam meneruskan warkah yang tidak di undang ini, terlebih dahulu Sam memohon maaf seandainya warkah Sam mengganggu tugas dan Sam ingin memohon maaf kerana kesalahan yang telah Sam lakukan selama ini.....

     Sebenarnya tujuan Sam menuli ini kerana ingin meneruskan perhubungan antara kau dan aku, itu pun kalau sudi, aku tak ada kuasa memaksa kau seterusnya, kerana ini adalah kesalahan kita sendiri. Darus, Sam memohon maaf sekali lagi kerana atas kekasaranku pada kau dan aku tak sangka atas perhubungan kita ayahku sudah tahu dan ayahku sudah faham akan hidupmu dan maafkan aku sekali lagi kerana semasa kau datang aku tiada di kampung dan aku ucapkan jutaan terima kasih atas kesudian kau datang ke rumahku yang usang dan tak kemas pula tu....

     Darus di sini Sam ingin tahu seterusnya cerita kau....

     Sampaikan salam Assalamualaikum pada ibumu, adik-adikmu dan jua kau.

Sekian. Wassalam.

Daku yang menderita... jam 9.00 malam selepas mengajar adik sekolah. 

25.07.1984

***

     Kini setelah aku mengulangi membaca warkah tersebut, sungguh menyesal aku. Betapa kejamnya aku yang terus bersikap dingin terhadap warkah itu. Enam bulan setelah aku menerima warkah itu, baharulah aku tersedar bahawa Sam sangat memerlukan diriku untuk ketenangan jiwanya. Lantas aku pun mengutusinya, tetapi sayangnya tiada balasan. Kuutus lagi dengan isinya memohon ampun dan maaf dan berjanji akan terus menjadi sahabatnya yang setia 'hingga akhir nanti'. Namun aku masih tidak menerima balasan darinya.

     Tertanya-tanya aku, apakah yang sudah terjadi pada dirinya? Adakah warkah yang aku kirimkan tidak sampai ke tangannya? Atau sudah merajukkah dia terhadap diriku? Atau dia sudah kecewa dengan sikap aku yang telah menyepikan diri tanpa membalas surat-suratnya yang terdahulu? Adakah aku sudah menghancurkan hatinya? Atau mungkin juga dia sudah menemui orang baru yang lebih baik dari diriku ini? Entahlah, hingga kini tidak kutemui jawapannya..

     Akhirnya aku membuat keputusan nekad, seandainya surat kali ini yang akan aku kirimkan tidak berbalas juga, maka berakhirlah sudah.. Ternyata surat yang ke tiga juga tidak mendapatkan balasan darinya.

     Begitulah berakhirnya perhubungan kami. dalam menempuh detik-detik terakhir ini, aku merasakan sangat kecewa, resah dan penuh penyesalan. Aku anggap inilah perbuatan tanganku yang kejam terhadap manusia, setelah aku robekkan ketenangan di jiwa seorang insan, telah aku runtuhkan harapan seorang gadis. Terasa pilu di sudut hatiku yang menenggelamkan aku ke dasar lembah yang kelam. Beberapa hari aku tidak lena tidur mengenangkan rintihan jiwanya yang kesepian, yang aku tinggalkan dan aku abaikan. Rasa bersalahku terhadap dirinya tidak tertahan-tahan lagi. Begitulah keadaan diriku sehingga berlinanglah air mataku saat tengah malam..

Rusda B.A. hingga akhir nanti...



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Saudara2ku yang dihormati dan semua yang mengunjungi blog ini, terimakasih saya ucapkan kerana telah sudi meluangkan masa di sini, semoga kehadiran kalian berakhir dengan manafaat. Walau bagaimanapun, saya tetap insan yang lemah, segala kesilapan saya silalah ditegur, dikritik dan dinasihati ..