Cari Blog Ini



Allah Telah Menjanjikan Kepada Orang-Orang Yang Beriman Dan Mengerjakan Amal Sholeh Untuk Menjadikan Mereka Sebagai Khalifah Di Muka Bumi Ini Sebagaimana Ia Telah Menjadikan Orang-Orang Sebelum Mereka Sebagai Khalifah, Menyebarkan Bagi Mereka Agama Yang Telah DiredhoiNya Untuk Mereka Secara Merata Dan Menggantikan Ketakutan Mereka Dengan Rasa Keamanan (sehingga) Mereka Dapat Menyembah-Ku Dan Tidak MenyekutukanKu. Barangsiapa Engkar Setelah Itu, Merekalah Orang-Orang Yang Fasiq-An-Nur : 56


Wahai Orang-Orang Yang Beriman Barangsiapa Dari Kalian Berpaling (murtad) Dari Agamanya Maka Allah SWT Akan Memunculkan Sekelompok Kaum Yang Dia Cinta Mereka Dan Mereka Juga MencintaiNya -Al-Maidah :54


Ternyata Sekarang Ini Dunia Telah Dipenuhi Dengan Pemimpin Zalim Baik Dari Negara Kafir Mahupun Dalam Negara Muslim Sendiri...


Namun Masanya Sudah Hampir Tiba, Dunia Akan Diwarisi Oleh Hamba-Hamba Tuhan Yang Sholeh. Dia Akan Memenuhi Dunia Dengan Keadilan Setelah Dunia Ini Dipenuhi Dengan Kezaliman Para Pemimpin..




Penyelamat Umat Itu bakal Datang tidak lama lagi...!!!

PeNGiKuT NaN SeTia..

Rabu, 18 September 2024

Gadis Desa Terpencil..

      Pada suatu hari dalam tahun 1985 aku dan Abin membuat keputusan untuk lari dari rumah. Keputusan ini kami buat kerana kami berdua sudah tidak betah lagi untuk tinggal di rumah. Kami merasakan bahawa diri kami tidak lagi di perlukan di sini.

     Hubungan aku dan ibuku tidak begitu baik. Kami jarang berkomunikasi. Aku sering di marah kerana hal-hal kecil. Kesalahan adik-adikku selalu akulah yang menanggung akibatnya. Aku merasakan perkara ini tidak adil. Aku memberontak dengan sering keluar rumah untuk menenangkan jiwa. Banyak masa yang ku habiskan dengan melepak di sebuah rumah bujang yang terletak jauh di hujung kampung.

     Abin pula menghadapi perangai ayahnya yang ketagihan ganja. Dia di tugaskan untuk pergi membeli ganja pada setiap hari. Dia harus patuh jika tidak dia akan di belasah ayahnya dengan teruk. Begitulah keadaannya setiap hari. Lama kelamaan Abin tidak dapat lagi menahan rasa ingin memberontak terhadap ayahnya. Dia pun sering keluar rumah untuk menenangkan fikiran. Banyak masanya dihabiskan di rumah bujang yang telah aku sebutkan di atas.

     Di rumah bujang ini terdapat beberapa orang lagi kawan-kawan yang melepak. Di sinilah kami meluahkan rasa tidak puas hati kami terhadap keluarga masing-masing dan di sini juga tercetusnya rancangan untuk melarikan diri dari rumah. Pada mulanya ada beberapa kawan yang mahu ikut, tetapi tak lama kemudian mereka mengubah fikiran. Akhir hanya aku dan Abin saja yang nekad untuk lari.

     Abin bercadang untuk lari ke utara tanah air, ke sebuah perkampungan yang jauh di pendalaman. Katanya dia pernah tinggal di situ bersama ibu kandungnya yang sekarang sudah pergi menghadap illahi. Di sana kami akan ke rumah satu keluarga yang sangat rapat dengannya sewaktu dia tinggal di sana dahulu.

     Aku keluar rumah dengan menyandang sebuah beg yang agak besar dan berat tanpa diketahui sesiapa pun. Aku bertemu Abin di rumah bujang kemudian kami bergerak ke perhentian bas. Kami menaiki bas yang membawa kami ke Bandaraya Ipoh. Dari sini kami menaiki bas yang akan menuju ke Bandar Taiping. Dalam perjalanan ini aku tidak banyak bercakap, aku hanya melayani fikiranku yang sedang berserabut. 

     Setibanya di Bandar Taiping, kami singgah di sebuah gerai makan untuk mengisi perut yang sudah lapar. Selepas makan kami merayau-rayau di sekitarnya. Setelah puas merayau, kami kembali ke station bas untuk naik bas yang akan membawa kami ke Batu Kurau. 

     Ini adalah kali pertama aku menempuh perjalanan ke luar bandar. Aku begitu tertarik dengan pemandangan di sepanjang perjalanan ini. Kelihatan rumah-rumah kampung yang kebanyakannya diperbuat dari papan dan memiliki tiang dan tangga batu yang unik. Di belakangnya pula terbentang sawah yang seluas mata memandang. Sungguh indah pemandangan ini. Dengan serta-merta jiwaku menjadi tenang dan damai..

     Setelah menempuh perjalanan yang mendamaikan ini, akhirnya kami sampai di Pekan Batu Kurau. Dari sini kami menaiki sebuah 'kereta sapu' (sebutan orang tempatan untuk kenderaan persendirian yang di gunakan untuk membawa penumpang ke destinasi) yang membawa kami ke Kampung Perak, sebuah perkampungan yang jauh di pedalaman. Kiri dan kanan jalan hanya kelihatan sawah padi yang terbentang luas. Sesekali terlihat beberapa ekor kerbau yang sedang berkubang dalam takungan air. Aku melihatnya dengan penuh minat.



     "Kita dah sampai.." Kata Abin yang telah menyedarkan aku dari lamunan yang panjang. Aku keluar dari kereta sambil mataku memerhati sekeliling. Suasananya begitu asing yang aku rasakan. Terdapat kedai runcit dan gerai makan dan kedai-kedai yang lain yang semuanya diperbuat dari papan. Kelihatan beberapa orang yang sedang leka berbual dan yang berjalan menuju ke destinasi masing-masing. Kemudian Abin mengajak aku bergerak ke satu jalan kecil yang di tepinya terdapat sebatang sungai yang airnya sungguh jernih. Mesti sejuk airnya, fikirku. 

     "Kita akan mandi di sungai ini setiap hari," kata Abin setelah dia tahu aku asyik memandang air sungai tersebut. Aku hanya tersenyum.

     "Itu rumahnya." Kata Abin lagi. Aku pun segera memerhatikan rumah yang di tunjukkannya. Sebuah rumah kecil yang di perbuat dari buluh kuning. Kedengaran riuh rendah suara kanak-kanak bermain di dalam rumah. Setelah menghampiri rumah itu, Abin pun memberi salam. Menjenguk di tingkap dua orang kanak-kanak perempuan, sebaik saja mereka melihat Abin, mereka berteriak, "makk! Abang Abin datangg..!"

    Muncul susuk tubuh seorang makcik dari pintu dapur. "Masuk Masuk." Pelawanya setelah menjawab salam. Dari belakang rumah muncul seorang gadis yang sedang memegang penyapu, dia tersenyum melihat kami. Setelah kami masuk ke dalam rumah, aku melihat ada seorang lagi gadis yang sedang mengerjakan sesuatu di dapur. Di ruang depan, terdapat tiga kanak-kanak, termasuk yang muncul di tingkap tadi, asyik bertanyakan sesuatu pada Abin. 

     Tidak lama kemudian, seorang lelaki separuh umur masuk ke rumah. Abin memperkenalkan dia kepadaku. Namanya Rashid, ketua keluarga ini. Pakcik Rashid menyambut kami dengan mesra. Kemudian kami makan tengahari. Sungguh berselera aku makan. Nasinya sungguh enak berbeza dari biasa. Abin beritahu aku inilah beras segar yang di proses terus dari sawah, patutlah sedap, kata hatiku.

     Selepas makan aku merehatkan diri di dalam rumah sambil berbual-bual dengan Pakcik Rashid. Dia bertanyakan perihal aku. Aku sembunyikan kisah sebenar hanya mengatakan bahawa aku ingin mencari pengalaman hidup di sini. Setelah Pakcik Rashid minta diri untuk meneruskan kerjanya, aku berbual pula dengan tiga anaknya yang masih kanak-kanak itu. Mereka sedari tadi asyik bermain-main berhampiran denganku. Dua kanak-kanak perempuan itu, yang lebih tua bernama Rodiah dan seorang lagi namanya Azizah. Kanak-kanak lelaki itu pula namanya Rosli. Kedua anak gadis Pakcik Rashid, yang pertama namanya Roslina dan yang nombor dua namanya Norkhamisah, masih lagi malu-malu hendak berbual denganku.

     Menjelang petang, Abin mengajak aku mandi di sungai. Sebenarnya bukan kami saja yang mandi di sungai ini, semua ahli keluarga ini termasuk ahli keluarga rumah yang lain mandi di sungai. Rupanya sungai ini sememangnya tempat mandi dan juga membasuh pakaian. Ini merupakan pengalaman baru buat diriku. Air sungai ini sungguh sejuk dan menyegarkan. 

     Setelah malam menjelma, aku menikmati makan malam yang sungguh menyelerakan. Rasanya tidak pernah aku berselera seperti ini, bukan saja nasinya yang segar malah ikan dan sayur-sayuran semuanya segar. Ikan di pancing di sungai dan sayur ditanam di belakang rumah. Berbeza di tempat aku semua bahan makanan ini diperolehi dari pasar yang kebanyakannya sudah tidak segar lagi.

     Selepas makan malam, aku dan Abin berbual lagi dengan Pakcik Rashid. Ternyata Pakcik Rashid ini peramah orangnya. Bermacam topik yang kami bualkan. Kami berbual hingga larut malam. Semua anak-anaknya dan makcik sudah tidur. Suasana sejuk dan kedengaran suara cengkerik dan suara katak yang bersahut-sahutan. Tiada bunyi deruan kenderaan seperti di pekan dan bandar. Akhirnya aku tidur dalam suasana yang sangat berbeza dari biasa.

     Masa berlalu, sudah beberapa minggu aku tinggal di rumah ini. Aku semangkin mesra dengan keluarga ni. Aku bergurau senda dengan  anak-anak Pakcik Rashid. Bermain dan berkeliling kampung bersama mereka. Aku juga semangkin rapat dengan anak Pakcik Rashid yang nombor dua yakni Norkhamisah. Hubungan kami sungguh mesra. Aku sering berdua dengannya ke mana saja kami pergi. Sungguh indah saat ini sehingga aku dapat melupakan segala kepahitan hidup yang telah aku alami. Tanpa aku sedari aku telah mula menyayangi dia.

     ***  **  *

     Pada hari Ahad 16hb Jun tahun 1991, aku dan kawan-kawanku bergerak menuju ke utara semenanjung, ke sebuah desa yang terpencil. Kami membuat perjalanan menggunakan sebuah kereta buatan Malaysia, Proton Saga. Mulakan perjalanan jam sembilan pagi. Di dalam perjalanan yang jauh ini, kami di hiburkan dengan irama lagu pelbagai rentak yang terbit dari alat audio kereta ini. Perjalanan ini mengambil masa hampir dua jam untuk sampai ke destinasi.

     Akulah yang merancang perjalanan ini. Tanpa hadirnya perasaan rindu yang amat mendalam dijiwaku ini, perjalanan sejauh ini tidak mungkin akan terjadi. Betapa rindunya aku pada dirinya. Aku sanggup mengikat perut untuk mengumpul wang buat perbelanjaan demi menemui dia yang sangat aku rindukan. Tidak sanggup lagi aku menanggung kerinduan ini, aku harus menemui dirinya. Maka inilah perjalanan yang dinanti-nantikan. Tidak sabar rasanya untuk tiba di sana..

     Kami tiba di Batu Kurau hampir tengahari. Sebelum meneruskan perjalanan menuju ke rumahnya, kami singgah dulu ke sebuah gerai makan untuk mengisi perut yang lapar. Aku yang mengajak kawan-kawanku makan kerana tidak mahu menyusahkan makcik memasakkan makanan untuk kami. Setelah selesai makan, kami pun meneruskan perjalanan menuju ke Kampung Perak yang kini sudah tidak berapa jauh lagi. Semangkin hampirnya perjalanan ini, dadaku semangkin berdebar rasanya. Entah mengapa..

     Akhirnya tibalah kami di perkarangan rumahnya.  Aku melihat di sekitar, ada beberapa orang yang sedang dudu berbual-bual di halaman rumah datuknya. Kedengaran suara riuh adik-adiknya sedang bermain di dalam rumah. Dia pula tidak kelihatan. Aku memberi salam kepada mereka yang sedang berbual itu. Mereka sedari tadi telah memerhatikan kehadiran kami. Salam pun dijawab bukan saja oleh mereka, juga oleh makcik yang tiba-tiba muncul di sebalik pintu rumahnya. Dengan segera makcik menjemput kami naik ke rumah. (rumah mereka berdiri di atas tiang sebagaimana kebanyakan rumah pada waktu ini). Kami pun masuk rumah.

     Di dalam rumah, baharulah aku dapat melihat dia. Dia senyum kemalu-maluan. Aku segera membalas senyumannya itu. Oh! Kelegaan terasa di jiwa ini. Segala kerinduan akhirnya lenyap jua. Kami menyerahkan buah tangan yang kami bawa berupa beberapa biji buah limau bali dan dua bungkus kudapan coklat snaps untuk adik-adiknya. Seketika kami berbual-bual dengan Pakcik Rashid, ayahnya. Kemudian Halim yakni abang sepupunya datang lalu menjemput kami bertandang ke rumahnya. Kami pun menerima jemputannya. Di rumah Halim kami di jamu air kopi panas dan biskut kering. Kami berbual-bual seketika. Setelah itu kami kembali ke rumah dia. Kami di jamu makan tengahari. Rupa-rupanya makcik sudah siap memasak untuk kami sebelum kami sampai lagi. Makcik sudah tahu kami akan datang kerana dia sudah memberitahukannya. Menyesal pula aku mengajak kawan-kawan makan di gerai tadi. 

     Apabila waktu zohor tiba, kami berjalan kaki ke surau yang tidak jauh dari rumahnya. Selepas sholat, kawan-kawanku ingin berehat seketika di surau itu kerana kepenatan. Aku juga penat tetapi aku ingin bersegera kembali ke rumah dia untuk berbual dengannya. 

     Petang itu, kawanku mencadangkan untuk ke Taman Tasek Taiping, kami dan dia bersetuju dengan cadangan ini. Aku meminta izin makcik dan pakcik untuk membawa dia serta adiknya bersiar-siar di taman tersebut. Dan juga kami mengucapkan selamat tinggal dan berterima kasih kerana telah melayani kami dengan baik. Kami akan terus pulang dari sana sementara dia dan adiknya akan pulang ke rumah menaiki bas.

     Setibanya di Taman Tasek Taiping, kawan-kawanku membawa haluan masing-masing membiarkan aku dan dia berjalan berdua. Terima kasih kawan-kawanku. 😇 Inilah saatnya yang begitu mengasyikkan. Maklumlah dapat berdua-duaan dengan gadis idaman hati. Gadis yang sering membuatkan jiwaku tidak keruan kerana kerinduan.. Detik ini akan aku pergunakan untuk meluahkan segala isi hatiku terhadapnya. Segala rasa cinta dan kerinduanku terhadap dirinya yang membara dijiwaku selama ini. Agar dia mengerti dan memahami apa yang bergolak dijiwaku selama ini.

     Namun apa yang terjadi, merupakan suatu yang amat malang buat diriku. Segala apa yang ingin aku curahkan itu tidak terucapkan oleh bibirku. Aku tidak mampu menundukkan sifat maluku, kegugupan kata-kataku dan debaran jantungku telah menghalang aku untuk aku mencurahkan segalanya.. Sepanjang masa aku bersama-samanya aku hanya mampu berbual-bual kosong dan bergurau senda tanpa curahan rasa hati.. Aku terus membiarkan dia dibelenggu persoalan tentang apakah yang sedang aku fikirkan? 

     Masa berlalu dan akhirnya tibalah masa untuk pulang. Aku menatap wajahnya buat kali terakhir, dia tersipu-sipu malu. Kami berpisah di Stesen Bas Taiping. Aku dan kawan-kawanku membuat perjalanan pulang ke Bandaraya Ipoh. Selamat tinggal gadisku..

    Dalam perjalanan pulang, perasaanku berbaur antara gembira dan gelisah. Gembira kerana akhirnya aku dapat juga bertemu dan bermesra dengan gadis yang sangat aku rindu. Gelisah kerana terpaksa berjauhan dengannya lagi. Aku tidak tahu perasaannya terhadap diriku, adakah dia juga merindui diriku sebagaimana aku merindukan dirinya? Adakah dia sayangkan aku sebagaimana aku menyayangi dirinya?

     Aku tidak tahu adakah aku akan bertemu dia lagi? Adakah aku dan dia akan terus berhubungan atau akan terjadinya perpisahan? Namun yang pasti, aku akan terus menjadi seorang perindu. Rindukan wajahnya yang ayu, senyumannya yang menawan dan pada suaranya yang lembut dan manja.

     ***  **  *



     Beberapa tahun kemudian...

     Pada Hari Raya Aidil Fitri yang ke tiga, aku dan adik perempuanku melakukan perjalanan ke Batu Kurau. Kami ke sana dengan menaiki bas. Bas pertama dari Rumahku ke Bandaraya Ipoh. Seterusnya naik bas ke Bandar Taiping dan akhirnya naik bas menuju ke Batu Kurau. Dari Pekan Batu Kurau pula kami naik 'kereta sapu' masuk ke Kampung Perak untuk sampai ke destinasi.

     Ketika dalam perjalanan, dadaku berdebar-debar, perasaan gembira dan resah bersilih ganti. Aku resah kerana tidak dapat menerima hakikat bahawa dia sekarang di anggap sebagai adik angkat, itu adalah ideaku sendiri yang meminta dia menjadi adik angkatku di dalam kiriman suratku kepadanya sebelum ini. Kononnya dengan idea ini dapatlah rasa cintaku terhadapnya itu berubah menjadi kasih sayang seumpama adik beradik. Namun ini adalah satu kesilapan yang aku lakukan kerana rasa cinta itu tidak pernah pun padam dari jiwaku ini.

     Setelah kami tiba di perkarangan rumahnya, adik-adiknya menyambut kami dengan riang gembira. Mataku melilau mencari keberadaannya. Kedengaran suara gelak ketawa dari dalam rumah. Kemudian dia muncul dari pintu dapur rumahnya. Dia tersenyum manis.

     "Maaf abang terlambat, raya pun dah basi," aku berkata seraya membalas senyumannya yang manis itu. Aku perhatikan wajahnya, kini dia sudah pandai bersolek dan bergincu tebal. Aku sedikit tidak suka akan hal ini. 

     Rodiah, adiknya menghidangkan kami juadah kuih raya dan kopi O. Aku berbual dengan makcik. Mereka memberikan persalinan, adikku menyalin pakaian kemudian pergi mandi di sungai. Aku pula ke surau untuk Sholat Asar. Sekembalinya aku ke rumah itu, adik aku dan adik-adiknya sedang melawat sekeliling kampung. Aku pun menyertai mereka. Kelihatan, Anita, gadis cantik sepupunya itu sudah remaja sekarang. Gadis-gadis yang pernah aku kenal dulu, semuanya sudah remaja dan semangkin bergaya. Namun layanan mereka terhadapku masih seperti dulu, mesra dan nakal!

     Selepas sholat magrib, aku berbual dan melepak dengan Halim di atas jambatan Sungai Kurau. Selepas itu aku kembali ke rumahnya tetapi aku dapati dia tiada di rumah. Dia dan bapanya telah pergi ke rumah saudara mereka. Mereka pulang lewat, maka punahlah keinginanku yang ingin berbual mesra dengannya pada malam itu.

     ***  **  *  

     Pada suatu petang aku, Cah, Rodiah, Azizah, Roslina dan beberapa orang sepupu mereka telah pergi ke Lata Sungai Kurau, tempat orang ramai berkelah dan bermandi manda. Kami ke sana dengan berjalan kaki sahaja. Dalam perjalanan itu kami bergurau senda dan bergelak ketawa. Setelah tiba di Lata kami memetik buah-buahan yang banyak tumbuh berdekatan Lata tersebut. Kami memperolehi banyak buah langsat dan rambutan. Kemudian mereka bermandi manda, kecuali aku yang tiada mod nak mandi, hanya melihat mereka yang kelihatannya sangat gembira bermain air. Aku duduk di tebing sungai sambil makan buah-buahan.

     Setelah mereka puas mandi dan bermain air, mereka pun mengajak pulang. Dalam perjalanan pulang, hujan turun dengan lebatnya. Kami semua basah kuyup. Kak Fauziah mencadangkan untuk ikut jalan lain kerana jalan itu lebih singkat. Pada mulanya ada yang takut hendak melalui jalan itu kerana ianya menempuh tanah perkuburan dan berhampiran dengan hutan, tetapi akhirnya kami ikut juga jalan itu untuk cepat sampai ke rumah. Beberapa kali aku, Li dan Lan menyakat mereka sehingga ada yang menjerit ketakutan. Perjalanan di dalam hujan lebat ini membuatkan kami semuanya mengeletar kesejukan. Sepanjang perjalanan ini, aku selalu mencuba berjalan di sisi Cah, tetapi dia menghindar kerana malu. Akhirnya kami sampai ke rumah ketika hujan sudah mula reda. Aku menyesal kerana tidak mandi di Lata tadi.

     Pagi itu aku bangun tidur dan terus mandi di sungai. Selepas mandi aku di jamu sarapan pagi. Adik-adik baru bangun tidur. Cah pula sedang menyapu di halaman rumah. Aku memerhati dia sambil minum kopi O panas. Selepas itu aku bersantai sambil mendengar lagu 'Serikandi cintaku - Bloodshed'. Aku duduk bersandarkan dinding rumah dan Cah pula duduk di muka pintu di sebelah kananku.

     "Abang nak balik dah.." kataku dengan berat hati.

     "Balik? Alaa... Esok pagi la ya" balasnya.

     "Tak boleh Cah sebab esok abang kerja.." kataku menjelaskan.

     Sepi.

     Lidahku kelu untuk meluahkan rasa hati ini. Hatiku yang bergelora dengan rasa cintaku terhadapnya. Aku terlalu malu untuk menyampaikan ia kepadanya. Sampai bila begini? Jika beginilah sikapku, maka dia tak akan tahu apa yang sedang terpendam di jiwaku ini. 

     Tibalah masanya untuk pulang. Aku bersalaman dengan makcik dan pakcik serta mereka yang lain. Cah menemani aku di perhentian bas. Aku dan Cah berdiri berhadapan tetapi matanya memandang sayu ke arah deretan kedai di belakangku. Aku memandang ke tanah, terlihat sekuntum bunga berwarna kuning. Aku segera memetiknya dan berkata, 

     "Cah, nah bunga.." 

     Dia mengambilnya sambil tersenyum manis.

     Aku tidak berkata apa yang sepatutnya aku katakan, hanya berbual kosong sehingga bas pun tiba. Aku bersalaman dengannya buat kali yang terakhir serta memohon ampun dan maaf darinya. Aku menaiki bas lantas bas pun bergerak meninggalkan perkampungan ini. Selamat tinggal gadis desa. Selamat tinggal semua...


     ***  ** *



     Di perkampungan ini aku tersadai. Pada keluarga ini aku terhutang budi. Semoga Tuhan Yang Maha Mengasihani memberikan kebahagiaan dan mencucuri rahmat-Nya kepada keluarga ini, Pakcik Rashid dan makcik serta anak-anaknya, dan tak lupa juga kepada keluarga Pakcik Ariffin.

1. Salina Md. Rashid. 2. Norkhamisah Md. Rashid. 3. Rodiah Md. Rashid. 4. Azizah Md. Rashid. 5. Rosli Md. Rashid. 6. Roslan Md. Rashid. 7. Norsiah Md. Rashid. 8. Fauzi Md. Rashid.

9. Abdul Rahman Ariffin ( Halim ). 10. Salmiah Ariffin. 11. Anita Ariffin. 12. Nazri Ariffin. 13. Basri Ariffin.

     ***  **  *    

     Selasa 17hb November 1992, Aku menerima sepucuk surat. Aku tidak dapat meneka dari siapakah surat ini. Namun setelah di buka, tertulis di situ satu nama yang tidak asing lagi, Norkhamisah, sebuah nama yang telah sebati di bibirku bertahun lamanya. Dengan penuh kegembiraan aku menatapnya. Namun baru saja beberapa ayat yang aku baca, tertulis nama-nama yang asing buat diriku. Nama Ahmad Husaini di tulis selepas namanya yang rupa-rupanya itu adalah suaminya. Satu lagi nama Nor Ashikin, ini adalah nama anaknya yang baru berusia dua bulan. Begitulah isi pada permulaan suratnya. Dinyatakan lagi di dalam surat ini bahawa mereka telah di ijab kabulkan setahun yang lalu. 

     Oh! Sekiranya aku tidak kuat semangat, pasti aku sudah tumbang seketika itu juga. Patutlah sejak setahun yang lalu semua surat-surat yang aku kirimkan kepadanya tidak dibalas, sehinggakan aku sangat mendambakan warkah-warkah darinya. Pada hari ini muncul jua warkah yang teramat aku nanti-nantikan. Namun isinya hampir membuatkan aku gila! Oh! Cah, kenapa begini yang terjadi pada diriku? Tidakkah kau ketahui bahawa akulah orangnya yang menyayangimu di dalam senyap? Dan akan tetap menyayangimu untuk selamanya.. Ya Allah! Tabahkanlah jiwaku dalam menghadapi situasi ini.. 🤲

     PENANTIANKU BERAKHIR..

     Siapakah orangnya yang menjadi pujaan hatiku? Tiada lain hanya dia yang kusebut Misah.. Pertemuan hanya seketika, perpisahan terlalu lama, lantas kerinduan menjadi temanku. Air mataku mengalir kerana dia.. Di malam yang sepi dan dingin, hanya dia yang aku rindukan..  

     Setelah setahun dia menyepi tanpa berita yang menimbulkan seribu tanda tanya di hatiku, hari ini terjawablah sudah. Aku sangka ini khabar gembira, rupanya khabar duka.. 

     Misah, kini kau milik orang. Engkau bukan milikku lagi. Kau kini tempat insan lain mencurahkan kasih sayangnya. Aku kini tiada lagi tempat mencurahkan kasih dan sayangku. Misah, kini kau berikan kasih sayangmu pada insan lain, tidak lagi kepadaku. Aku hanya memiliki hati yang gersang..

     Misah kekasih hatiku, jalan untuk aku memiliki dirimu sudah tertutup rapat. Setelah engkau pergi pada siapa lagi hendak aku serahkan cintaku ini? Cintaku akan berkelana entah ke mana. Kini aku hanya mengasihani pada diriku sendiri. Betapa kecewanya wahai aku si pengemis cinta.

     ( perutusan terakhir untukmu Cah.. ) Rusda B.A. 1984... Hingga akhir nanti..



Masihkah kau ingat - Kopratasa.

Masihkah kau ingat
Pada waktu itu sekuntum bunga mekar
Kuselip ke rambutmu

Masihkah kau ingat
Ia menjadi mimpi dan menjadi rindu
Masihkah kau ingat

Masihkah kau ingat
Kita berlari-lari di kaki langit mencari pelangi
Lalu hujan turun kita basah bersama
Masihkah kau ingat

Masihkah kau ingat
Sekuntum bunga itu
Di tapak tangan ini
Ia menjadi layu

Lalu kugengam ia menjadi debu
Masihkah kau ingat
Masihkah kau ingat

Masihkah kau ingat
Kita berlari-lari di kaki langit mencari pelangi
Lalu hujan turun kita basah bersama

Masihkah kau ingat
Sekuntum bunga itu
Di tapak tangan ini
Ia menjadi layu

Lalu kugengam ia menjadi debu
Masihkah kau ingat
Masihkah kau ingat

Masihkah kau ingat
Sumber: Musixmatch
Penulis lagu: Sani Sudin

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Saudara2ku yang dihormati dan semua yang mengunjungi blog ini, terimakasih saya ucapkan kerana telah sudi meluangkan masa di sini, semoga kehadiran kalian berakhir dengan manafaat. Walau bagaimanapun, saya tetap insan yang lemah, segala kesilapan saya silalah ditegur, dikritik dan dinasihati ..