Cari Blog Ini



Allah Telah Menjanjikan Kepada Orang-Orang Yang Beriman Dan Mengerjakan Amal Sholeh Untuk Menjadikan Mereka Sebagai Khalifah Di Muka Bumi Ini Sebagaimana Ia Telah Menjadikan Orang-Orang Sebelum Mereka Sebagai Khalifah, Menyebarkan Bagi Mereka Agama Yang Telah DiredhoiNya Untuk Mereka Secara Merata Dan Menggantikan Ketakutan Mereka Dengan Rasa Keamanan (sehingga) Mereka Dapat Menyembah-Ku Dan Tidak MenyekutukanKu. Barangsiapa Engkar Setelah Itu, Merekalah Orang-Orang Yang Fasiq-An-Nur : 56


Wahai Orang-Orang Yang Beriman Barangsiapa Dari Kalian Berpaling (murtad) Dari Agamanya Maka Allah SWT Akan Memunculkan Sekelompok Kaum Yang Dia Cinta Mereka Dan Mereka Juga MencintaiNya -Al-Maidah :54


Ternyata Sekarang Ini Dunia Telah Dipenuhi Dengan Pemimpin Zalim Baik Dari Negara Kafir Mahupun Dalam Negara Muslim Sendiri...


Namun Masanya Sudah Hampir Tiba, Dunia Akan Diwarisi Oleh Hamba-Hamba Tuhan Yang Sholeh. Dia Akan Memenuhi Dunia Dengan Keadilan Setelah Dunia Ini Dipenuhi Dengan Kezaliman Para Pemimpin..




Penyelamat Umat Itu bakal Datang tidak lama lagi...!!!

Khamis, 3 Oktober 2024

Hidup Di Perantauan..

    
     

   

     Johor Bahru 

     Pada 7hb Oktober tahun 1989, aku mencapai beg sandang bersaiz besar yang telah di isi penuh dengan pakaian dan barang keperluan yang lain lalu bergerak ke luar rumah. Sewaktu aku hendak keluar dari rumah, ibuku bertanya, 

     "Nak ke mana?" 

     "Ke Kuala Lumpur.." 

     Ibuku diam tidak berkata apa-apa lagi.

     Sebenarnya aku berniat hendak ke Johor Bahru untuk memulakan kehidupan baruku di rantau orang. Aku mahu mencari kerja di sana. Mungkin rezekiku ada di sana. Aku membawa wang sebanyak RM140 sahaja. Aku naik kereta api pada jam 1.30 tengah hari. Di dalam perjalanan aku mendengar muzik dari band Iron Maiden yang sangat aku minat itu melalui pemain walkman yang aku bawa bersama. Sayu juga rasa hati ini meninggalkan Kampung Paya dan kawan-kawanku, Namun suatu hari nanti pasti aku akan kembali semula.

     Kereta api tiba di perhentian Kuala Lumpur pada waktu subuh. Aku turun di sini kerana tiket yang aku beli hanya untuk sampai di sini sahaja. Aku berjalan menuju ke Masjid Negara untuk menunaikan sholat subuh. Rupanya Masjid Negara sedang dalam pengubahsuaian. Aku berjalan pula ke Masjid Jamek lalu sholat di situ. Setelah menunaikan sholat subuh di situ, aku berjalan pula ke Masjid India untuk berehat dan tidur sebentar. 

     Pada waktu petang aku meronda di Pudu Raya dan Kompleks Budaya. Di sini aku leka mendengar deklamasi sajak dan puisi jalanan yang di sampaikan oleh beberapa orang seni termasuk Pian Habib yang aku minati. Aku sholat magrib di Surau perhentian kereta api Kuala Lumpur. 

     Pada jam 9 malam, aku naik kereta api menuju ke Johor Bahru. Perjalanan waktu malam sungguh membosankan kerana aku tidak dapat melihat pemandangan di luar. Maka apa boleh buat hanya tidur sahaja di sepanjang perjalanan ini.

     Kereta api ini tiba di perhentian Johor Bahru pada waktu subuh. Perhentian kereta api ini kecil sahaja. Bandar Johor Bahru masih samar-samar. Aku singgah di gerai yang berdekatan untuk minum. Kemudian aku mencari surau atau masjid untuk sholat subuh tetapi gagal menemuinya. Apa boleh buat, aku niat saja untuk sholat subuh ini sebaik saja aku menemuinya nanti.

     Aku berehat di tepi pantai Lido sambil mendengar siaran-siaran radio yang di pancarkan dari Republik Singapura Corporation (SBC). Banyak gelombang radio yang telah menggunakan format stereo. Aku leka mendengar lagu-lagu melalui pemain walkman ini sehingga matahari terbit. Setelah keadaan sekitar terang benderang di bawah sinar matahari, aku kagum memerhati ke seberang Selat Tebrau, kelihatan Negara Singapura dengan bangunan-bangunan yang tersergam megah. Timbul keinginanku untuk berhijrah ke sana. Mungkin suatu hari nanti, jika ada rezekiku. 

     Aku melepak di tepi pantai Lido sehingga pukul 9 pagi. Kemudian aku merayau-rayau sambil mencari keberadaan masjid atau surau. Aku merayau sehingga habis tenagaku lalu berehat. Setelah mendapat tenaga kembali, aku merayau lagi. Begitulah beberapa kali. Masih tidak menemui apa yang di cari. Aku kembali semula ke tepi pantai Lido duduk termenung memikirkan ke mana aku hendak pergi. 

     Pada pukul 11 pagi hujan turun dengan lebatnya. Setelah hujan berhenti aku merayau lagi sehingga tengah hari, barulah aku menemui masjid. Masjid Sultan Abu Bakar ini letaknya di atas bukit tidak jauh dari pantai. Dari halaman masjid ini aku dapat melihat pemandangan Selat Tebrau yang sangat menarik hati serta kelihatan juga rumah-rumah flat dari Negara Singapura. 

     Abang Zamri

     Selepas sholat zohor aku berkenalan dengan seseorang. Namanya Zamri berumur lebih kurang 30'an. Rupa-rupanya dia juga datang dari Negeri Perak, tepatnya dari Bandar Kuala Kangsar. Sudah seminggu dia berada di sini. Mengapa dia berada di sini? Katanya, dia datang ke Johor Bahru (JB) kerana menghadiri perbicaraan di mahkamah atas kes kemalangan jalan raya yang melibatkan dirinya. Dia tidak dapat pulang ke Kuala Kangsar kerana keretanya rosak. Wangnya pula sudah habis di gunakan untuk membaiki keretanya itu. Namun begitu, alhamdulillah, dia sudah mendapat pekerjaan di sini. Setelah dia mendengar pula cerita tentang diriku, dia terus mengajak aku bekerja di tempat kerjanya. Apabila hari sudah jauh malam, kami tidur di masjid ini.

     Keesokan paginya aku dan Abang Zamri menaiki keretanya ke tempat kerja. Tempat kerja itu tidaklah jauh dari masjid ini dan ianya hanyalah sebuah kedai kecil yang menjual 'Minyak Zirafah'. Sebaik saja aku sampai di kedai ini, aku diperkenalkan kepada dua orang wanita, seorang bernama Noriah, mungkin umurnya 25 tahun dan seorang lagi namanya Rin yang berumur dua puluh tahun. 

     Setelah beberapa hari aku bekerja di sini, aku mendapati Rin adalah seorang yang berkeperibadian lembut dan peramah. Bibirnya sentiasa terukir senyuman yang manis. Pergaulan kami agak mesra. Dia memanggil diriku 'abang' dan aku pula memanggil dirinya 'adik'. Aku mula menyukai dia. Namun aku menghalang jiwaku untuk berlebihan dalam menyukainya kerana aku sudah berazam untuk tidak akan terpikat dengan mana-mana wanita, apatah lagi untuk jatuh cinta selama aku di perantauan ini, lagipun dalam jiwaku ini telah tersemat satu nama yang tak mungkin aku dapat lupakan, 'Misah' gadis dari desa terpencil itu..

     Di kedai kecil ini, aku dan Abang Zamri bekerja mengambil upah mengisi minyak urut yang berwarna hijau tua itu ke dalam sebuah botol kecil. Setelah botol itu di isi minyak tersebut dan di tutup dengan kemas, kami membalut botol itu dengan kertas berlabel 'Minyak Zirafah'. Kandungan isi padu 28ml berharga rm3.00 sahaja. Kami perlu menyiapkan sedozen (12 botol) untuk mendapatkan upah sebanyak 40 sen. Dalam sehari itu aku dapatlah menyiapkan sebanyak 60 dozen, bermakna aku mendapat upah sebanyak RM12 sehari. Selain daripada itu, kami juga mengambil upah melipat kertas risalah yang di gunakan untuk mempromosikan minyak zirafah ini. Kertas ini kami lipat empat. Setiap sebungkus kertas ini upahnya RM1.50. Kerja ini kami lakukan di luar waktu kerja dan juga pada hari cuti kerja.  Alhamdulillah cukuplah untuk keperluan aku seharian.

     Pada waktu malam selepas bekerja, kami merayau-rayau di Bandar Johor Bahru. Melihat orang menjual ubat di kaki lima. Melihat orang berniaga di Pasar Malam. Dan yang paling menarik perhatian adalah melihat beberapa orang 'Maknyah' memperagakan diri di Jalan Dobby. Tempat ini tidaklah jauh dari tempat kami bekerja. Kami merayau-rayau dari jam 11 malam sehingga jam 1 pagi.

     Abang Zamri bercerita;

     Pada suatu hari, ketika abang masih bekerja sebagai seorang anggota tentera, abang selalu lepak di kelab malam. Di situ ada seorang gadis cantik yang telah menarik minat abang. Sudah dua minggu abang berkenalan dengannya. Namanya Nora. Suatu malam abang sudah mabuk berat sehingga berjalan pun terhoyong-hayang. Nora menawarkan diri untuk menemani abang pulang. Pada mulanya abang menolak kerana risau akan terjadi sesuatu yang buruk. Namun dia berkeras dengan alasan abang terlalu mabuk untuk kemana-mana dan dia terus membimbing abang berjalan sehingga ke luar kelab malam. Kami menyewa sebuah teksi untuk pulang ke rumah. Suaranya yang lembut dan merdu itu tidak lagi abang dengar kerana abang sudah tertidur sebaik saja masuk ke dalam teksi. Abang terjaga dari tidur setelah dibangunkannya. Rupa-rupanya kami sudah sampai di rumah. Nora memang pernah sampai di rumah ini tetapi bukanlah pada waktu awal pagi seperti ini.

      Setelah berada di dalam rumah, Nora segera membancuh kopi O untuk aku minum. Setelah minum, abang berkata kepadanya hendak masuk bilik untuk tidur. Dia pula meminta izin untuk ke bilik mandi. Pada masa ini, terbit dalam fikiran abang untuk mengintip dia yang sudah berada di dalam bilik mandi. Ketika inilah terjadi suatu pemandangan yang tidak akan dapat abang lupakan. di dalam sana, abang dapat melihat Nora tanpa seurat benang pun di tubuhnya. Bentuk tubuhnya memang cantik dan mengiurkan. Namun apa yang sungguh memeranjatkan adalah, sebaik saja abang dapat melihat alat kelaminnya, sungguh abang tidak sangka rupa-rupanya dia bukan seorang perempuan tetapi dia adalah seorang lelaki. Abang betul-betul rasa tertipu. Selama ini abang telah berkawan dengan 'maknyah' rupanya. 

     Begitulah cerita Abang Zamri yang membuatkan aku ketawa kerana merasa cerita ini lucu. Kemudian kami tidur buat kali yang seterusnya di Masjid Sultan Abu Bakar ini.

     Perjalanan Jauh

      Pada hari Sabtu dan Ahad kami cuti bekerja. Abang Zamri mengajak aku ke Kota Tinggi, sejauh lima belas batu dari masjid ini. Di dalam perjalanan ini aku asyik membaca cerpin ilustrasi bertajuk 'Aku Budak Minang" karya kartunis Ujang.

     "Kalau kamu nak balik ke JB nanti, sorang-sorang, mesti kamu sesat ni!" tiba-tiba Abang Zamri bersuara, "sebab kamu tak perhatikan arah jalan ni, asyik baca buku jee.." sambungnya lagi. 

     Betul juga katanya, bisik hatiku. Aku pun segera menutup buku lantas memerhati ke luar tingkap. Sesekali aku menjeling juga ke arah buku kartun tadi.

     Tidak lama kemudian kami tiba di kawasan air terjun tetapi kami tidak dapat masuk ke dalam kerana telah di tutup lagipun hari sudah senja. Kata Abang Zamri kalau kami dapat masuk ke dalam tu, kami boleh mandi dan membasuh pakaian di situ dan juga hendak tidur di situ pun boleh. 

     Kami meneruskan perjalanan. Aku sangat tertarik dengan pemandangan di kiri dan kanan jalan ini. Kami menempuh hutan, ladang kelapa sawit dan bukit bukau. "Inilah tempatnya abang training semasa dalam askar dulu," beritahu Abang Zamri. Aku terus bertanyakan beberapa soalan kepadanya berkenaan pekerjaannya sebagai seorang anggota tentera. Banyak cerita menarik yang telah diceritakan kepadaku di sepanjang perjalanan ini. 

     "Mengapa abang berhenti jadi askar?"

     "Sebenarnya abang tak suka kerja ni sebab abang tak ada keikhlasan buat kerja ni.."

     "Maksudnya keikhlasan yang bagaimana?" Aku masih kurang faham.

     "Abang rasa diri abang tak ikhlas dalam membela negara dan agama. Abang kerja semata-mata hendak mendapatkan duit gaji. Apatah lagi kalau dah berpangkat mulalah fikir nak kumpul harta.." 

     "Abang risaukan askar-askar ni kalau pergi perang nanti konon kalau terbunuh dapatlah mati 'syahid' tapi amal tiada, sholat yang wajib tak buat malah minum arak pula, kalau begini dapat mati 'katak' la.." Ucapnya dalam nada kesal.

     "Lepas berhenti askar, abang berniaga sebab abang fikir inilah pekerjaan yang paling baik dalam dunia.." Sambungnya lagi, "abang tak peduli apa orang nak kata, abang bersyukur kerana Allah telah beri taufik dan hidayah-Nya untuk abang beribadah dan berhenti minum arak."

     


     Tidur di Tokong Cina

     Tidak lama kemudian kami berhenti di kawasan ladang kelapa sawit selepas melintas sebatang anak sungai. Abang Zamri mengajak mandi di sini. Kami pun mandi sepuasnya di anak sungai ini. Hari sudah mulai gelap. Suasana terasa sangat sunyi. Nyamuk pun banyak. Selepas mandi, kami sholat di tepi jalan ini. Terjadi sedikit perbalahan ketika hendak sholat. Aku meminta dia menjadi imam sholat tetapi dia menolak. Aku terus memaksanya kerana dalam fikiran aku lebih baik sholat dengan berjemaah daripada sholat bersendirian. Dia terus menolak dengan alasan belum cukup ilmu untuk menjadi imam sholat. Aku pula terus menerangkan kepadanya bahawa pada ketika ini dia sudah layak menjadi imam kerana dia lebih tua dari aku dan tiada orang lain selain kami berdua yang berada di sini. Inilah cara Rasulullah saw sholat ketika ada dua orang atau lebih di sesuatu tempat. Abang Zamri masih dengan pendiriannya dan akhirnya kami masing-masing sholat bersendirian. 

     Selepas waktu isyak kami meneruskan perjalanan. Kami pun tiba di Kota Tinggi. Di sini kami singgah di sebuah restoran mamak untuk mengisi perut yang kosong. Aku makan dua keping roti canai. Abang Zamri hanya makan sekeping. Selepas makan kami mencari tempat tidur. Susahnya nak cari tempat yang sesuai untuk tidur. Akhirnya kami menemui sebuah tokong cina, 

     "kita tidur sini.."

     "Eh? Boleh tahan ke?" Aku masih ragu-ragu.

     "Alaa tidur je laa.." Abang Zamri acuh tak acuh dengan pertanyaanku.

     Kami tidur di tokong cina ini dengan berlapikkan kertas surat khabar. Aduhai! Tidak pernah dalam hidupku tidur di tempat pemujaan syaitan ini. Apatah lagi sebelum kami tidur, Abang Zamri telah bercerita tentang hantu dan syaitan. Jangan di ganggu hantu ketika tidur ini sudahlah. Namun aku kuatkan semangat dengan berkata dalam hati, "nak takut apa, syaitan hantu ni semua hanya makhluk Allah je. Dia hanya boleh mengganggu dengan izin Allah, jika tidak dengan izin Allah dia tiada kuasa pun nak usik aku.."

     "Aku perhatikan kamu ni rajin menulis. Apa kata kamu tulis kisah kita tidur di tokong cina ni, hantar ke majalah, mesti menarik kan?" Tiba-tiba saja Abang Zamri melahirkan ideanya yang agak bernas. Aku tersenyum.

     "Saya tak laa pandai sangat," aku merendahkan diri, "saya hanya tulis diari je, ayat pun tunggang langgang.."

     "Emm.. Kamu ni apa pun tak boleh..." Dia mencebik bibir. Aku hanya ketawa kecil.

     Setelah berbual beberapa ketika, kami pun terlena.

     Keesokan paginya kami bangun lewat, sedar-sedar matahari sudah terpacak tinggi di langit. Kami sudah terlepas waktu subuh. Lena sungguh kami tidur di tokong cina ini. 

     Kami mencari tempat mandi dan membasuh pakaian. Kami merasa lega kerana akhirnya kami bertemu tempat itu. Selepas mandi dan membasuh pakaian. Kami terus melepak di sini untuk menunggu semua pakaian kami kering. Sementara menunggu, aku membuat kerja melipat kertas risalah promosi 'minyak zirafah'.

     Menjelang petang, barulah kami beredar dari tempat ini. Kami akan kembali ke Johor Bahru. 

     Di dalam perjalanan ini, Abang Zamri banyak bercerita perihal dirinya dan juga telah mengkritik penampilanku. Katanya aku ini seorang yang selekeh, berpakaian lusuh macam kain buruk dan dia merasa malu berkawan dengan aku. Aku tersinggung dengan kata-katanya ini.

     Sebenarnya sejak memulakan perjalanan jauh ini, aku ada sedikit rasa tidak sukakan Abang Zamri. Percakapannya yang suka membangga-banggakan diri dan meredah-rendahkan diriku. Tidak pernah mahu menerima cadangan dan idea dari aku. Dan kini dia menghina diriku, lantas menguatkan lagi ketidak-sukaan aku terhadap dirinya. Mulai saat ini, aku lebih suka mendiamkan diri daripada terus berdebat dengannya. 

     Setibanya kami di perkarangan Masjid Sultan Abu Bakar, aku masuk ke dalam masjid dan terus membuat kerja melipat kertas risalah ini sehingga keletihan lalu tertidur.

     Pagi Isnin kami kembali bekerja. Majikan kami yang bernama Kamal turut membantu kami membuat kerja. Dia juga sudi berbual-bual dengan kami. 

     Sepanjang perbualan aku dengannya, ternyata majikanku ini luas pengetahuan agama. Dia juga taat pada perintah Allah SWT. Katanya pernah ikut Jemaah Tabligh keluar tiga hari di jalan Allah SWT dan pernah menyertai perhimpunan Umat Islam di India. Kemudian katanya, dia akan menghadiri perhimpunan Jemaah Tabligh di Simpang Tiga, Labu Kubung, Telok Intan , Perak yang akan berlangsung tidak lama lagi. Aku juga turut berazam untuk menghadirinya. 

     Seperti biasa kami berhenti rehat pada pukul 1 tengah hari untuk pergi menunaikan sholat zohor dan kemudian makan tengah hari. Pukul 2 petang baru masuk kerja semula. 

     Di tempat kerja, Abang Zamri mengarah aku untuk membuat tugas menampal lebel sahaja dan dia hanya mengisi minyak dalam botol. Sepatutnya kami ditugaskan untuk bergilir-gilir buat kerja tersebut. Aku sebenarnya mahu membantah, tetapi memandangkan sikap Abang Zamri yang sentiasa mahu menang sendiri, aku hanya pendamkan saja ketidakpuasan hatiku ini. 

     Pada hujung minggu berikutnya ketika kami dalam perjalanan pulang dari kerja, aku dalam keadaan gelisah berkata kepada Abang Zamri,

     "Abang, hari ni saya tak mau jalan jauh-jauh. Saya nak lepak masjid je. Kalau abang nak pergi berjalan-jalan, pergi laa.." 

     Aku sebenarnya letih hanya mahu berehat saja lagipun kalau aku ikut dia berjalan jauh, tentu separuh duit minyak aku kena tanggung juga. 

     "Aku nak cari bateri kereta dulu.." Katanya sebaik saja dia menyimpang dari jalan yang menuju ke masjid. Kami berlegar-legar di sekitar Bandar JB untuk mencari kedai yang menjual bateri kereta terpakai. Hampir sejam juga kami mencari sebelum menemuinya. Setelah membelinya kami pun pulang ke masjid.

     


     Malam Perpisahan

     Selepas Sholat Magrib, aku mendapati Abang Zamri tiada, mungkin dia telah pergi berjalan ke mana-mana. 

     Ketika aku sedang duduk termenung sendirian di luar masjid, seorang lelaki menghampiri aku. Pada pengamatan aku, dia mungkin sebaya dengan Abang Zamri. Dia memberi salam dan aku pun menjawab salam darinya. Kami berbual-bual seketika. Katanya, dia dari Kampung Manjoi, Perak. Eh? Orang Perak juga rupanya. Sudah empat hari dia berada di sini. Mencari kerja. Hari ini dia sudah dapat kerja sebagai pengawal keselamatan. Gaji RM300 sebulan, jika kerja lebih masa boleh dapat RM400 sebulan. 

     "Tapi aku tak mahu kerja ni,"

     "Eh? Kenapa tak nak pula?"

     "Sebab tak dapat sembahyang.." Jawabnya, "rumah yang syarikat itu bagi untuk pekerja duduk tu penuh sesak dah macam ikan sardin. Tak ada tempat selamat untuk simpan beg pakaian," sambungnya lagi. Aku cuma anggukkan kepala tanda bersetuju dengannya. Kemudian dia bertanyakan perihal diriku. Aku pun berceritalah...

     Selepas Sholat Isyak barulah aku bertemu Abang Zamri. Katanya tadi dia memandu kereta ke mana-mana untuk menguji keretanya yang telah diganti bateri yang baru di beli petang tadi. Dia mendapati keadaan injin keretanya semangkin teruk walaupun telah di gantikan bateri baru. 

     "Darus, aku fikir aku kena balik Perak malam ni,"

     Aku terkejut dengan kata-katanya ini. 

     "Malam ni?" aku inginkan kepastian. Kenapa dengan tiba-tiba saja Abang Zamri hendak balik? Hatiku bertanya seakan tidak dapat menerima kenyataan ini. 

     "Ya. Apa boleh buat. Kalau lagi lama aku di sini, risau kereta ni akan jadi lebih teruk rosaknya. Silap gaya langsung tersadai di sini pula.." Jawabnya memperjelaskan lagi masaalah yang sedang di hadapinya. Aku terdiam. Betul juga apa yang dikatakannya. Memang sejak beberapa hari ini keretanya itu selalu meragam. Susah hendak hidupkan enjin dan bila bergerak pula tidak lancar dan selalu semput. 

     Abang Zamri duduk termenung di dalam keretanya. Entah apa yang sedang di fikirkannya. Kami membisu beberapa ketika. Tiba-tiba aku terfikir sesuatu, aku pun bersuara, "berapa agaknya duit minyak kereta dari sini sampai ke Kuala Kangsar?"

     "Lima puluh ringgit,"

     "Mahalnya.." keluh hatiku. Aku tahu Abang Zamri tidak cukup duit untuk perjalanan balik. Itulah yang membuatkan dia termenung panjang. 

     Abang Zamri akhirnya dengan tersenyum malu meminta pinjam sedikit wang dariku. Aku pun tanpa ragu-ragu memberinya sekeping wang kertas lima puluh ringgit kepadanya. 

     "Terima kasih Darus. Abang janji akan bayar nanti.." Ucapnya dengan penuh nada gembira dan kelegaan.

     Lima belas minit kemudian. Setelah semua persiapan selesai,

     "Darus, abang nak balik sekarang,"

     "Abang Zamri, saya minta maaf kerana selama ni ada menyinggung perasaan abang. Segala jasa baik abang akan saya ingat. Kalaulah saya tak jumpa abang hari tu, entah apa nasib saya." 

     "Abang pun minta maaf kalau sikap abang ada yang menyakitkan hati kamu,"

     Kemudian kami bersalaman sebelum berpisah. Aku memerhatikan keretanya bergerak menjauh lalu hilang dari pandangan. Terasa sayu di hati ini. 

     Kini aku sendirian lagi. Terkenang kembali saat bersamanya. Ketika persahabatan mula terjalin, bekerja di tempat yang sama, membuat perjalanan jauh dan akhirnya terjadi perselisihan faham yang membuatkan persahabatan kami menjadi renggang. Aku termenung memikirkannya. 

     Lama aku termenung di tangga masjid ini sehinggalah mataku terpandang seseorang. Lelaki yang telah berbual denganku seketika selepas waktu magrib tadi. Dia sedang rancak berbual dengan para jemaah masjid yang masih belum pulang.

    Abang Man

     Tiba-tiba harapan untuk aku berteman kembali segar. Lelaki ini mungkin boleh menjadi pengganti Abang Zamri yang sudah bergerak pulang. Dalam pengamatan aku, dia seorang peramah dan suka bergaul, bertentangan sifat dengan Abang Zamri yang pendiam dan tidak suka bergaul dengan orang ramai. Aku tersenyum sendirian dan menanti peluang untuk berbual lagi dengannya.

     Setengah jam kemudian barulah aku dapat berbual dengannya. Namanya 'Halalaman', dia bangsa kacukan Melayu dan Pakistan. Patutlah pelik namanya. Aku panggil dia 'Abang Man' saja. Wajahnya seperti orang Arab. Kacak, tentu ramai gadis yang terpikat dengannya. Tinggi lampai orangnya setara dengan 'Along' watak animasi 'Kisah Malaysia Dilema' dalam majalah Gila-Gila. 😁

     Setelah kami saling mengenalkan diri, aku mengajak dia bekerja bersamaku menggantikan tempat Abang Zamri. Dia terus bersetuju. Aku merasa lega dan sangat bersyukur kerana sudah mendapatkan pengganti Abang Zamri hanya dalam beberapa jam setelah dia pergi. Setelah malam semakin dingin kami pun tidur.

     


     Pagi itu adalah pagi yang jauh berbeza dari yang sebelumnya. Biasanya aku akan pergi ke tempat kerja menaiki kereta bersama Abang Zamri. Kali ini aku kena berjalan kaki bersama Abang Man. Rupa-rupanya tidaklah jauh sangat. Kami melalui Taman Bunga. Di sini terdapat ramai orang yang berjoging. Taman ini sangat luas lebih satu batu persegi. Tidak pernah aku temui taman yang seluas ini. Di sebelah taman bunga ini ada Zoo Negeri Johor. Selepas zoo, kami temui Pejabat Pos pula. Dan suku batu selepas itu, kami pun tiba di tempat kerja.

     Bekerja dengan Abang Man lebih menyeronokkan. Kami buat kerja bergilir-gilir antara mengisi minyak di dalam botol dan melekat label pada botol tersebut. Sambil bekerja Abang Man banyak berbual dengan aku dan juga berbual dengan Abang Zamri, majikan kami. 

     Hari-hari yang berlalu lebih mengembirakan setelah bersama Abang Man. Kami saling menghormati. Dia tidak pernah berkata yang bukan-bukan apatah lagi menghina orang lain. Dia juga sangat rajin membantu orang masjid seperti mencuci tandas, mencuci kolah tempat berwuduk dan lain-lain. Aku pula turut membantu dia dalam membuat kerja amal itu. Sebelum ini aku tidak pernah terfikir hendak membuat semua kerja tersebut. Lagipun setiap masa cuti bekerja, Abang Zamri hanya fikir hendak keluar berjalan-jalan. Begitu jauh beza sikap antara mereka berdua.

     Markas Jemaah Tabligh

     Di suatu malam yang dingin, fikiranku menerawang. Kembali mengenangkan masa yang sudah berlalu. Aku terkenangkan kampung halamanku, keluargaku dan kawan-kawan yang aku tinggalkan. Akhirnya aku teringatkan Masjid Menglembu. Masjid ini merupakan Markas Jemaah Tabligh untuk kawasan Ipoh dan sekitarnya. Sepatutnya aku harus berada di sana sekarang kerana malam ini malam sabtu, masa untuk semua 'karkun' berkumpul setiap minggu. (karkun adalah sebutan kepada mereka yang sudah ikut Jemaah Tabligh keluar di jalan Allah SWT). Minggu ini pula adalah giliran aku keluar selama tiga hari di jalan Allah SWT bersama jemaah untuk memperbaiki diri sendiri dan sekali gus menyampaikan kepada Umat Islam betapa pentingnya amalan agama pada diri setiap manusia. Inilah 'kerja' yang sudah aku tinggalkan sejak beberapa bulan lalu.

     Aku bertanya Abang Man di manakah Markas jemaah Tabligh JB?

     "Di Masjid Arab-Pakistan." Jawabnya.

     Petang itu aku bersiap-siap untuk pergi ke Masjid Arab-Pakistan. Aku bawa semua yang aku miliki kerana aku tidak lagi berniat untuk kembali ke sini. Aku mengajak Abang Man bersamaku tetapi dia menolak.

     "Kamu pergilah nanti kita jumpa di tempat kerja."

     Aku tiba di Masjid Arab-Pakistan hampir menjelang senja. Rupa-rupanya masjid ini tidaklah jauh dari perhentian kereta api JB. Namun aku tidak melihatnya sewaktu mula-mula sampai di sini dulu walaupun aku sudah pun melalui kawasan ini di waktu suasana masih samar-samar sebelum terbitnya matahari. Masjid ini kecil sahaja. Di sebelah kirinya bengkel motorsikal dan di sebelah kanan pula jalan raya. Di belakang pula berdiri beberapa bangunan setinggi empat tingkat sehingga enam tingkat. Masjid ini berada di hadapan jalan raya yang cukup sibuk dengan kenderaan lalu lalang. Walaupun masjid Arab-Pakistan ini kecil sahaja, tetapi sentiasa di kunjungi orang ramai.

     Meskipun aku sudah berpindah tempat menginap, aku masih lagi bekerja di kedai minyak zirafah. Pada hari berikutnya majikan kami telah mengumumkan kepada semua pekerjanya bahawa hujung minggu ini adalah hari terakhir kami bekerja. Ini kerana syarikat ini sudah kehabisan stok minyak zirafah.  Ia hanya akan kembali beroperasi pada bulan hadapan.

     Aku sedikit mengeluh dengan pengumuman ini. Aku kena cari kerja lain sebelum aku kehabisan duit belanja. Abang Man pula akan terus berkhidmat di Masjid Sultan sehingga bulan puasa yang akan datang. AJK Masjid akan memberikan wang sagu hati kepadanya. 

     Selamat Tinggal Johor Bahru

     Hari ini hari terakhir aku bekerja di Kedai Minyak Zirafah. Aku sudah merancang hendak meninggalkan Johor Bahru. Keputusan ini aku buat beberapa hari sebelumnya, setelah aku memerah otak berfikir apa yang seharusnya aku lakukan setelah berhenti kerja di sini. Pada mulanya aku hendak mencari kerja lain dan terus menginap di Masjid Arab-Pakistan ini. Kemudian terfikir pula hendak kembali ke Masjid Sultan untuk bersama Abang Man berkhidmat di masjid itu. Akhirnya aku membuat keputusan untuk menghadiri perhimpunan Jemaah Tabligh di Labu Kubung, Telok Intan, Perak. 

     Aku bertemu Abang Man untuk menyampaikan hasratku hendak meninggalkan JB untuk menghadiri perhimpunan Jemaah Tabligh. Dia hanya mengucapkan semoga Allah SWT mempermudahkan urusanku dan semoga selamat dalam perjalanan. Kami bersalaman dan aku mengucapkan selamat tinggal. Jika di izinkan Allah aku akan datang lagi ke sini. Banyak kenangan yang akan aku bawa bersama sepanjang aku berada di sini. Selamat tinggal Johor Bahru.

     Aku naik kereta api dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur. Sampai di Kuala Lumpur aku merayau-rayau dalam Perhentian Pudu Raya menikmati suasana dan melihat gelagak orang ramai. Tengah hari hujan lebat, aku tidur di Masjid India. Pukul lima petang barulah aku membeli tiket bas untuk ke Telok Intan. Sampai di Telok Intan pada pukul sembilan malam.

     Berjalan kaki ke Labu Kubung, Telok Intan.

     Sebaik turun dari bas aku mencari masjid untuk menunaikan sholat isyak dan juga mengganti sholat magrib yang tertinggal. Tidak lama aku pun menemuinya tetapi malangnya hendak masuk ke kawasan masjid ini pun tidak boleh kerana pintunya berkunci. Aku terus merayau mencari surau pula. Pada waktu ini suasana di sekitar bandar Telok Intan ini sunyi benar seolah-olah sudah tengah malam. Hanya sekali sekala ada kenderaan bergerak di jalan raya. 

     Puas aku mencari surau namun masih tidak kutemui. Aku mula merasa putus asa, badan pun sudah letih tak berdaya lagi, di tambah dengan mengantuk pula. Akhirnya aku berehat di sebuah bangunan yang separa siap. Di mana hendak tidur? Aku menjelajah sekitar bangunan ini untuk mendapatkan tempat yang selesa untuk tidur. Tiba-tiba mataku terpandang sebentuk bumbung di sebelah bangunan ini. Tertarik aku dengannya. Bumbung bangunan apakah itu? Jadi aku ingin meninjaunya. 

     Aku berjalan ke arahnya. Sampai di pintu pagar, rupa-rupanya ia bangunan masjid. Pintu pagar tidak berkunci, jadi aku boleh masuk. Kelihatan beberapa orang sedang tidur di anjung masjid ini. Aku dengan perasaan lega dan gembira mengambil wuduk untuk menunaikan sholat. Setelah itu aku pun tidur dengan nyenyaknya..

     Pukul lapan pagi, aku mahu meneruskan perjalanan menuju ke Labu Kubung. Aku bertanya kepada mereka, berapa jauh Labung Kubung? Lebih kurang sepuluh batu, jawab mereka. Duit aku hanya ada RM1.50 sen sahaja. Hendak guna untuk tambang bas tak cukup ni. Perut pula dah lapar. Aku fikir duit ni lebih baik aku guna untuk makan. Hendak ke Labu Kubung pula, nampak gayanya kenalah aku berjalan kaki. Jauh tu, tapi apa boleh buat dah terpaksa..

     


     Selepas sarapan, aku pun mulakan perjalanan ke Masjid Batu Tiga, Labu Kubung dengan berjalan kaki sejauh sepuluh batu. Matahari semakin tinggi, sinarnya semakin hangat. Keterikan panahannya semakin terasa. Peluh telah membasahi baju dan tenagaku semakin kurang. Bila penat aku berhenti rehat, hilang penat berjalan lagi. Begitulah berulang kali. Sehinggalah masuknya waktu zohor. Aku singgah di surau untuk menunaikan sholat zohor. Kemudian berjalan lagi. Aku tidak tahu berapa jauh lagi aku harus berjalan. Aku sudah sangat penat. Perut pula mula lapar. Hendak makan duit satu sen pun tidak ada.

     Dengan langkah longlai aku teruskan perjalanan. Peluh berciciran di serata tubuhku. Kulit muka terasa kering dan hangat. Perut pula semangkin rancak berbunyi. Namun selagi aku boleh melangkah, aku akan terus melangkah. 

     "Nak ke mana?"

     Tiba-tiba ada suara yang menyapaku.  Aku menoleh ke sisi kananku, ke arah jalan raya. Dua orang pemuda yang menunggang motorsikal berhenti di sisiku.

     "Labu Kubung," jawabku lemah sambil berusaha tersenyum. Rupanya hendak menggerakkan lidah dan bibir pun aku sudah tidak mampu.

     "Jalan kaki je?

     "Ya." 

     "Eh! Jauh tuu.. Dari mana?"

     "Telok Intan"

    Dengan tak semena-mena salah seorang menghulurkan wang rm5.00 kepadaku. Dalam keadaan tak di sangka-sangka itu aku terpinga-pinga lalu menolak pemberian itu. Aku terasa malu hendak menerimanya. 

     "Err.. Tak apalah.."

     Dia masih menghulurkan wang itu sambil berkata, "ambillah buat tambang bas. Jauh lagi nak berjalan nii.."

     Setelah dia mendesak, akhirnya aku menerimanya. Aku mengucapkan terima kasih yang tak terhingga kepadanya. Kemudian mereka pun pergi.

     Aku berhenti berjalan dan menunggu bas tiba. Setelah bas tiba, aku naik dan duduk di bangku dengan perasaan yang sangat lega sehinggalah sampai ke destinasi.

     Di Masjid Simpang Tiga, Labu Kubung, kelihatan di sekitarnya banyak khemah orang yang berniaga. Aku mencari khemah peniaga makanan untuk mengisi perut yang kelaparan. Selepas itu aku berehat di anjung masjid sehingga azan asar di laungkan.

     Selepas sholat asar, aku menghitung perbelanjaanku. Duit hanya ada RM4.00 setelah di guna untuk makan tadi. Perhimpunan akan bermula 2 hari lagi dan ianya berlangsung selama 3 hari. Tak cukup duit ni untuk belanja selama 5 hari lagi. Apa harus aku lakukan? Aku terus berfikir.

     Tiba-tiba aku teringat bahawa aku masih ada duit gaji sewaktu aku bekerja di kilang Zenk Contract Industry sebanyak RM60. Lebih baik aku pulang sekarang untuk mendapatkannya dan kembali ke sini ketika hari perhimpunan bermula. Itulah keputusanku.

     Aku bingkas bangun dari tempat dudukku dan bersegera mendapatkan beg pakaianku. Aku keluar dari masjid dan berjalan kaki sejauh tiga batu untuk menjimatkan wang sebelum menunggu bas. 

     Aku naik bas menuju ke Tapah dan dari sini aku naik kereta api menuju ke Bandaraya Ipoh. Sampai di Ipoh hari sudah jauh malam. Aku pun tidur di Masjid Negeri. Keesokan paginya barulah aku pulang ke rumah..

     Begitulah berakhirnya kisah perantauanku. Tidaklah begitu lama tetapi tetap memberikan aku pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

     


     Dua hari kemudian aku dan rakan-rakan menghadiri perhimpunan Jemaah Tabligh di Labu Kubung, Telok Intan. Kami ke sana menaiki kereta Cikgu Syafie. Rakan-rakanku itu adalah Meor Azmi, Zakaria, Hasmin, Zulkarnain dan Abdul Mutalib serta adiknya Abu yang masih kanak-kanak.

     Rusda B.A. 1989 hingga akhir nanti..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Saudara2ku yang dihormati dan semua yang mengunjungi blog ini, terimakasih saya ucapkan kerana telah sudi meluangkan masa di sini, semoga kehadiran kalian berakhir dengan manafaat. Walau bagaimanapun, saya tetap insan yang lemah, segala kesilapan saya silalah ditegur, dikritik dan dinasihati ..