Cari Blog Ini



Allah Telah Menjanjikan Kepada Orang-Orang Yang Beriman Dan Mengerjakan Amal Sholeh Untuk Menjadikan Mereka Sebagai Khalifah Di Muka Bumi Ini Sebagaimana Ia Telah Menjadikan Orang-Orang Sebelum Mereka Sebagai Khalifah, Menyebarkan Bagi Mereka Agama Yang Telah DiredhoiNya Untuk Mereka Secara Merata Dan Menggantikan Ketakutan Mereka Dengan Rasa Keamanan (sehingga) Mereka Dapat Menyembah-Ku Dan Tidak MenyekutukanKu. Barangsiapa Engkar Setelah Itu, Merekalah Orang-Orang Yang Fasiq-An-Nur : 56


Wahai Orang-Orang Yang Beriman Barangsiapa Dari Kalian Berpaling (murtad) Dari Agamanya Maka Allah SWT Akan Memunculkan Sekelompok Kaum Yang Dia Cinta Mereka Dan Mereka Juga MencintaiNya -Al-Maidah :54


Ternyata Sekarang Ini Dunia Telah Dipenuhi Dengan Pemimpin Zalim Baik Dari Negara Kafir Mahupun Dalam Negara Muslim Sendiri...


Namun Masanya Sudah Hampir Tiba, Dunia Akan Diwarisi Oleh Hamba-Hamba Tuhan Yang Sholeh. Dia Akan Memenuhi Dunia Dengan Keadilan Setelah Dunia Ini Dipenuhi Dengan Kezaliman Para Pemimpin..




Penyelamat Umat Itu bakal Datang tidak lama lagi...!!!

Jumaat, 17 Ogos 2018

Buat Jahat Jangan Sekali..!



Assalamualaikum.

Bulan January tahun 1982 beberapa tragedi telah menimpa diriku dan sahabatku. Ini berkaitan dengan kegiatan kami pada setiap malam, iaitu mencuri rambutan cina dan mengombet (mengintai orang beromen). Semuanya kami lakukan di satu tempat berdekatan dengan kebun rambutan itu. Memang setiap malam ada saja pasangan yang melakukan maksiat di kawasan itu. Kami cuma menumpang tengok saja. Ada pula seorang rakan kami yang lebih berani. Dia itu bukan saja hendak mengintai saja, tetapi telah menghampiri pasangan tersebut lalu memukul mereka dan menyambak (mencuri) wang mereka. Itulah akibatnya orang-orang yang melakukan maksiat di kawasan itu. Rakan kami itu cukup rasa gembira melakukan perkara itu kerana katanya, "itu sajalah caranya untuk mengajar pasangan-pasangan itu.."

Aku ingin menceritakan satu peristiwa yang telah berlaku keatas diriku dan Jamaluddin. Suatu senja selepas waktu maghrib, kami merancang untuk mencuri buah rambutan cina. Kami pun mula bergerak ke sana. Setelah hampir 20 minit kami berada didalam kebun rambutan itu, Jamaluddin mengajak pulang. Kami berjalan pulang dengan membimbit sekarung buah rambutan ditangan masing-masing. Didalam perjalanan pulang (berjalan kaki) kami bertemu dengan seorang pakcik yang kami tidak kenali. Dia menegur kami,

"Kome ni dari mane?"

Jamaluddin pun menjawab, "saja jalan-jalan pakcik."

"Hah? Jalan-jalan je? Itu rambutan mane kome dapat?" Tanya pakcik tu lagi.
Aku dan Jamaluddin tersengih-sengih, "ini ha... Kami minta kat cina kebun tu tadi.." kata Jamaluddin.

"Kome jangan nak tipu pakcik. Pakcik dah tahu semuanya..." Bidas pakcik tu. Aku dan Jamaluddin terpinga-pinga malu.

"Kome tahu sape pakcik?" Pertanyaan itu tak berjawab.
Lantas dia mengeluarkan sesuatu dari dalam poket seluarnya. Ditunjukkannya kepada kami.

"Kome tengok ni!"

Aku dan Jamaluddin melihat sekeping kad kuasa seorang pegawai polis. Oh! Rupa-rupanya pakcik ni seorang pegawai polis. Oh! Tuhan, apa sudah jadi ni? Mungkin aku akan ditangkap dan menerima hukumannya.. ataupun aku akan dibawa pulang ke rumah lalu ibubapa ku akan tahu tentang kegiatanku ini. Sudah tentu mereka akan memarahi aku dan mengenakan tindakan atas diriku. Inilah perkara yang aku tak suka, tapi apa boleh buat lagi, semuanya salah aku sendiri. Mungkin Tuhan telah memberikan balasan terhadap perbuatan jahat yang sedang aku lakukan ini.

Tiba-tiba lamunan ku diganggu oleh suara garau pakcik itu. Dia bertanyakan dimanakah kedua rakanku yang lain. Kami mengatakan bahawa kami ini hanya berdua. Namun dia masih bertegas dengan mengatakan kami ni sebenarnya berempat dan terus mendesak kami untuk memberitahu dimanakah kedua mereka yang lain. Namun kami terus meyakinkan pakcik itu bahawa kami ini cuma berdua sahaja.

"Baiklah kalau begitu biar pakcik cari deme. Pakcik nampak deme menyorok kat situ ar..!" Putusnya. Dia kemudiannya menyeberangi jalan dan menuju ke arah semak samun tidak jauh dari kawasan kebun rambutan itu.

"Apa dah jadi ni? Mimpi ke pakcik polis tu?", ucapku hampir berbisik. "Entahlah..." Jamaluddin mengeluh.

Terfikir difikiranku untuk melarikan diri saja dari sini tetapi Jamaluddin enggan berbuat demikian. Apa nak jadi, jadilah.

Beberapa minit kemudian Pakcik Polis itu kembali semula. Kedengaran dia merungut sendirian. Kemudian dia memandang kami dengan tajam dan bersuara, "betul ke kome ni berdua aje?".

"Ya. Kami memang berdua je ni..." jawab Jamaluddin.

"Tapi... Pakcik yakin betul tadi ada empat orang berjalan kemari, tetapi yang dua orang tu melincung kearah semak sana sebaik sampai hujung jalan ni..", cerita pakcik tu membuatkan jantung kami berdebar-debar.

"Pakcik agak lah mungkin deme tu setan!" Ucapannya lagi menambahkan rasa seram pada diriku.

Pakcik itu meneruskan kata-katanya, "biasanya kegiatan sepertimana yang kome lakukan ni sememangnya sering disertai setan! Apatah lagi waktu senja dan magrib macam ni.."

Kami mendiamkan diri saja sementara bulu roma kami mula meremang. Dalam hatiku membenarkan apa yang dia katakan.

Kemudian pakcik itu meminta bungkusan buah rambutan yang ada ditanganku. Aku agak keberatan memberikannya.

"Kome nak makan rambutan ni? Makan hasil curian ni benda haram yang akan menjadi darah daging kome.. Kome nak ke macam tu?"

Aku diam. Angguk tidak, ngeleng pun tidak. Rasa hendak melawan tetapi masih berfikir tak baik melawan orang tua, bisik hatiku. Lantas aku pun menyerahkan bungkusan buah rambutan itu kepadanya.

Tiba-tiba aku rasa marah dan sakit hati apabila pakcik itu mencampakkan bungkusan rambutan itu ke tanah menyebabkan habis semua buah rambutan tersebut bertaburan lalu bercampur dengan segala sampah sarap yang sememangnya banyak di situ.

"Lain kali jangan mencuri lagi!", Bentaknya.

Ini merupakan satu amaran kepada kami dan kami pun akur, "baik pakcik." Ucap kami serentak.

"Kali ini pakcik lepaskan kome tapi lain kali kalau pakcik nampak lagi kome berdua mencuri, pakcik takkan maafkan lagi, terus bawak balai. Kome ingat tu ye.."

"Ya pakcik kami akan ingat tu. Kami janji kami tak akan mencuri lagi."

"Baguslah kalau macam tu..." Ujar pakcik itu sambil mencapai basikalnya. Dia pun berlalu pergi meninggalkan kami berdua. Aku berbunga gembira dan kami pun bergerak untuk pulang.

"Nasib baik pakcik tu tak buang rambutan aku", ucap Jamaluddin dalam nada gembira. Aku mencebik bibir tanda geram. Huh! Sungguh tak adil pakcik tu.. Aku mengeluh dalam hati.

Beberapa hari kemudian, kami mengulangi lagi perbuatan mencuri buah rambutan tersebut. Masakan tidak, sedangkan kelazatannya sentiasa mengamit kami untuk melakukannya lagi. Kami sering kekenyangan sehinggalah kelarut malam. Sesungguhnya kami ini tidak pernah serik...


Sekian. Wassalam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Saudara2ku yang dihormati dan semua yang mengunjungi blog ini, terimakasih saya ucapkan kerana telah sudi meluangkan masa di sini, semoga kehadiran kalian berakhir dengan manafaat. Walau bagaimanapun, saya tetap insan yang lemah, segala kesilapan saya silalah ditegur, dikritik dan dinasihati ..