Sebelum aku perturunkan warkah tersebut, ini adalah catatan aku berkenaan dengan gadis pertama dalam hidupku. Catatan ini pertama kali aku menulisnya didalam 'Coretan Seorang Jejaka - Libra' tetapi sayangnya coretan tersebut telah hilang entah dimana.
November 1982.
Namanya Samsiyan Harun. Sejak aku bertemunya aku mulai mengenal erti rindu yang tidak tertahan-tahan.. Waktu pertemuan ini terjadi, aku menghadirkan diri dimajlis pertunangan abangnya di Pengkalan Gate. Sebenarnya aku tidak pernah terniat untuk mengenali dirinya serta dua orang temannya yang lain. Adik tirinya yang telah mengusik aku dengan cara memberikan alamat rumahku kepadanya. Dia menyangka itu benar-benar pemberian dariku. Dia membalasnya dengan salam persahabatan. Secara spontan, aku melonjak kegembiraan. Aku dan dia semangkin mesra. Kami berbual-bual diwaktu petang tentang diri masing-masing. Aku mengajak dia bersiar-siar dan bergambar. Sungguh mengembirakan pada waktu tu. Ketika malam menjelma, aku merasakan siang begitu cepat berlalu. Sepatutnya aku harus pulang ke rumah selepas magrib, tetapi dia dan kawan-kawannya menghalang aku. Katanya masih ingin berbual lagi denganku kerana esok sudah tiada masa lagi untuk ini kerana dia akan pulang ke kampung halamannya yang sangat jauh dari sini. Apabila jam sudah menunjukkan pukul sebelas setengah malam, aku mesti pulang ke rumah, sudah tidak boleh lagi ditangguhkan walau hatiku ini terasa sangat berat untuk meninggalkan dirinya.. Sewaktu aku melangkahkan kaki untuk meninggalkan dirinya, beberapa kali dia berpesan kepadaku;
"Rus, Jangan lupakan Sam ya, tulislah surat untuk Sam, Sam pasti akan balas!"
Begitulah, sejak aku berjauhan dengannya, hatiku tetap terasa dekat dengannya. Setiap surat yang aku utuskan kepadanya, pasti menerima balasan darinya, begitu juga sebaliknya.
November 1984, genap 2 tahun pertemuanku dengan dia. Kini semuanya tinggal kenangan dan hanya menjadi mimpi indah dalam hidupku.
'Coretan Seorang Jejaka - Libra'
Rusda B.A. 1984
Inilah warkah pertama dari gadis pertamaku bernama Samsiyan Harun. Ia dikirimkan di penghujung tahun 1982. Di bawah ini aku salin semula isi surat tersebut;