Cari Blog Ini



Allah Telah Menjanjikan Kepada Orang-Orang Yang Beriman Dan Mengerjakan Amal Sholeh Untuk Menjadikan Mereka Sebagai Khalifah Di Muka Bumi Ini Sebagaimana Ia Telah Menjadikan Orang-Orang Sebelum Mereka Sebagai Khalifah, Menyebarkan Bagi Mereka Agama Yang Telah DiredhoiNya Untuk Mereka Secara Merata Dan Menggantikan Ketakutan Mereka Dengan Rasa Keamanan (sehingga) Mereka Dapat Menyembah-Ku Dan Tidak MenyekutukanKu. Barangsiapa Engkar Setelah Itu, Merekalah Orang-Orang Yang Fasiq-An-Nur : 56


Wahai Orang-Orang Yang Beriman Barangsiapa Dari Kalian Berpaling (murtad) Dari Agamanya Maka Allah SWT Akan Memunculkan Sekelompok Kaum Yang Dia Cinta Mereka Dan Mereka Juga MencintaiNya -Al-Maidah :54


Ternyata Sekarang Ini Dunia Telah Dipenuhi Dengan Pemimpin Zalim Baik Dari Negara Kafir Mahupun Dalam Negara Muslim Sendiri...


Namun Masanya Sudah Hampir Tiba, Dunia Akan Diwarisi Oleh Hamba-Hamba Tuhan Yang Sholeh. Dia Akan Memenuhi Dunia Dengan Keadilan Setelah Dunia Ini Dipenuhi Dengan Kezaliman Para Pemimpin..




Penyelamat Umat Itu bakal Datang tidak lama lagi...!!!

PeNGiKuT NaN SeTia..

Khamis, 15 Ogos 2024

Kenangan Mengusik Jiwa: Petronas Jalan Pasir Putih.







Assalamualaikum.


     Pada suatu malam dalam bulan puasa, Abang Hashim mengunjungi kami. Ketika itu aku, Man, Amin dan Yaya sedang melepak selepas menunaikan sholat sunat taraweh. Abg Hashim memberitahu kami bahawa Pengawal Ronda, Saduku Ali sedang mencari seorang pekerja yang akan ditugaskan di Petronas. Pada mulanya dia menawarkan pekerjaan itu kepada Min, tetapi dia menolak. Kemudian aku pun menawarkan diriku untuk bekerja dengan syarikat kawalan keselamatan itu. Pada keesokan harinya aku pun menghadiri temuduga di pejabatnya, Sisco, terletak di Jalan Gopeng. Aku telah diterima bertugas dan akan bermula pada malam esok. 

     Dengan bermulanya kerja baru ini dapatlah aku menambahkan pendapatan sampingan. Kerjanya mudah saja, aku dikehendaki berkawal mulai jam 7 malam sehingga jam 7 pagi di Station Minyak Petronas Jalan Pasir Putih. Station minyak ini masih belum beroperasi. Kawasannya luas. Hiasan luarannya cantik dan reka bentuk bangunannya sangat menarik. Pastinya menjadi tumpuan kenderaan yang melalui jalan ini.

     Pada mulanya aku merasa ketakutan apabila tibanya tengah malam kerana di belakang bangunan ini masih berhutan tebal kerana masih belum dibersihkan lagi. Lagipun inilah pertama kali aku bekerja di waktu malam begini. 3 malam kemudian member-member sekampung turut sama melepak dan tidur disini. Ketika ini aku mulai berasa seronok bekerja disini.

     Biasanya selepas pukul satu pagi barulah aku tidur. Tempat tidur agak selesa meskipun tidak berdinding. Tidak lama kemudian aku pun memperolehi tempat tidur yang benar-benar selesa yakni di dalam sebuah bilik yang mana bilik ini bakal dijadikan surau setelah beroperasi nanti. Biasanya aku tidak bersendirian, Zul, Yaya dan Mie ada menemani. Mereka berasa lebih enak tidur disini daripada tidur di rumah. Apatah lagi setelah aku memperolehi sebuah radio kaset yang canggih sebagai alat hiburan setiap malam. Begitulah keadaan dan suasana tempat tugasku.

     Suatu malam aku dikejutkan oleh seorang pemuda India yang merempuh masuk kawasan station minyak ini dengan basikalnya. Dia kelihatan sangat mabuk.

     "Sini tak boleh masuk. Mengapa lu masuk sini?" Soalku.

     "Maaf abang, saya ingat mau sini tidur", jawabnya.

     "Sini tak boleh tidur!", Kataku melarangnya.

     "Saya tarak tempat mau tidur la abang..." ,dia mula merayu.

     "Tak boleh!", Aku bertegas lantas bertindak menghalau dia dari kawasan ini. Sambil merungut-rungut pemuda India itu meninggalkan tempat ini dengan mengayuh basikalnya. Aku belum pernah melihat dia sebelum ini. Agaknya dia orang baru disini.

     Malam itu aku bersendirian. Member-member aku tidak datang bertandang. Sewaktu aku baru saja hendak melelapkan mata, pemuda India itu datang lagi. Dia merayu-rayu agar aku membenarkan dia tidur disini. Akhirnya atas dasar perikemanusiaan, aku pun benarkan untuk satu malam sahaja. Dia pun tidurlah dikaki lima bangunan petronas ini. Keesokan paginya, dia bangun awal dan berlalu pergi entah kemana. Pada malamnya, dia datang lagi dan mengadu sedang kelaparan sedangkan bau todi masih hinggap ke hidungku.. Aku berasa kasihan lantas membelanja dia makan. Ketika makan dia telah menceritakan perihal hidupnya. Setelah larut malam dia tidur disini lagi.

     Menurut ceritanya, seluruh keluarganya telah diusir dari kediaman mereka di Estet Pinji kerana tidak membayar sewa rumah. Setelah itu, ibu bapanya menumpang di rumah abangnya di Desa Aman. Dia tidak turut serta kerana kakak iparnya tidak menyukai dirinya. Kini dia tiada tempat tinggal hanya merayau-rayau mengikut langkah kakinya. Juga tidak mempunyai pekerjaan. Entah betul atau cuma cerita rekaan dia saja, aku tak pasti. Namun yang pasti setelah dua malam bertemu dia dalam keadaan mabuk todi. Aku benarkan dia untuk tidur disini tetapi dengan syarat, dia mesti berusaha untuk berhenti minum minuman keras itu. Keesokan malamnya dia datang dan nampaknya dia menepati janjinya, tidak lagi dalam keadaan mabuk. Aku dan Mie telah melayaninya dengan baik dan mengajarkannya tentang Agama Islam. Namanya Raju, budi bicaranya baik dan aku pasti sekiranya dia tidak mabuk, dia akan menjadi seorang yang berhati mulia.

     Sebulan kemudian, Raju telah turut bekerja ditempat ini, menjadi pengawal keselamatan disebelah siang. Seperti biasa aku membekalkan makanan dan sedikit wang kupinjamkan kepadanya sementara menantikan hari penerimaan gaji. Mulai detik ini, dia tidak lagi kemana-mana. Station minyak ini bagaikan rumahnya. Disini dia bekerja dan disini juga tempat tidurnya. Setiap malam kami (yakni aku dan member-member sekampung) sering bergurau senda dan berkaraoke bersamanya. Semakin lama hubungan aku dan Raju semakin akrab. Dia telah menganggap aku sebagai abangnya dan yang paling mengembirakan adalah dia berjanji akan memeluk Agama Islam. Setiap malam aku mengajarnya asas agama kepadanya. Nampaknya dia gembira mempelajarinya.

     Bulan seterusnya station minyak ini mula beroperasi. Pengawal keselamatan pada waktu siang tidak diperlukan lagi. Raju pun diminta untuk bertugas di tempat lain. Tetapi dia enggan dengan alasan tempat kerja baru itu jauh. Aku memujuknya agar menerima saja pekerjaan di tempat baru itu kerana jika tidak mahu dia akan diberhentikan. Mahu atau tidak, dia harus akur dengan perintah baru ini. Waktu bertugas juga turut bertukar daripada bertugas waktu siang kepada bertugas waktu malam.

     Malam tersebut dia tidak tidur lagi disini kerana dia bertugas disana. Tetapi malam berikutnya tiba-tiba dia muncul pada jam sebelas malam. Aku terkejut dan bertanya, "hei Raju, lu tarak keja ke ini malam?"

     "Saya tak mau sana keja!" Jawabnya.

     "Apa pasal tak mau keja sana?* Tanyaku lagi.

     *Saya mau keja sini juga sama abang." Jawabnya.

     "Oo.. tak boleh la ini macam Raju. Itu tokey sudah panggil lu keja sana, lu kena sana keja juga. Kalau lu tak mau ikut cakap tokey nanti lu kena buang keja la Raju..." Ucapku cuba memujuknya.

     Raju mendiamkan diri tanpa bicara apa-apa. Lalu aku menyambung kata, "nanti kalau lu sudah tarak keja, mana mau dapat duit? Lagi mau makan minum siapa mau kasi? Sekarang saya boleh tolong lu tapi sampai bila lu mau harapkan saya? Kalau saya sudah tarak sini, apa macam?" Bebelku padanya.

     "Ok la abang, saya pergi..." Ucapnya lantas mencapai basikalnya dan meninggalkan aku. Alhamdulillah mahu juga dia mendengar kata-kataku, bisik hatiku.

     Malam esoknya ketika aku baru sampai untuk memulakan kerja, aku mendapati Raju telah berada disini sedang baring terlentang dikaki lima bangunan ini. Ah! Dia ponteng lagi, getus hatiku. Aku segera membangunkannya dan menyuruh dia pergi ke tempat kerjanya. Sewaktu dia bercakap denganku, aku menghidu bau todi. Sudah! Dia minum lagi... Keluhku.

     "Hei Raju! Lu minum lagi?" Soalku dalam nada marah.

     "Tarak la abang. Saya mana ada minum.." dia menafikannya.

     "Lu jangan mau tipu sama saya..! Saya bukan bodoh punya orang..!" Aku mula menengkinnya.

     "Ya.. Ya.. Saya ada minum, tapi sikit juga abang..." Akhirnya dia mengaku juga.

     "Tarak kira la lu minum banyak atau sikit, tapi lu mabuk juga, tarak elok itu macam.." nada suaraku merendah. "Saya sudah cakap berapa kali ar Raju, jangan minum lagi. Lu tarak kasian ka sama diri lu sendiri?" 

     "Saya manyak susah hati la abang..." Air matanya mula mengalir. Dia mengulangi kisah sedihnya yang lalu. Kisah yang telah kudengar sejak pertama kali bertemu dengannya. Namun aku merasa sangat kecewa dengan sikapnya yang mahu kembali mabuk setelah lebih sebulan dia tinggalkan.

     "Dulu saya sudah cakap..." Ucapku lagi, "ini bukan cara mau kasi hati senang. Saya juga ada cakap kalau hati susah lu ingat la sama Tuhan, doa dan minta sama dia kasi hati lu senang." 

     Sewaktu aku sedang memberikan kata-kata semangat kepada Raju, Pengawal Ronda, Saduku Ali datang dan bertanyakan apa yang sudah terjadi sehingga Raju tidak hadir di tempat dia ditugaskan. Aku pun menceritakan padanya perihal Raju. Kemudian dia pun memerintahkan Raju agar segeralah ke tempat kerjanya. Setelah mereka meninggalkan aku bersendirian, aku melayani perasaanku sendiri. Aku berfikir bahawa ada kata-kataku yang menyinggung perasaan Raju. Mungkin telah mengguriskan hatinya.

     Sewaktu aku baru saja mahu melelapkan mata, tiba-tiba muncul lagi Saduku Ali membawakan sebuah berita yang menggemparkan. Katanya, Raju telah kemalangan sewaktu mahu ke tempat kerjanya. Sekarang dia telah berada di hospital. Aku merasa bimbang, bagaimana agaknya keadaan dia tu, adakah dalam keadaan parah? Aku tidak dapat tidur lena memikirkan dirinya.

      Tiga hari kemudian, baharulah aku melihat dia kembali, kepalanya berjahit dan berjalan terjengket-jengket. Dalam keadaan begitu pun, dia masih belum sedar, masih dalam keadaan mabuk. Mungkin kerana ingin mendamaikan jiwa yang resah, masaalah kehidupan yang rumit, diri yang ditimpa malang dan kini sudah kehilangan pekerjaan. Aku tidak mampu lagi menenangkan jiwanya yang bergejolak itu. Aku biarkan dia begitu. Hati aku sendiri resah serta kecewa dengan sikapnya, namun masih ada secebis rasa simpati dan kasih terhadapnya.

       Masa berlalu, Stesen Minyak Petronas telah diambil alih oleh orang perseorangan. Haji Noh namanya. Aku juga turut bertukar majikan, berkerja dibawah kuasa Haji Noh. Setelah Haji Noh mengambil alih stesen minyak ini, Raju tidak lagi dibenarkan berada di sini lagi.  Aku pun terpaksa mengusir Raju secara paksa apabila dia enggan. Dia berasa marah dengan perlakuanku terhadapnya. Tentu dia berfikir aku telah membencinya. Tidak! Sesekali tidak! Raju sudah seperti adikku sendiri. Kasih sayangku terhadapnya sudah lama wujud, cuma aku benci dengan sikapnya yang degil dan pemalas, tetapi dia tidak mengerti....

      Semenjak itu aku tidak lagi melihat dia. Aku rindu, alangkan indahnya dapat bersama seperti dulu. Aku mencarinya. Beberapa bulan berlalu, aku mendapat khabar Raju sudah tiada di sini lagi. Dia tinggal jauh dari sini, bersama abangnya di Australia. Semoga dia bertambah baik. Tinggal kenangan..

      ...............................

      Semenjak Raju tiada, bekerja di Stesen Minyak Petronas ini terasa hambar. Kebosanan mulai mengintai ke hulu hatiku. Rakan-rakanku yang lain juga sudah mula jarang datang melepak di sini. Beberapa bulan kemudian aku hanya berkerja sambil lewa dengan hanya tidur saja sepanjang waktu kerja. Jika dibuang kerja pun aku sudah tidak peduli, kerana yang penting aku masih ada kerja di siang hari yakni sebagai seorang pemotong rumput.

      Tuan Haji Noh pemilik baru stesen minyak ini telah merancang untuk meningkatkan operasi perniagaanya kearah dua puluh empat jam waktu operasi. Dia yakin hasil perniagannya akan meningkat berlipat kali ganda memandangkan belum ada stesen minyak yang lain di Jalan Pasir Putih ini yang berbuat demikian. Setelah stesen minyak ini beroperasi dua puluh empat jam, aku bertukar jawatan yakni dari seorang pengawal keselamatan menjadi seorang pengisi minyak. Namun begitu gaji aku masih ditahap lama. Bertugas sebagai pengisi minyak ini telah mengugat prestasi kerjaku disiang hari. Aku sering kelelahan ketika bertugas memotong rumput akibat dari kekurangan tidur. Mutu kerjaku begitu teruk dan selalu pula ponteng kerja. Jika keadaan ini berlanjut, pasti suatu hari nanti aku akan dibuang kerja. 

      Maka aku mula berfikir untuk mengorbanan salah satu pekerjaanku, samaada berhenti kerja di stesen minyak ini atau berhenti kerja memotong rumput. Kalau hendak ikutkan kata hati, aku lebih memilih untuk berhenti kerja sebagai pengisiminyak ini lagipun aku sudah bosan dengan kerja ini ditambah pula gaji yang diterima murah sangat. Akan tetapi yang jadi masaalahnya majikan mesin rumput tempat aku berkerja sekarang sedang hendak disenarai hitamkan oleh MBI atas sebab hasil kerja yang tidak memuaskan. Jika disenarai hitamkan, sudah pasti semua pekerja akan diberhentikan. Inilah yang merunsingkan fikiran aku sekarang.

      Penghujung tahun 1991, genaplah setahun aku bertugas di Stesen Minyak Petronas ini. Seperti biasa aku dan Pakcik Osman sedang bertugas. Kami diarahkan bertugas secara bergilir-gilir. Namun kami tidak melaksanakan arahan tersebut. Kami berdua tidur dengan nyenyak. Jika ada pelanggan datang untuk mengisi minyak, mereka terpaksa membunyikan hon bertalu-talu sehingga salah seorang diantara kami terjaga. Pada suatu hari, seperti biasa aku menunaikan sholat subuh apabila telah masuk waktu. Ketika di rakaat yang kedua, aku mendengar suara-suara keras, dan suara pakcik Osman yag gementar. Rupa-rupanya dia sedang diperas ugut oleh beberapa orang perompak. Kedengaran Pakcik Osman merayu agar mereka tidak menggangu aku yang sedang sholat. Ketika ini aku mula mengelabah. Aku kehilangan tumpuan dan khusuk dalam sholat. Jantungku berdegup kencang. Anggota badanku mengeletar. Aku sedaya upaya menenangkan diri. Setelah selesai sholat, aku pun keluar dari bilik untuk menemui Pakcik Osman. Ketika ini perompak-perompak itu sudah pergi meninggalkan tempat ini. Pakcik Osman mengeluh panjang. Dia menceritakan segala yang telah terjadi. Semua duit hasil pada malam ini telah mereka ambil, tidak ada sesen pun yang tinggal. Namun sebenarnya masih ada wang dua ratus ringgit didalam poket seluarku tetapi ini tidak aku beritahu pada Pakcik Osman.

      Setelah Haji Noh datang pagi itu, dia segera membawa kami ke Balai Polis Jalan Pasir Putih untuk membuat laporan. Di situ aku tidak becerita banyak kerana aku idak terlibat langsung dengan peristiwa rompakan ini. Pakcik Osman yang membuat laporan lengkap di atas semua yang telah terjadi. Hampir jam sepuluh pagi, kami baru keluar dari balai polis tersebut. Aku pulang ke rumah dengan tangan berisi. Semenjak kejadian itu kami sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga. Aku nekad akan berhenti kerja setelah cukup bulan nanti.

      Begitulah kisah suka duka sepanjang aku berkerja di Stesen Minyak Petronas ini. Semuanya tinggal kenangan. 

      Rusda B.A Januari 1992.


   

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Saudara2ku yang dihormati dan semua yang mengunjungi blog ini, terimakasih saya ucapkan kerana telah sudi meluangkan masa di sini, semoga kehadiran kalian berakhir dengan manafaat. Walau bagaimanapun, saya tetap insan yang lemah, segala kesilapan saya silalah ditegur, dikritik dan dinasihati ..