Meskipun aku merasa bahagia dan gembira duduk bersama ibu kandungku ini, namun kerap kali juga kerinduanku terhadap kampung halamanku, keluarga yang telah aku tinggalkan serta sahabat-sahabatku kian memuncak. Sehingga sampai waktunya aku pun membuat keputusan untuk kembali semula ke pangkuan mereka yang aku rindukan.
---------- ♢ ----------
Kini aku pulang dengan membawa azam baru. Di kampung halamanku, tidak banyak yang berubah, kecuali satu, sebuah surau telah di bina. Aku hairan, bagaimana boleh terbinanya sebuah surau di kampung kecil ini ketika keadaan penduduknya tidak ramah dan anti sosial?
Orang-orang tua di kampung ini tidak pernah bersatu. Sering berlaku perkelahian sesama sendiri. Orang belakang tidak sehaluan dengan orang depan, orang kiri tidak bersefahaman dengan orang kanan. Kata mengata, kutuk mengutuk sudah menjadi lumrah dalam kehidupan mereka. Mula-mula bertikam lidah, kemudian tarik menarik rambut lawan masing-masing. Begitulah keadaannya orang-orang tua di kampung kecil ini.
Lain pula halnya dengan anak-anak muda, mereka ini bersatu, bersefahaman dan tidak bercakaran seperti orang-orang tua mereka, meskipun bersatu dalam hal-hal yang negatif seperti mencuri dan menghisap ganja. Kesatuan anak-anak muda ini tidaklah membawa kebaikan. Tidak juga membawa kesukaan dan pujian orang tua-tua mereka, malahan menambahkan lagi 'kesuraman' perkampungan ini. Begitulah halnya penghuni kampung halamanku ini.
Kami tidak pernah menegur kelakuan orang-orang tua kami yang sering bertegang leher hanya kerana kesalahan kecil. Siapalah kami untuk menegur mereka, hendak menasihati mereka agar dapat hidup rukun dan damai, kami hanyalah anak-anak mereka.
Orang-orang tua kami sering memarahi kami, meleteri kami atas kelakuan buruk kami itu. Mereka juga sering cuba menghalang persahabatan kami dengan kata-kata;
"Jangan berkawan dengan anak si anu, dia tu jahat!"
"Jangan berkawan dengan budak tu, budak tu jahat ikut perangai bapaknya yang jahat!"
Namun apa yang kami nampak, orang-orang tua ini seumpama ketam yang mengajar anaknya berjalan lurus. Mereka ingin membimbing kami jadi budak baik, tetapi mereka sendiri berperangai buruk. Perkara inilah yang selalu kami bahas ketika kami duduk berkumpul di bawah sepohon rendang.
Begitulah serba sedikit perihal suasana masyarakat di kampungku. Setelah agak lama aku meninggalkan kampung ini, kini aku kembali. Sebuah surau telah di bina. Hanya itulah perubahan yang aku nampak. Benarkah hanya itu perubahannya?
---------- ♢ ----------
Sebenarnya sebelum aku kembali menjejakkan kakiku di kampung ini, aku sudah pun tahu bahawa sebuah surau telah di bina. Berita ini telah di sampaikan Udin yang sering mengunjungiku. Dia telah mendesak aku untuk kembali semula ke kampung halamanku. Dia mengatakan keluarga aku rindukan aku. Adik aku juga pernah mengutus surat meminta aku kembali kerana mereka rindukan aku. Ibu angkat dan adik bongsuku (angkat) juga pernah datang mengunjungiku dan mengajak aku untuk kembali semula bersama mereka. Namun sekiranya Udin tidak mendesakku untuk kembali, aku pasti tidak akan kembali.
Sewaktu Udin mengunjungiku, aku selalu menasihatinya untuk berubah menjadi lebih baik. Biasanya dia datang pada waktu malam, yakni selepas aku selesai menunaikan Sholat Isyak. Udin hairan serta takjub dengan perubahan diriku.
"Aku gembira melihat kau sudah berubah, Yoep.."
"Kita mesti ubah Din"
"Aku sedar, dulu perangai kita memang teruk.."
"Bagaimana dengan member-member kita di kampung?"
"Macam dulu juga Yoep..." keluh Udin.
"Din, sejak aku duduk dengan mak aku di sini, aku berazam untuk membaiki diri. Aku tak mahu lagi hisap ganja buat selamanya. Aku sekarang dah mula sembahyang, mengaji Qur'an. Di sini aku tenang,"
Aku menarik nafas lega dan menyambung lagi kata-kata;
"Sekarang baru aku sedar, akibat hisap ganja, otak aku jadi lemah, lambat bertindak balas dan juga emosi yang berlebihan. Aku cuba atasi semua ni."
"Bagaimana dengan kamu, Din? Tidakkah ada keinginan untuk berubah?"
"Aku juga berazam nak jadi seperti kamu, Yoep"
"Semoga keazaman kamu tercapai, Din.."
Harapan aku memang tinggi, jika boleh semua sahabat-sahabatku juga ada keazaman yang sama. Jika 'Paya Blues Gang' hidup kembali, ianya adalah sekumpulan anak muda yang baik, bersopan santun serta beriman. Alangkah indahnya jika semua ini menjadi kenyataan.
"Yoep, ada berita baik ni.. Abin dah balik. Dah tiga hari dia di kampung"
Aku terkesima seketika. Ini memang benar berita baik. Aku tak pernah menjangkakan Abin akan pulang ke kampung. Apa yang sebenarnya terjadi?
Otakku mula mengimbas kembali peristiwa masa lalu. Aku bersama Abin telah meninggalkan kampung dengan satu keazaman yakni hendak membaiki diri. Sekian lama kami berada di rantau orang. Segala onak duri aku hadapi bersamanya. Kemudian berakhir dengan perselisihan faham. Lantas aku meninggalkan dirinya terkapai sendirian di sana. Sejak itu aku tidak lagi mendengar khabar berita darinya. Kini Udin membawa berita bahawa Abin sudah balik.
"Kisahnya begini," Udin mula bercerita, "Tok Janggut (ayah Abin) bersama beberapa orang anak buahnya telah pergi ke Batu Kurau dengan tujuan mencari Abin. Setelah bertanya ke orang-orang kampung sana, akhirnya mereka menemui Abin di tempat kerjanya. Tok Janggut memujuknya untuk pulang. Pada mulanya Abin berkeras tidak mahu pulang, namun dia telah di paksa untuk pulang.
"Bagaimana keadaan dia sekarang, Din?"
"Macam dulu juga Yoep" jawab Udin dalam nada sedih.
Aku faham apa yang Udin maksudkan. Abin kembali menjadi budak suruhan bapanya untuk membeli ganja. Jika begini, sudah tidak dapat dinafikan lagi, Abin pasti akan terus bergelumang dengan ganja.
"Yoep, kamu tak nak balik ke? Balik la Yoep.." Udin terus memujuk aku.
Dalam jiwaku sudah mula berbelah bahagi antara mahu dengan tidak. Apa yang membuatkan aku sedikit berat untuk pulang adalah kerana aku merasa bimbang akan terjebak kembali ke dalam kancah kejahatan dan ketagihan ganja. Aku sedar yang jiwaku ini masih lemah untuk meghadapinya.
"Di kampung kita dah ada surau." Ucap Udin.
"Eh? Dah ada surau? Betul ke ni Din?" Aku bagaikan tidak mempercayainya.
"Betul. Takkan la aku nak tipu pula." Tegas Udin.
"Kalau gitu, di mana letaknya?" Aku ingin lebih kepastian.
"Di hadapan rumahku. Di bekas tapak rumah kawan bapak aku tu.."
Dengan jawapan ini, aku sudah dapat membayangkan di mana letaknya. Ya, memang di situlah paling sesuai dan strategik.
Dalam hatiku ada satu lonjakan kegembiraan. Akhirnya di kampungku sudah ada surau. Harapanku adalah semoga ianya akan mencetuskan perubahan besar dalam kehidupan seluruh penghuni kampungku ini.
---------- ♢ ----------
Aku pulang kerana di kampungku sudah ada surau. Sebaik saja aku tiba di kampung halamanku ini, setelah bertemu seisi keluargaku, aku pun melangkah kaki untuk meninjau keadaan surau tersebut. Ia tidak besar, kecil sahaja. Ia juga tak cantik tetapi masih selesa. Tidak banyak barangan yang ada, sebuah jam di dinding, 2 keping poster ayat Al Quran, beberapa naskah kitab suci Al Quran, dan beberapa helai sejadah.
Apabila hampir masuk waktu asar, aku siap berada di surau menantikan kedatangan orang yang akan bersholat bersama. Setelah masuk waktu asar, tiada seorang pun yang hadir. Aku bertindak melaungkan azan asar, mengharapkan ada yang akan datang, namun masih tiada yang datang. Maka aku pun bersholah sendirian di surau ini.
Ketika menjelang magrib, aku sudah berada di surau dengan harapan yang tinggi menanti kehadiran orang kampung. Udin adalah orang yang pertama hadir. Aku bertanya kepadanya adakah akan ramai yang hadir untuk sholat magrib?
"Tak ramai orang," jawabnya, "hanya anak-anak muda je yang hadir, kadang-kadang Pakcik Jalil ada datang jadi imam"
"Kalau Pakcik Jalil tak datang, siapa yang jadi imam?"
"Shafie yang jadi imam. Memang dialah selalu jadi imam di surau ni."
Shafie adalah pemuda yang baik di kampung ini. Dia lebih tua lima tahun daripada kami. Aku jarang bertegur sapa dengannya kerana dia agak tidak menyukai kami.
"Geng kita siapa yang datang sholat?" tanyaku lagi.
"Abin je." jawab Udin ringkas.
"Habis tu, Joi dengan Zaki tak datang la, ye?"
"Aku dah ajak Zaki tapi dia tak mau datang, Joi tak de sini, dia ikut Cina buat kerja di Simpang Pulai, tak balik dah dua bulan."
"Oh! Gitu.."
Setelah masuk waktu magrib, hanya enam orang sahaja yang hadir. Kami pun teruskan sholah berjemaah di imamkan oleh Pakcik Jalil. Masuk pula waktu isyak, Pakcik Jalil tiada, maka Shafie lah yang menjadi imam sholat.
Hari yang seterusnya, keadaan masih sama yakni pada waktu zohor dan asar tiada yang hadir dan waktu magrib dan isyak hanya lima enam orang sahaja. Waktu subuh kadang2 aku terlewat bangun tidur, maka kosonglah surau tersebut. Begitulah keadaannya setiap hari, sehingga tiba petang jumaat, sesuatu yang luar biasa terjadi..
---------- ♢ ----------
Pada petang hari jumaat, aku mendapati ramai orang yang hadir di surau ini. Mereka berpakaian yang luar dari biasa. Ada yang berjubah putih, ada pula yang hitam, namun kebanyakannya berpakaian mirip Orang India. Kepala mereka pula di lilit serban putih dan juga hitam mengikut warna jubah yang mereka pakai. Yang lain pula hanya berkopiah seperti yang biasa aku lihat. Aku tidak pernah melihat mereka kecuali dua orang yang setahu aku tinggal di kampung sebelah. Abin kata mereka ini 'orang dakwah'.
"Mereka ni selalu datang sini ke?"
"Setiap petang jumaat mereka datang sembahyang sini," jawab Abin.
Salah seorang mempelawa kami makan kuih muih yang dia bawa. Abin segera menolak dan menarik tanganku untuk menjauh darinya.
"Yoep jangan makan, takut nanti terpengaruh..." Beritahu Abin. Aku cuma angguk kepala.
Sebenarnya di dalam otakku bergejolak rasa ingin tahu siapa sebenarnya mereka ini. Kenapa mereka datang bersholat di sini pada petang jumaat? Dan banyak lagi persoalan yang timbul.
"Kata orang, mereka ni mengajar ajaran sesat!"
"Betul ke gitu, Abin?"
"Entahlah mana aku tau.. Orang tua dah cakap gitu, betul la kut.."
Aku agak ragu-ragu juga. Rasa takut dan risau menghadapi mereka, namun rasa ingin tahu juga menguasai jiwaku.
Tiba-tiba aku teringat satu kisah yang di ceritakan ibuku tentang perihal kakak saudaraku. Setelah kakak saudaraku mengikut satu ajaran sesat, habis semua barang kemasnya di jual, bukan itu saja, semua kerusi meja serta tv radio semua di jual sehingga keadaan di dalam rumah mereka hampir tiada apa-apa yang tinggal. Makan pula guna talam tidak lagi guna pinggan. Dia melarang semua ahli keluarganya, termasuk ibu bapanya, memakai rantai, gelang emas serta melarang mereka menonton tv dan mendengar radio. Terlampau banyak larangan sehingga emaknya naik marah. Semua saudara mara juga marahkan mereka. Semuanya berpunca kerana mengikut ajaran sesat itu.
Masuknya waktu magrib, kami pun sholat. Penuh saf dengan orang-orang asing itu. Setelah selesai sholat, dan setelah ramai di antara mereka selesai mengerjakan sholat sunat, mereka mengadakan ceramah. Aku dan dua orang penduduk kampung duduk mendengar, Abin dan yang lainnya keluar dari surau kerana tidak mahu mendengarkan.
Sejujurnya aku tidak faham apa yang mereka cuba sampaikan, ceramah mereka tidak seperti ceramah ustaz yang pernah aku dengar sebelum ini. Di akhir ceramah, kami di ajak untuk 'keluar' bersama mereka pada hari Ahad hingga Selasa. Keluar ke mana? Tak pula di beritahu. Emm..
Kata mereka, jika kita 'keluar' di Jalan Allah, kita akan di beri petunjukNya, di bukakan mata hati kita agar dapat memandang nikmatNya serta akan di kuatkan iman dalam menghadapi dugaan hidup ini. Kita akan belajar sebagaimana para sahabat nabi belajar iman bersama Rasulullah saw. Begitu kata mereka.
Seterusnya, mereka meminta nama kami untuk di catatkan dalam sebuah buku kecil sebagai tanda keazaman kami untuk keluar bersama mereka. Ada di antara mereka yang memberikan nama dan aku juga di desak untuk memberikan namaku kepada mereka. Aku serba salah jadinya, dalam hatiku terdetik juga ingin mengikut mereka, namun rasa takut juga menguasai hatiku, takut tersalah jalan. Akhirnya mereka berjaya juga mendapatkan namaku.
Setelah masuk waktu isyak, majlis pun bersurai dan azan segera di laungkan. Seterusnya kami mengerjakan sholat isyak yang di imamkan oleh salah seorang dari 'orang dakwah' itu.
---------- ♢ ----------
Aku terkejut pada awal pagi kerana adikku memanggilku. Biasanya dia tidak pernah mengejutkan aku dari tidur seawal pagi begini. Aku melihat jam, baru pukul 7.30 pagi. Biasanya aku bangun tidur pada jam 8.00 pagi atau lebih sedikit. Rupa-rupanya kerana ada seseorang hendak menemui aku. Ah! Siapa pula yang nak berjumpa dengan aku pagi-pagi begini? Mahu tak mahu, aku pun bangkit, sambil mengesat mata, aku berjalan menuju ke pintu.
Di muka pintu, berdiri seorang pemuda sebaya aku juga, memberi salam kepadaku. Sambil menjawab salam, otakku ligat berfikir, aku pernah lihat dia ni, budak taman sebelah, Taman SPPK. Apa yang dia mahu?
Setelah mendengar aku menjawab salam, dia berkata, "Kelmarin Darus telah beri nama, berazam untuk keluar tiga hari bersama kami. Hari ini ada jemaah keluar tiga hari, jadi bolehlah Darus ikut kami keluar.."
"Tapi saya belum mandi lagi!" Aku sebenarnya kalut, tak tahu nak fikir apa. Rasa serba salah antara nak ikut atau tidak.
"Pergilah mandi dulu, saya akan tunggu.."
Aku pun bergegas ke bilik mandi sambil tertanya-tanya, ke manalah agaknya aku akan di bawa pergi...?
Rupa-rupanya bukan aku seorang saja yang di ajak keluar pada pagi ini, Ucup, adik Joi juga di ajak sama. Sewaktu aku bertemu dengannya di tepi jalan, dia tersenyum-senyum memandangku.
"Nak ke mana kita ni?"
"Entahlah!" Jawab Ucup ringkas.
"Saya belum makan lagi," ucapku pada Zaimi, pemuda yang berdiri di depan pintu rumahku tadi.
"Mari kita makan di gerai sana tu," ajaknya.
Selepas makan, Zaimi membawa kami ke Masjid Menglembu. Masjid ini kecil sahaja. Sebelah kiri masjid adalah Balai Polis dan di sebelah kanannya pula adalah kedai menjual jubin. Masjid ini menghadap jalan utama tetapi agak terlindung dari pandangan orang kerana ada pokok besar yang rendang telah melindunginya. Ini adalah kali pertama aku menjejakkan kaki di masjid ini. Aku dapati kebanyakan penduduk di sini berbangsa Cina.
Masjid ini adalah 'markas' mereka. Kini aku dan Ucop berada di markas mereka. Aku melihat ada beberapa kelumpuk yang terdiri dari lebih kurang sepuluh orang sedang berbincang sesuatu. Zaimi mengajak kami menyertai salah satu kelumpuk tersebut, menjadikan jumlahnya dua belas orang. Dalam beberapa minit, ada seseorang telah menyatakan bahawa kelumpuk yang aku sertai ini akan di hantar ke sebuah surau di Kampung Manjoi.
Setengah jam kemudian, kami pun bertolak ke tempat tujuan. Aku dan Ucop menaiki kereta dan yang lain ada yang menaiki motorsikal. Setelah sampai di surau itu, kami mendapati surau itu berkunci. Salah seorang di antara kami pergi mencari rumah si pemegang kunci. Sementara menanti pintu surau di buka, kami mendengar hadis-hadis nabi yang di bacakan oleh salah seorang antara kami. Satu jenis bahan bacaan yang agak asing pada diriku. Tiba-tiba aku merasa bosan dan kegelisahan menguasaiku, setelah setengah jam berlalu..
Setelah pintu surau di buka, kami masuk dan mereka mengerjakan sholat sunat dua raka'at. Aku dan Ucop hanya melepak di sudut surau. Sebenarnya aku tidak tahu sholat sunat apa yang sedang mereka lakukan. Menjelang tengah hari, perut sudah mula lapar, tetapi kami tidak ada wang untuk membeli makanan. Mereka berkata, makan dan minum mereka akan uruskan.
Mereka berbincang tentang makanan. Ketua jema'ah yang mereka gelar 'Amir' memutuskan untuk membeli nasi bungkus. Dua orang di utuskan untuk pergi membelinya. Kami menunggu lagi. Dalam masa menunggu itu, ada yang membaca Al Qur'an, ada yang berzikir dan ada yang bercerita kepada kami tentang kisah-kisah zaman nabi yang tidak pernah aku dengar.
Ucop berbisik kepadaku, katanya di kawasan ini ada rumah saudaranya. Aku pun mengajaknya ke sana, lepas makan nanti.
Dua orang yang diutuskan membelikan makanan, sudah kembali. Aku menantikan makanan itu diagihkan setiap seorang. Dah dapat nanti, aku mengajak Ucop makan di bawah pokok. Namun, nasi bungkus tadi tidak diagihkan, tetapi telah dibahagikan dalam tiga talam. Kemudian masing-masing menghadap talam tersebut. Setiap talam empat orang makan. Aku dan Ucop di jemput makan di salah satu talam tersebut.
Aku dan Ucop berasa ragu-ragu dan kekok untuk makan dalam talam, tetapi dek kerana sudah kelaparan, kami gagahi jua. Begitulah kami makan setalam empat orang. Hairan, aneh, ganjil, begitulah yang sedang bermain-main di fikiranku. Tidak pernah aku melihat apatah mengalami keadaan seperti ini. Ucop hanya makan sedikit sahaja namun aku tahu dia masih belum kenyang, tetapi aku makan sehingga kenyang. Aku benar-benar mengetepikan segala pemikiran negatif yang asyik bermain dalam otakku!
Selesai makan, kami bermesyuarat lagi. Kata Amer Jemaah, kita tidak dibenarkan tidur di sini. Kemudian dia meminta pendapat dari anggota jemaah yang lain tentang apa tindakan kita yang seterusnya. Pelbagai cadangan telah dikemukakan. Akhirnya amer memutuskan untuk berpindah ke Masjid Kampung Manjoi, selepas Sholat Asar nanti.
Selepas Sholat Zohor, aku dan Ucop mengunjungi rumah bapa saudaranya. Kami lepak di situ hampir setengah jam. Mereka menghidangkan minuman dan kami berbual-bual.
"Bagus juga korang ikut orang dakwah tu, cuma pakcik risau juga kalau korang menyeleweng nanti."
Ya memang menakutkan jika menyeleweng. Kebimbangan itu sudah wujud dalam jiwaku sejak awal lagi. Namun dek kerana ingin tahu yang mendalam, aku sanggup mengenepikan kebimbangan itu. Semoga Tuhan memelihara diriku.
Selepas Sholat Asar, kami berpindah ke Masjid Kampung Manjoi. Di situ, kami berkumpul dan seorang antara kami memberikan ucapan pendek tentang kepentingan 'usaha ziarah'. Setelah ucapan itu selesai, separuh dari jemaah kami bergerak keluar masjid, kata mereka hendak pergi ke setiap rumah. Aku dan Ucop masih duduk di dalam mendengar ceramah yang di sampaikan oleh salah seorang ahli jemaah. Hampir waktu magrib, jemaah yang keluar tadi telah kembali dan semuanya menyertai kami mendengar ceramah.
Selepas Sholat Magrib, ada lagi ceramah yang berkisah tentang 'iman dan amal'. Namun yang peliknya ceramah ini kami sampaikan di satu sudut belakang ruang sholat. Aku juga mendapati hanya dua tiga orang masjid yang duduk mendengarkan ceramah kami ini sedangkan semua yang lain berlalu pergi. Selepas isyak kami makan setalam empat orang.
Hari ke dua aku bersama jemaah ini, aku sudah mula mesra dengan ahli jemaah yang lain. Aku tidak lagi malu bertanya itu dan ini. Banyak perkataan atau istilah yang aku tidak fahami telah diperjelaskan oleh mereka. Perkara paling berharga adalah aku belajar bagaimana hendak bertaubat. Pada hari ke tiga, hubungan kami semakin erat. Petang itu aku ikut jemaah yang keluar untuk pergi ke setiap rumah.
Seorang pakcik telah menegur kami, "korang ni dah buat salah sebab meninggalkan anak bini di rumah!"
Bab ini aku tiada nak komen apa-apa sebab aku belum kahwin lagi.
---------- ♢ ----------
Begitulah pengalamanku mengikut 'orang dakwah'. Keluar 3 hari. Apa yang aku dapat? Pertama, aku mula sedar betapa sia-sianya kehidupan tanpa iman. Ke dua, aku belajar sholat sunat yang tak pernah pun aku lakukan sebelum ini. Ke tiga, aku berazam dengan sesungguhnya bahawa aku tidak akan lagi mencuri, menghisap ganja dan lain-lain kejahatan. Ke empat, aku mula berminat membaca Al Quran dan berzikir yang mana selama ini aku tak pernah hiraukan, di sini telah terbit rasa sedih dan pilu betapa selama ini aku telah abaikan perkara yang sangat penting ini. Dan ke lima, aku baru tersedar betapa pentingnya kita hidupkan amalan sunnah Baginda Rasulullah s.a.w. dalam kehidupan seharian.
Dua minggu kemudian, sekali lagi aku 'keluar' 3 hari bersama jemaah yang mereka namakan 'Jemaah Tabligh'. Kali ini aku sudah boleh menyesuaikan diri dan terasa kenikmatannya. Lokasi keluar di Surau Taman Pusing, Jalan Tronoh. Sambutan pada kali ini sangatlah meriah. Jauh berbeza dengan apa yang berlaku di Masjid Kampung Manjoi. Semua orang duduk mendengarkan majlis 'bayan' (sebelum ini aku fikir ia adalah ceramah) yang di adakan selepas Sholat Magrib. Genap 3 hari, aku pulang dengan azam dan pemikiran baru. Allah SWT telah memberikan sedikit kefahaman tentang agama kepadaku. Kini sudah jelas yang 'hak' dan yang 'batil'. Sejak itu, aku mula ngairah melakukan amal ibadah mengalahkan ustaz...! 😁 Siap membuat jadual harian yang penuh dengan amalan mulai jam 2 pagi sehingga 12 malam.
Imam surau Kampung Paya yang baru saja di lantik, Abu Samah namanya, tidak begitu menyukai Jemaah Tabligh. Katanya, "kalau mahu belajar agama, mengapa mesti keluar ke tempat orang? Di surau sendiri kan boleh?"
"Kita panggil guru agama mengajar di sini sekali atau dua kali seminggu. Lagipun perbuatan meninggalkan surau sendiri untuk belajar di surau lain tak betul. Kosong pula surau kita ni."
Aku segera meningkah kata-katanya, "Kalau kita belajar akedemi, bukankah kita akan meninggalkan rumah untuk belajar di tempat yang sepatutnya? Atau kita hanya akan meminta guru-guru datang ke rumah untuk mengajar kita? Tidak! Kita perlu ke sekolah. Di situ ada 'suasana' untuk belajar dengan sangat baik."
Kata seorang 'karkun' (ini adalah gelaran buat orang yang sudah keluar secara teratur dengan jemaah tabligh), "kami tahu jika belajar ilmu semestinya di surau sendiri, tetapi kami keluar bersama jemaah tabligh kerana hendak belajar 'iman', bukan ilmu. Untuk belajar iman perlu ada suasana iman bersama jemaah.."
Imam Abu Samah masih tidak mahu mengalah, seterusnya dia berkata, "kalau nak berdakwah, bukankah lebih bagus kamu mendakwah keluarga kamu dahulu, mengapa kamu susah payah pergi keluar berdakwah kepada orang lain? Keluarga kamu tu dah bagus sangat ke sehingga kamu boleh keluar pergi berdakwah orang lain?"
Atau dengan kata lain, kita kena baiki diri kita terlebih dahulu, setelah itu (mungkin maksudnya setelah diri sendiri dah jadi baik) barulah kita pergi membaiki diri orang lain.
"Itu adalah pandangan atau kata-kata yang salah. Sebenarnya apa yang sepatutnya kita lakukan adalah; Baiki diri kamu dan keluarga kamu serta semua umat manusia secara serentak, bukan satu persatu. Andai kata nabi buat kerja satu persatu, seluruh dunia tidak akan dapat menerima islam. Jika nabi hanya memberi tumpuan sehingga bapa saudaranya memeluk islam, maka islam tidak akan tersebar ke seluruh dunia.."
---------- ♢ ----------
Demikianlah berakhirnya kisah hidupku buat masa ini. Segala yang baik dari Allah dan segala yang buruk datangnya dari kekhilafan diriku sendiri.
Selepas ini tulisanku akan berpandu ke arah yang tidak di tentukan. Jauh dari tema blog ini. Apa saja asalkan blog ini tidak bersarang sebagaimana yang telah terjadi, bertahun-tahun terbiar sepi..
Sekian dan terimakasih kepada yang masih sudi bertandang di sini, biar hanya beberapa orang saja yang bertandang namun aku tetap bersyukur di atas nikmatNya.. Wassalam..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Saudara2ku yang dihormati dan semua yang mengunjungi blog ini, terimakasih saya ucapkan kerana telah sudi meluangkan masa di sini, semoga kehadiran kalian berakhir dengan manafaat. Walau bagaimanapun, saya tetap insan yang lemah, segala kesilapan saya silalah ditegur, dikritik dan dinasihati ..