Pelajar Yang Nakal
Ingin aku coretkan selingkar kisah masa remajaku. Bukan niatku untuk mendedahkan kisah hidupku yang buruk untuk tatapan umum. Aku menulis hanyalah untuk mengisi masa yang terluang juga dengan menulis dapat menghiburkan hatiku yang kesepian. Semoga kalian yang terbaca tulisan ini dapat sedikit pengajaran dan kesedaran. Mana yang baik dijadikan teladan dan yang buruk dijadikan sempadan.
Ketika aku di dalam tingkatan empat, aku mula berfikir untuk apa aku belajar, yang sebelum ini tidak pernah aku fikirkan. Ibu aku selalu menasihati aku agar belajar rajin-rajin supaya bila dewasa nanti boleh dapat kerja dengan kerajaan dan bergaji tinggi. Itu saja yang aku di beritahu. Lama kelamaan semangat belajarku semakin luntur. Aku sudah bosan dengan suasana di sekolah. Terutamanya waktu mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik. Apa yang cikgu ajar tidak pernah dapat di terima otakku. Mungkin kerana aku tidak menyukainya. Apatah lagi jika guru yang mengajarkannya sering menyakitkan hatiku.
Apabila mata pelajaran Bahasa Inggeris bermula, aku dan beberapa orang pelajar meninggalkan kelas lalu merayau-rayau di kantin sekolah dan di perpustakaan. Kadang kala kami keluar dari kawasan sekolah untuk mendapatkan sebatang rokok. Perbuatan memonteng ini semakin kerap dilakukan sehingga guru besar terpaksa mengambil tindakan tegas. Aku dan kawan-kawanku di gantung sekolah selama seminggu. Aku tidak peduli malah merasa seronok pula kerana tidak perlu lagi ke sekolah. Namun yang aku risaukan jika hal ini di ketahui oleh ibu bapaku, sudah tentu aku akan teruk di marah. Guru Disiplin telah mengirim sepucuk surat kepada bapaku. Setiap hari aku menunggu posmen untuk mengelak surat tersebut dari sampai ke tangan ibu bapaku. Aku sungguh beruntung kerana berjaya mendapatkan surat itu. Jadi mereka pun tidak mengetahui apa yang berlaku terhadap diriku kerana setiap hari aku berpura-pura ke sekolah seperti biasa. Di dalam beg sekolahku hanya berisikan pakaian salinan untuk merayau di Bandar Ipoh. Aku gembira melakukan hal ini tanpa fikirkan akibat buruk yang akan terjadi.
Pada suatu pagi seperti biasa aku meninggalkan rumah dengan berpakaian sekolah. Aku ke sekolah menaiki basikal. Aku meletak basikalku di belakang sebuah gerai yang biasa aku kunjungi. Kemudian aku menuju ke perhentian bas besar di seberang jalan raya di hadapan gerai ini. Di situlah rakan-rakan sekolahku berkumpul lalu aku menyertai mereka. Apabila waktu persekolahan bermula, kami tidak masuk ke sekolah sebaliknya kami bergerak menuju ke bangunan dua tingkat yang terletak di dalam kawasan perhentian bas itu juga. Tingkat bawah bangunan ini adalah kedai-kedai makan dan minum buat mereka yang mahu mengisi perut sewaktu sedang menunggu bas yang belum tiba. Tingkat atas pula adalah lot-lot kedai yang sudah lama tidak berpenghuni. Di sinilah kami melepak sehingga waktu persekolahan berakhir.
Ketika kami sedang asyik berbual-bual kosong sambil merokok, tiba-tiba seorang rakan kami berlari ke arah kami dalam keadaan cemas dan berteriak;
"Hoi! Korang! Lari cepat! Mereka datang tuu.."
"Siapa eh?" Kami kebingungan.
"Polis lah. Habislah kita hari nii...!"
Aku bingkas bangun dan berlari mencari tempat bersembunyi. Mereka yang lain juga bertempiaran lari entah ke mana. Ketika itu juga aku melihat kelibat beberapa orang anggota polis menyerbu tempat ini. Ramai rakan-rakan kami terkepung dan ditangkap. Aku sempat berlari ke hujung bangunan dan di satu selokan, aku bersembunyi di dalam 'kotak'. Rupanya Udin ada mengekori di belakangku juga masuk ke dalam 'kotak' yang sama. Seluruh anggota tubuhku gementar ketakutan.
Lama kami bersembunyi di sini. Tiada apa-apa yang berlaku. Setelah dirasakan keadaan sudah tenang, kami keluar dari persembunyian. Tiada sesiapa selain kami di tempat ini. Aku menarik nafas lega.
"Yoep, kita dah selamat..."
Aku mengangguk tanda setuju.
"Apa kita nak buat sekarang?"
"Entahlah. Aku takut nak ke mana-mana.."
Aku meluahkan kegelisahan yang masih mencengkam jiwa.
Kami termenung seketika. Kemudian Udin mencadangkan untuk pergi ke Jelapang. Di situ ada sungai dan air terjun dan merupakan tempat perkelahan yang menarik. Aku bersetuju. Kami pun ke sana dengan menaiki basikal masing-masing. Kami tiba di tempat tersebut setelah menempuh perjalanan sejauh tiga batu. Kami lepak di sini sehingga awal petang dan kemudian kembali ke rumah masing-masing.
Sampai di rumah perut lapar dan makan. Selepas makan nak tidur pula, tetapi ibuku ingin berbicara denganku. Katanya, pagi tadi dua orang pengawas sekolah datang ke rumah. Mereka meminta bapaku hadir ke sekolah. Di sekolah bapaku mendengar guru disiplin bercerita perihal diriku. Bapaku sungguh terperanjat dengan apa yang dia dengar.
Sepanjang hari itu aku di marahi bapa dan terus di leter ibu. Segala macam makian dan juga nasihat di lemparkan. Fikiranku kusut dan ada rasa penyesalan terbit di jiwaku. Aku berjanji kepada mereka bahawa aku tidak akan lagi mengulangi perbuatan itu.
---------- ♢----------
Masa berlalu, aku kini di dalam tingkatan lima, pelajaranku terus merosot. Aku tidak belajar dengan tekun. Meskipun aku tidak lagi ponteng sekolah tetapi aku banyak tidur di dalam kelas. Aku tidak menghiraukan larangan guru. Aku sering di denda dengan di rotan dan berlari keliling padang sekolah. Namun aku masih juga melakukan kesalahan. Aku tidak penah merasa serik atau takut dengan hukuman. Di rumah pula aku sering dileteri ibu kerana tidak pernah mahu mengulang kaji pelajaran.
Apabila peperiksaan SPM hampir tiba, aku hanya membuat persiapan serba sederhana. Aku kurangkan kegiatan di luar rumah dan kurangkan tidur di dalam kelas untuk menumpu pada apa yang sedang dipelajari. Guru Disiplin dapat mengesan perubahan ini. Suatu hari dia berkata;
"Darus, sekiranya awak berkelakuan baik seperti ini dari awal lagi, awak boleh lulus dalam peperiksaan ini." Aku cuma tersenyum pahit.
"Saya tahu awak bukan bodoh. Otak awak boleh menerima apa yang diajarkan sekiranya awak berminat untuk belajar. Oleh kerana sikap awak yang negatif ini, awak telah merosakkan masa depan awak. Awak bakal mengecewakan harapan ibu bapa awak. Mereka telah bersusah payah menyara persekolahan awak dengan mendapatkan wang hasil titik peluh mereka. Sudah berapa banyak tenaga yang mereka curahkan demi kebahagiaan awak. Awak tak pernah fikirkah?"
Aku tunduk diam membisu. Kata-kata itu sedikit menusuk di hati.
"Awak mesti ingat, suatu hari nanti awak akan kahwin dan mempunyai anak. Masa itulah awak akan sedar betapa susahnya bekerja untuk mendapatkan wang bagi menyara kehidupan awak dan anak-anak awak. Sekiranya anak-anak awak itu berkelakuan seperti awak sekarang, bayangkanlah kekecewaan yang bakal awak alami. Ingatlah, semua ibu bapa mengharapkan anak-anaknya berjaya!"
Benar kata beliau. Tidak pernah aku fikirkan selama ini. Mengapa aku begitu tolol?? Bisik hati kecilku.
Hari demi hari berlalu, tibalah masa untuk aku menghadapi peperiksaan SPM. Aku melaluinya tanpa apa-apa perasaan, sama ada kerisauan atau ketenangan, hanya perasaan yang sambil lewa. Kebanyakan soalan tidak di jawab hanya dibiarkan kosong. Selesai peperiksaan, tiada debaran menanti keputusan kerana aku tahu aku pasti akan gagal.
---------- ♢ ----------
Remaja Yang Bermasalah
Berakhir sudah zaman persekolahan. Aku melepak dengan kawan-kawan sekampung, melakukan aktiviti-aktiviti yang kebanyakannya tidak bermoral. Di samping itu aku dan kawan-kawan juga telah melamar pekerjaan sebagai buruh binaan. Kebetulan di sekitar kampung kecil kami ini sedang rancak di bangunkan rumah-rumah teres.
Pada suatu hari Abin telah memperkenalkan kepada kami sesuatu 'barang' yang tidak pernah aku dan kawan-kawan yang lain melihatnya. Seolah mengerti dengan kebingungan kami, Abin tersenyum sambil berkata;
"Ini ganja..."
"Oh!" Serentak kami terkesima.
"Untuk siapa tu Abin?" Tanya Udin.
"Kitalah!"
Kami berpandangan sesama sendiri.
"Aku dan Zaki dah beberapa kali guna ni, aku nak kita berlima sehati sejiwa pekena benda nii.."
Abin seakan-akan memberi perintah. Aku sebenarnya tidak menolak malah rasa ingin mencuba itulah yang membuak-buak.
Sejak dari itu kami berlima yakni Abin, selaku ketua kami, meskipun tidak di lantik secara rasmi, Udin, Zaki serta abangnya Joi dan aku sendiri telah menjadikan ganja sebagai santapan harian kami siang dan malam. Terutamanya waktu malam, aku sangat jarang berada di rumah. Aku melepak dengan rakan-rakanku di halaman rumah Abin. Halaman rumah ini luas, ada pangkin di sediakan untuk kami duduk bersila, makan dan minum serta melakukan apa saja. Pangkin ini pula di bina betul-betul di bawah sepohon pokok besar yang rendang yang membuatkan udara sangat nyaman. Di sinilah aku dan rakan-rakan bersantai hampir setiap malam dengan menikmati sedutan ganja yang menghayalkan. Lagu-lagu berirama heavy metal pula menjadi santapan kepada halwa telinga kami. Kami terus berhayal dan berhibur sehingga dini hari. Apabila badan sudah penat dan mengantuk menguasai kami barulah kami pulang ke rumah.
Setelah hampir setahun aku dan rakan-rakanku bekerja sebagai buruh binaan, kami telah diberhentikan kerja kerana projek rumah teres ini sudah siap. Kami menganggur. Ini menyebabkan kami tidak lagi dapat membeli ganja kerana sudah kehabisan wang. Kami berlima merayau-rayau di waktu malam, mencuri sesuatu untuk di jual bagi mendapatkan wang buat membeli ganja.
Pada musim buah rambutan, hampir setiap malam kami keluar mencuri buah rambutan di kebun milik seorang bangsa cina yang letaknya tidak jauh dari kampung kami. Kami menjualnya dan tak terkecuali menikmatinya juga.
Pada suatu malam ketika kami sedang leka makan buah rambutan yang di curi dari kebun tersebut, tiba-tiba dua buah kereta polis peronda muncul. Kami pun tanpa membuang masa terus meninggalkan tempat itu sebelum sempat di kepung oleh anggota polis. Oleh kerana kami sudah sangat biasa dengan kawasan di persekitaran, tidak seorang pun yang tertangkap. Kami melalui semak-samun, kebun jagung, melalui kawasan pohon ceri yang luas serta menyeberangi sungai dan parit untuk sampai ke kampung kami. Pihak polis gagal menjejaki langkah kami. Walau bagaimana pun debaran masih terasa juga di hati kami. Masing-masing pulang ke rumah dan terus tidur. Selepas kejadian malam itu, kegiatan waktu malam telah kami kurangkan untuk lebih berhati-hati.
Dua bulan kemudian, satu keluarga India Muslim telah menjadi jiran baru kami. Mereka fasih berbahasa melayu. Nama ketua keluarga itu adalah Kasim. Hubungan kami, anak muda Kampung Paya, dengan Kasim tidak baik. Dia menjadi musuh kami. Akulah puncanya. Begini ceritanya;
Rumah jiran baru kami itu bersebelahan dengan rumahku. Sejak kehadiran mereka, aku dan seisi keluarga tidak dapat tidur lena. Setiap malam sentiasa ada tetamu-tetamu yang datang ke rumah mereka dan mereka berbual sehingga larut malam. Bunyi injin motosikal yang berdatangan sentiasa kedengaran sehingga larut malam.
Pada suatu malam, dek kerana geram dengan bunyi bising pada setiap malam. aku telah melepaskan angin motosikal tetamu mereka dan juga telah mencampakkan basikal anak mereka ke dalam sebuah perigi buta. Esoknya Kasim amat marah dengan apa yang telah terjadi. Dia menuduh aku yang melakukan semua itu. Aku mengakuinya. Apalagi Kasim pun terus memaki hamun aku dan cuba memukulku. Tetapi bapaku menghalang. Malangnya bapaku pula yang menjadi mangsa pukulannya. Adik lelakiku turut masuk campur. Mereka mula bergaduh. Kawan Kasim yang ada di tempat kejadian turut masuk campur. Maka aku pun bertumbuk dengannya. Rakan-rakanku ada menyaksikan perkelahian ini. Pada mulanya mereka hanya menyaksikan saja. Tetapi apabila Kasim mula menghina kami anak muda Kampung Paya sebagai pengecut, rakan-rakanku tidak dapat menahan diri dan turut masuk campur dalam perkelahian ini. Akhirnya Kasim dan kawannya itu lari masuk ke dalam rumah dan mengurung diri kerana ketakutan.
Selepas peristiwa pergaduhan aku dengan Kasim, kami berlima sepakat untuk mengawal suasana yang kian tidak tenteram ini dengan menyekat kehadiran para tetamu yang datang ke rumahnya pada setiap malam. Kami menahan mereka yang mahu masuk ke kampung kami dan memberi mereka amaran supaya mereka jangan membuat bising dan jangan cuba menunjuk lagak di hadapan kami. Buat mereka yang degil, akibatnya motosikal mereka telah kami jahanamkan. Mereka yang tetap melawan, kami pukul sehingga luka parah. Lama kelamaan kampung kami kembali aman dan tenteram.
---------- ♢ ----------
Paya Blues Gang
'Paya Blues Gang', itulah gelaran untuk kami berlima, Abin sebagai ketua kami yang sering mempunyai perancangan untuk aktiviti-aktiviti kami. Udin sebagai pemerhati yakni melihat situasi selamat atau tidak untuk menjalankan misi kami. Zaki adalah yang paling agresif dalam anggota kami. Joi pula setiap kali ada masa terluang tidak lepas dari mendengar muzik heavy metal kegemarannya dan asyik tersenyum dua puluh empat jam. Aku di dalam kumpulan ini hanya menjadi pendengar yang setia dan sentiasa menurut perintah.
Hampir dua bulan kemudian, kami mendapat tahu, rupa-rupanya Kasim ini seorang pengedar dan juga seorang penagih ganja. Patutlah setiap hari ramai tetamu yang berkunjung ke rumahnya. Mereka semuanya datang kerana hendak membeli ganja darinya. Pada mulanya kami ingin melaporkan hal ini ke pihak polis. Kemudian Zaki membantah. Dia merancang sesuatu.
"Apa kata kalau salah seorang dari kita pergi berkawan dengannya..?"
"Untuk apa?" Kami yang lain masih belum mengerti.
Zaki tersenyum nakal. Kemudian mengetap bibirnya dan berkata,
"untuk dapatkan ganja percuma.."
"Wah!!" Kami serentak terpesona dengan akal genius Zaki. 😝
"Ok baik, biar aku yang melaksanakan tugas ini."
Abin tanpa menunggu persetujuan yang lain terus melantik dirinya sendiri untuk menjalankan misi ini. Tiada bantahan. Dia ketua kami, jadi terima sajalah. Malam ini kami pulang ke rumah masing-masing dengan angan-angan masing-masing.
Abin telah menjalankan tugasnya dengan sempurna. Hari demi hari hubungannya dengan Kasim bertambah baik. Setiap hari dia membawa balik beberapa paket ganja secara percuma cukup untuk kami berlima menikmatinya sepanjang hari. Kami tidak perlu lagi bersusah payah mencari wang untuk mendapatkannya. Betapa beruntungnya kami.
Pada suatu hari Kasim berkata kepada Abin;
"Abin, kita berdua ni sudah berkawan baik. Sama-sama pekena ganja. Tapi tak seronoklah kalau masih ada budak-budak muda kampung ni masih menganggap aku ni sebagai musuh mereka." Begitu dia meluahkan perasaannya.
"Ajak ler mereka pekena ganja bersama-sama kita," ucapnya lagi dan tanpa menunggu sebarang jawapan, dia meneruskan kata-kata, "malam esok jemputlah mereka semua ye!"
Kasim yang selama ini menjadi musuh kami, kini telah menjadi kawan kami yang begitu bermurah hati dengan memberikan ganja percuma setiap hari. Bukan itu saja, malahan kami juga telah di beri 'kerja' sebagai pengedar ganja. Setiap satu golong ganja yang di jual mendapat upah satu ringgit. Akhirnya beginilah caranya kami mendapat wang saku sepanjang hari-hari pengangguran kami ini.
Sejak detik ini, kami berlima tidak lagi merayau-rayau pada setiap malam, merancang itu dan ini demi mendapatkan wang untuk bekalan ganja pada setiap hari. Semuanya telah kami tinggalkan. Tiada lagi debaran di buru anggota polis atas sebab mencuri sesuatu. Apa yang kami lakukan sekarang adalah duduk santai sambil merisik orang baru yang bakal membeli ganja dari kami. Dari cara kerja kami ini semakin lama semakin ramai kenalan kami yang hampir semuanya adalah pelanggan kami. Cukup luas pergaulan kami, setiap ceruk kampung yang berdekatan juga dari kampung-kampung yang jauh, semua mengenali kami, Paya Blues Gang!
---------- ♢ ----------
Paya Blues Gang tidak pernah ketinggalan menyaksikan Konsert Rock di Stadium Indera Mulia. Walaupun tiada wang, kami tetap akan masuk dengan apa cara sekalipun. Di sinilah peminat-peminat rock bersatu. Kami akan bersama dengan geng kampung lain seperti Raider Club (kampung Pengkalan Gate), Kutu Sri Kinta (kampung Sri Kinta), Manjoi Boy (kampung Manjoi) dan Geng Masjid (kampung Pengkalan Pegoh). Hubungan kami sangat rapat. Di antara semua geng yang di sebutkan di atas, hanya Geng Masjid yang tidak terlibat dengan ganja, mereka hanya peminat muzik rock heavy metal tegar. Mereka seramai lapan orang anggota. Setelah selesai konsert, kami semua pulang dengan berjalan kaki sejauh tujuh kilometer.
Suatu malam kami keluar menonton wayang 'tayangan larut malam'. Kami ke bandar Ipoh dengan berbasikal. Setelah habis menonton kami pun bergerak untuk pulang. Ketika itu aku terasa sakit perut. Aku pun bergegas ke tandas awam tanpa memberitahu rakan-rakanku yang lain. Selepas membuang air besar aku pun menuju ke tempat letak basikalku. Waktu itu rakan-rakanku sudah pun meninggalkan tempat itu. Sewaktu aku hendak mencapai basikalku, tiba-tiba enam orang pemuda menghampiriku. Mereka mengelilingiku.
"Kenapa ni?" Soalku panik.
"Ini basikal kamu ke?" Tanya salah seorang dari mereka.
"Ya. kenapa?"
"Ini basikal curi kan?"
Aku tersentak. Siapa pula mereka ni? Lantas aku menafikan tuduhan itu.
"Ini macam basikal adik aku yang hilang minggu lepas.."
"Jangan buat tuduhan yang bukan-bukan ya.."
"Kami ada bukti, lihat ni.."
Dia terus menunjukkan padaku bahagian karat di rel roda depan dan cat hijau di bawah tempat duduk. Aku panik. Degupan jantungku bertambah kencang.
Sebenarnya basikal itu memang aku telah curi tetapi bukan pada minggu lepas, malah sudah lebih sebulan yang lalu. Mereka mungkin sudah salah basikal. Aku terus bertengkar dengan mereka dan akhirnya pergaduhan terjadi. Aku telah di belasah dengan teruk sehingga cermin mataku pecah berderai. Enam lawan satu, sudah pastilah aku tewas. Kebetulan ada seorang anggota polis nampak pergaduhan ini. Aku dan salah seorang dari mereka telah di bawa ke balai polis. Setelah di soal siasat, kami di bebaskan tetapi basikal itu tidak di benarkan di bawa pulang.
Aku berfikir bagaimana hendak pulang ke rumah. Duit sudah habis di belanjakan. Waktu menunjukkan sudah pukul satu pagi. Pandanganku kabur tanpa cermin mata. Aku mesti pulang ke rumah dengan cara apa saja. Aku menahan sebuah teksi untuk membawaku pulang, tetapi setelah tiba di Kampung Pasir Putih aku menyuruh dia berhenti berhampiran kawasan perkuburan. Di situ ada sebuah rumah.
"Itu rumah saya, sekarang saya tiada wang, lu tunggu saya ambil wang dari rumah."
"Ayo, mana boleh itu macam..."
Belum sempat dia menghabiskan kata-kata, aku bingkas keluar dari teksinya, tetapi dia sempat mencapai jaketku, aku segera melepaskan jaketku itu dan terus berlari ke arah tanah perkuburan. Kedengaran pemandu teksi itu menjerit-jerit dan memaki hamun diriku. Aku peduli apa. Dia pun dah dapat jaket burukku. Terima sajalah.. Kemudian aku teruskan perjalanan dengan berjalan kaki sejauh satu kilometer lagi untuk sampai ke rumah.
Selama seminggu aku tidak keluar rumah kerana mataku rabun tanpa cermin mata. Aku hanya mendengar muzik dan menulis. Rakan-rakanku bersimpati dan mereka berjanji akan membalas dendam ke atas lelaki itu. Malangnya aku tidak dapat mengenal pasti mereka yang terlibat. Apa boleh buat, apa pun tak boleh..
Masa berlalu, pada suatu hari Sabtu, aku keluar meronda sendirian ke Bandar Ipoh. Waktu itu kutu-kutu rock telah terpengaruh dengan tarian 'Break Dance'. Aku juga tak terkecuali. Sejak dari rumah aku sudah merancang hendak mencuri pita kaset break dance. Aku masuk Kompleks Cressendo kerana di sini ada menjual pita kaset tersebut. Aku merayau dari tingkat ke tingkat dalam rangka menunggu masa yang sesuai untuk melakukannya. Hampir setengah jam aku merayau, akhirnya aku mendapatkannya. Aku pun berjalan hendak keluar dari situ, namun dengan tiba-tiba dua orang lelaki separuh umur menghalang jalanku. Seorang mencengkam tanganku dan seorang lagi memaut bahuku. Aku meronta cuba melepaskan diri dari cengkaman mereka tetapi gagal. Aku pun di heret masuk ke pejabat pengurus kompleks tersebut. Tidak lama kemudian polis datang. Tanganku di gari dan di bawa masuk ke dalam kereta polis. Orang ramai menyaksikan penangkapan ini. Betapa malunya aku. Setelah sampai di Balai Polis Pekan Baru, kad pengenalan aku di rampas. Aku di dakwa kerana mencuri di dalam kompleks beli belah.
Selepas lebih sejam aku berada di balai polis Pekan Baru, aku di bawa pula ke Balai Polis Central. Di sinilah aku di belasah kerana aku tidak mahu bersuara. Petang itu ibu bapaku datang. Ibuku menangis melihat keadaanku. Namun dia terus berleter tanpa henti tetapi aku tidak faham butiran kata-katanya kerana kepalaku berasa sangat sakit.
Malam itu aku di bebaskan dengan ikat jamin oleh bapaku. Aku di bicarakan dua minggu selepas itu. Aku dikenakan hukuman sebat sebanyak tiga kali. Aku bersyukur kerana tidak di penjarakan.
---------- ♢ ----------
Penyesalan
Sejak kejadian itu, aku sudah serik dan berazam tidak mahu lagi mengulangi segala perbuatan jahatku. Semuanya merugikan dan merosakkan diriku. Aku menyesal di atas semua kejahatan yang telah aku lakukan. Aku ingin kembali ke pangkal jalan. Masih belum terlambat. Kini baru aku sedari bahawa hubunganku dengan adik beradik dan dengan kedua ibu bapaku semakin renggang. Kemesraan itu sudah lama hilang. Mengenangkan ini semua, satu perasaan asing terbit dari jiwaku. Kesepian. Perasaan sayu dan hiba menerjah jiwaku di kala malam yang dingin. Aku menangis..
Mengapa aku begini? Mengapa aku tidak menjadi seorang remaja yang baik? Mengapa tiada bersopan santun dan mengapa aku tidak mendirikan kewajipan agama? Bertalu-talu persoalan itu muncul dalam benak hatiku.
Setelah aku bertaubat dari melakukan kejahatan, aku cuba menjauhkan diriku dari rakan-rakanku. Aku tidak lagi aktif dalam aktiviti Paya Blues Gang. Aku berusaha untuk mendapatkan pekerjaan tetapi masih gagal. Saban hari aku duduk di rumah mendengar muzik. Kali ini aku lebih suka mendengar muzik slow rock. Bila sudah puas mendengar muzik, aku hanya duduk termenung sendirian. Kadang-kadang aku berkumpul juga dengan rakan-rakanku itu tetapi kali ini aku lebih banyak diam dan tidak seriang dulu.
"Asyik termenung je kau ni, apa hal?" Abin mula menyedari perubahan diriku.
"Tak ada apa-apa. Aku ok je." Jawabku yang masih menyembunyikan kebenaran.
"Dah lama Yoep tak ikut kami..."
"Tak guna kita buat perkara bodoh tu.." Akhirnya aku meluahkan apa yang terbuku di hati.
"Emm.. Baguslah kalau Yoep dah taubat.. Tapi jangan pula nanti jadi taubat olok-olok, lain kali buat lagi.."
Aku hanya tersenyum. Aku akan buktikan pada korang semua nanti, bisik hati kecilku.
Kemudian kami masing-masing melayani fikiran sendiri. Lama kami berkeadaan begitu. Kata orang-orang tua, ada malaikat lalu. Entah betul entah tidak. Aku tersenyum sendiri.
"Yoep..." tiba-tiba Abin memecahkan kesunyian.
"Aku dah tak seronok tinggal di sini."
Aku terperanjat mendengarnya.
"Kenapa pula?" Tanyaku ingin tahu.
"Ayah aku tu, dah teruk sangat!" ucapnya, "aku nak kerja dia tak bagi. Dia ajak aku ikut dia jual ubat. Aku tak suka la."
"Oh! Begitu..." Aku faham sekarang. Dulu aku pernah juga ikut Abin dan ayahnya berniaga ubat tradisional yakni merupakan campuran pelbagai jenis akar kayu seperti tongkat ali, kacip fatimah, kayu jaga dan lain-lain. Selain menjual aku juga pernah ikut masuk ke dalam hutan untuk mencari bahan ubatan tersebut.
"Habis tu apa kau nak buat sekarang?"
"Kalau ada duit aku nak belah dari sini!"
Aku terpegun mendengarnya.
"Walau apa cara sekalipun aku mesti pergi.." Tegas dan bersemangat ucapannya.
"Baiklah. Tapi ke mana?"
Dia diam. Aku menunggu jawapannya. Nampaknya dia masih belum ada arah tujuan.
Pada suatu hari ada seorang lelaki menemui kami, dia menawarkan pekerjaan. Ia hanya kerja sementara yakni membantunya membina sebuah rumah. Kami pun menerimanya. Dua minggu lamanya kami menyiapkan rumah itu.
"Duit gaji Yoep ada lagi tak?" Tanya Abin pada suatu pagi.
"Ada. Kenapa?" jawabku.
"Tak ada apa, saja tanya" Dia termenung seketika. Tak lama kemudian dia bersuara lagi;
"Duit aku tinggal empat puluh ringgit."
"Eh? Baru lima hari dapat gaji dah tinggal banyak tu?"
"Aku beli kari (ganja), rokok dan beras.."
"Itulah aku dah cakap jangan pekena benda tu lagi, kau degil. Banyak duit kau habis beli benda tu la."
"Ah! Tak payah la Yoep nak paksa aku pasal tu." Abin meninggikan suara, dia marah.
"Tengok tu, aku nasihat pun marah, otak dah tak betul tu."
"Yang kau cakap pasal duit tadi tu, kau nak pinjam la ye? Maaf, aku tak boleh nak bagi.."
"Apa la Yoep ni, aku belum lagi cakap nak pinjam, kau dah tutup jalan. Kedekut!"
Aku ketawa.
"Sebenarnya aku bukan nak pinjam duit. Aku cuma nak tahu je. Kalau Yoep ada duit bagus la.."
"Aku tahu apa yang tersirat dalam hati kau tu. Mesti fasal rancangan kita nak tinggalkan kampung ni kan?"
"Hah! Tau pun. Macam mana? Nak ikut tak?"
"Ya aku ikut tapi dengan syarat.."
"Syarat apa pulak? Ko ni macam-macam laa Yoep.."
"Hehehee.. Syaratnya kau mesti berhenti pekena kari dan minum. Apa macam?"
Abin termenung mendengarkan syarat yang telah aku berikan. Dengan sedikit keluhan dia berkata;
"Alaa.. Susah lee..."
"Apa yang susahnya Abin, aku boleh, kenapa kau tak boleh?"
Abin mengeluh lagi. Apa lagi yang difikirkannya?
"Baiklah Yoep, aku akan cuba.." akhirnya dia mengalah.
Sebenarnya memang susah. Aku akui itu. Selama tiga bulan aku mengusahakannya dengan pelbagai cara. Cara terakhir dengan perbanyakkan minum kopi O apabila aku merasa gian. Inilah cara yang paling berkesan. Di samping itu tindakan aku menjauhkan diri dari rakan-rakanku juga banyak membantu aku untuk berhenti menghisap ganja. Inilah pengorbananku demi kebaikan masa depanku.
"Berjanjilah Yoep," ucap Abin, "kita akan bersama-sama menghadapi apa yang bakal menghalang kita. Kita akan buktikan kepada orang-orang kampung bahawa kita juga mampu hidup berdikari!"
"Ya, aku berjanji.." Balasku.
---------- ♢ ----------
Merantau
08 Julai 1986
Aku melangkah kaki meninggalkan rumah. Sebelum itu aku telah mengucapkan selamat tinggal pada keluargaku dan berjanji akan pulang dengan membawa benih kejayaan. Mereka tidak mengetahui apa yang sebenarnya yang bermain dalam dadaku. Ada satu harapan besar, aku harus meninggalkan semua keburukan yang ada di kampung ini, melupakan semuanya.
Kami tiba di perhentian bas Ipoh. Abin membeli dua tiket bas ekspres Ipoh-Taiping. Itulah destinasi kami. Ketika berada di dalam perut bas, aku bertanya kepada Abin;
"Abin, kau tak de rasa apa-apa ke? Sedih ke?"
"Entah lah, rasanya tak rasa apa-apa pun. Tak ada apa pun yang nak disedihkan." Begitulah jawabnya.
Buat diriku pula ada sedikit rasa pilu dan sayu. Entah bila aku akan pulang semula menemui keluargaku.
Dari Bandar Taiping kami menuju ke Kampung Perak, Batu Kurau. Di situlah kami akan menumpang untuk sementara waktu. Rasa pilu dan sayu itu sedikit mereda kerana aku berasa gembira di kampung ini. Keluarga Pakcik Rashid telah bermurah hati menerima kami sebagai sebahagian dari penghuni rumahnya. Aku terhibur dengan telatah anak-anaknya. Mereka begitu mesra dengan kami. Tetapi aku tidak pernah berniat untuk tinggal lama dengan mereka. Aku sedar mereka keluarga miskin yang hidup kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Mungkin dengan kehadiran kami berdua akan menambah beban hidup mereka. Oleh itu langkah pertama yang kami lakukan adalah mendapatkan pekerjaan dengan segera. Kami telah berlegar-legar ke sana ke mari mencari kerja, namun hasilnya gagal.
Kami bercadang hendak mencari kerja di Bandar Taiping pula. Oleh kerana kami tidak cukup wang, aku cadangkan pergi ke sana secara bergilir-gilir. Aku mengambil giliran pertama untuk ke sana. Jauhnya lebih dari dua puluh kilometer. Aku ke sana menaiki bas.
Di Taiping, Aku menjelajah dari satu kedai ke kedai yang lain, dari kilang ke kilang yang lain, semuanya memberi jawapan, 'tiada kerja kosong'.
Oh! Perut aku pula sudah mula lapar minta di isi.
Menjelang petang, aku ingin kembali ke Kampung Perak, tetapi hatiku berkata, tak ada gunanya kembali dengan tangan kosong. Aku ingin bermalam di Bandar Taiping. Kemudian terfikir pula, bagaimana aku hendak makan sedangkan duit aku hanya cukup untuk tambang pulang.
Malam itu aku tidur di masjid tetapi pada tengah malam aku tidak dapat lagi menahan kelaparan. Aku pun keluar mencari gerai makan. Tidak lagi menghiraukan tambang untuk pulang. Setelah makan barulah aku dapat tidur separuh lena.
Aku dibangunkan oleh seseorang pada pukul enam pagi. Aku menunaikan sholat subuh yang pertama setelah meninggalkannya selama beberapa tahun. Kali terakhir aku sholat subuh ketika aku berumur lima belas tahun.
Hari beransur cerah, aku masih terus merayau-rayau mencari pekerjaan. Perut kembali lapar tetapi aku tidak menghiraukannya. Syaitan menggoda aku untuk mencuri sesuatu. Aku melawannya, aku sudah bertaubat tidak akan melakukan hal buruk itu lagi. Bisikan syaitan terus menyerangku, jiwa pun berperang melawannya. Begitu besar pergolakan dalam jiwaku. Aku tidak tertahan dan keletihan. Aku duduk bersandar di sebatang pohon rendang. Aku menangis..
Matahari tegak di langit, aku terus berjalan lagi dalam keadaan lesu. Aku masuk ke dalam sebuah restoran mamak.
"Encik, ada kerja kosong?" tanyaku.
"Tak ada. Sudah cukup orang." jawabnya.
"Tolonglah encik. Kalau tak ada kerja kosong, boleh berikan saya sedikit makanan? Saya lapar.." Aku merayu kepadanya meminta sedikit simpati.
Mamak restoran itu termenung seketika. Dia turut memerhatikan diriku dari atas hingga ke bawah. Aku menjadi gelisah.
"Awak tinggal di mana?"
"Saya menumpang di rumah kawan di Batu Kurau. Saya berasal dari Ipoh."
"Baiklah. Awak boleh duduk di sana."
Dia menunjukkan arah ke sebuah bangku di dalam restoran itu. Aku pun segera mengucapkan ribuan terima kasih kepadanya dan duduk di bangku tersebut. Lega rasanya. Selepas makan aku sekali lagi berterima kasih kepadanya dan meminta diri untuk pergi.
"Tunggu.."
Tiba-tiba Mamak itu menahanku, "awak mau kerja kan?
"Ya encik.." Cepat-cepat aku menjawab.
"Apa yang awak boleh buat?"
"Saya boleh basuh pinggan mangkuk, layan pelanggan.."
"Boleh goreng mee?"
"Tak boleh encik. Saya tak pernah buat" Aku mulai gelisah.
"Kalau awak boleh goreng mee, saya akan hantar awak ke Grik, tetapi saya mahu tengok mutu kerja awak di restoran ini selama seminggu."
Aku merasa sangat lega sebaik saja kata-kata itu hinggap di telingaku. Sekali lagi aku mengucapkan terima kasih kepadanya. Hatiku melonjak kegembiraan.
Kemudian dia menyuruhku pulang untuk mengambil pakaianku. Dia juga memberikan sedikit wang untuk tambang ke Batu Kurau. Setelah sampai di rumah Pakcik Rashid, aku menemui Abin dan berjanji akan mencarikan dia kerja di Taiping. Pakcik Rashid telah memberiku wang sebanyak RM5 untuk perbelanjaanku nanti. Petang itu aku kembali semula ke Bandar Taiping dan keesokan harinya aku mula bekerja.
Sudah dua minggu aku bekerja di restoran ini. Selama itu juga aku tidak lagi berhubung dengan keluarga Pakcik Rashid. Aku juga tidak dapat menunaikan janjiku untuk mendapatkan kerja untuk Abin. Aku di serang penyakit rindu yang sungguh hebat. Aku rindukan keluargaku di kampung halamanku, aku juga rindukan hilai tawa adik-adik di Kampung Perak. Aku sering termenung bila bersendirian dan juga di tempat kerja. Kadang kala aku tidak dapat membuat kerja dengan baik. Aku sering dimarahi kerana lalai. Bila tiba waktu petang aku selalu kelesuan dan mengantuk. Biasanya aku tidak demikian. Aku menyedari bahawa diriku semakin lemah dan tidak bermaya. Tidak tahu mengapa aku sedemikian rupa. Kini aku tidak lagi berasa gembira sebaliknya aku sudah menjadi seorang pendiam, sudah malas hendak berkata-kata. Aku menjadi sangat sensitif, mudah tersinggung apabila dimarahi majikan. Setiap malam aku berada di puncak kesepian. Menangis.
Masa berlalu, jiwaku semakin parah. Semua kerja yang aku buat hanya merosakkan. Sehingga aku di serang demam selsema dan aku pun memohon cuti.
"Awak sakit?" Tanya majikanku, Mamak Restoran ini.
"Ya encik. Saya mahu cuti 3 hari."
"Kerja awak terlalu teruk. Ini macam saya boleh rugi tau.."
"Maafkan saya encik.."
"Saya fikir awak tidak perlu datang sini lagi!"
Aku faham apa yang dimaksudkannya. Aku sudah kehilangan kerja. Apa boleh buat. Aku tidak akan merayu kerana aku sedar kesilapanku dan kelemahanku. Setelah menerima gaji aku pun meninggalkan restoran itu buat selamanya.
---------- ♢ ----------
Sebelum aku bergerak ke Batu Kurau, aku merayau-rayau di Bandar Taiping. Apabila telingaku menangkap bunyi muzik, aku segera menghampiri untuk menikmatinya. Aku berkhayal berada di atas pentas bersama empat orang sahabatku. Abin bermain gitar bass, Udin bermain drum. Zaki bermain gitar utama. Joi bermain gitar irama dan aku pula sebagai vokal band ini. Kami sedang memainkan muzik berirama slow rock yang sangat memilukan namun syahdu dan nyaring. Ribuan penonton mengangkat tinggi kedua belah tangan mereka seraya menghayunkannya ke kiri dan ke kanan. Terpesona..
Sewaktu aku melangkahkan kaki menyusuri kaki lima di barisan kedai-kedai, aku terpandang sekeping poster yang dilekat di dinding sebuah kedai. Poster itu sangat menarik hatiku. Ia memaparkan gambar lima band rock Malaysia. Mereka adalah band SYJ, Lefhanded, Rahim Ma'arof and the White Steel, Ella and the Boy dan band Bloadsheds. Mereka akan berpadu tenaga dalam konsert 'Baattles of the Band.' Konsert ini akan di anjurkan di Bandaraya Ipoh pada 02hb Ogos. Empat hari lagi. Aku mesti menyaksikannya, bisik hatiku. Kemudian aku segera bergerak ke perhentian bas.
Bas yang aku naiki sarat dengan penumpang. Paling ramai adalah para pelajar yang baru pulang dari sekolah. Di dalam perjalanan ini aku asyik memikirkan apa yang harus aku lakukan. Kini aku telah menganggur lagi. Sekiranya aku tidak mendapat kerja lain, aku membuat keputusan untuk pulang ke Ipoh, namun bukan kembali ke Kampung Paya, aku akan ke rumah ibu kandungku di Ulu Kinta.
Petang itu aku pun tiba di rumah Pakcik Rashid. Adik-adik menyambut diriku dengan penuh kegembiraan. Aku serahkan sedikit buah tangan berupa sebiji buah tembikai dan sekilo buah mata kucing kepada mereka. Anak-anak Pakcik Rashid ini sudah aku anggap seperti adik sendiri. Telatah mereka sering menghiburkan hatiku, membuatkan segala kesedihan dan kesepian diriku diubati. Mereka adalah permata hatiku.
Malam itu aku menemui Abin di rumah abang iparnya, rupanya dia tidak lagi tinggal menumpang di rumah Pakcik Rashid. Dia telah pun bekerja sebagai buruh kontrak di Batu 16, Batu Kurau. Sudah hampir seminggu dia bekerja di sana. Dia menceritakan apa yang telah berlaku pada dirinya di sepanjang ketiadaan aku di kampung ini;
Suatu hari Roslina, anak sulung Pakcik Rashid, pulang ke rumah setelah mendapat cuti kerja. Dia bekerja sebagai pembantu rumah di Simpang Empat, Taiping. Roslina agak terkejut melihat kehadiran Abin di rumahnya. Abin pun menceritakan segala yang telah terjadi. Abin dan Roslina memang sudah saling mengenal sejak kecil lagi kerana sememangnya Abin semasa kecil pernah tinggal bersama ibu kandungnya di kampung ini. Setelah dewasa mereka saling jatuh cinta namun tanpa pengetahuan ibu bapa mereka. Abin pernah memberitahuku bahawa dia berhasrat hendak memperisterikan Roslina. Aku pun sentiasa memberikan dia harapan semoga itu akan menjadi kenyataan.
---------- ♢ ----------
"Abin, ada orang nak datang meminang Lina..." ucap Roslina perlahan, tersekat-sekat.
"Apa?" Abin terperanjat, air mukanya berubah pucat, "betul ke Lina?" soalnya inginkan kepastian.
"Ya Abin.. Ayah Lina tentu akan menerimanya...!" Dia tundukkan pandangan, sedih.
"Siapakah bakal tunanganmu tu?"
"Lina tak kenal, ayah yang kenal dia. Lina cuma pernah lihat dia sewaktu dia datang berbual dengan ayah. Kata ayah, namanya Rosli, kerja askar."
"Lina suka dia? Akan terima dia?"
"Tidak! Tidak Abin, percayalah. Tapi...... Lina tak mampu nak buat apa-apa..."
Roslina menangis, tersedu-sedu. Abin termenung jauh, jauh ke tengah sawah yang menghijau terbentang luas di hadapan matanya. Mengalir air jernih di pipinya. Kedua mereka hanyut dalam lautan kesedihan.
"Abin.... huuhuu... Aku cinta padamu.... huuu.."
Roslina bersuara dalam tangisan.
"Aku juga... Cinta padamu..."
Abin cuba menahan sebak di dadanya, namun air mata terus mengalir.
Hubungan mereka berakhir di sini. Itulah suratan takdir.
---------- ♢ ----------
Hubungan Abin dengan keluarga Pakcik Rashid mula renggang. Kini dia tidak lagi menumpang di rumah ini. Dia pindah menumpang pula di rumah abang iparnya yang tidak jauh dari sini. Aku bersimpati dengan apa yang telah menimpa dirinya. Aku juga turut bersedih mendengarkan ceritanya. Namun tindakan dia meninggalkan rumah Pakcik Rashid menimbulkan syak wasangka, akhirnya hubungan Abin dan Roslina diketahui. Pakcik Rashid memarahi Abin dan segera melarang dia dari bertemu dengan anaknya, Roslina.
Setelah aku mendengar cerita Abin dan meluahkan rasa simpati terhadapnya, aku pun bercerita tentang apa yang telah terjadi terhadap diriku. Aku juga memberitahunya tentang keputusanku untuk kembali semula ke Bandar Ipoh.
"Yoep dah muktamad nak balik Ipoh?"
"Ya, pasti. Muktamad!" tegasku.
"Kenapa? Dah tak seronok ker kat sini?"
"Seronok. Cukup seronok bergaul dengan adik-adik.."
"Habis tu?"
"Aku tak de kerja kat sini. Aku tak mau menyusahkan Pakcik Rashid..."
"Ikut aku tinggal di rumah abang ipar aku.. sementara nak dapatkan kerja.."
"Tak mau la aku. Lagipun perbuatan ini akan buatkan Pakcik Rashid terasa hati."
Abin mengeluh kecil. Dia bagaikan tidak mahu mengizinkan aku untuk pulang.
Kemudian aku terus menasihatinya agar janganlah bersikap bermusuhan dengan keluarga Pakcik Rashid. Lagipun mereka itu telah banyak berbuat baik. Selama di perantauan ini, merekalah yang banyak membantu, termasuk makan dan minum. Sekalipun tidak pernah di ungkit apalagi minta balasan. Aku berharap benar Abin akan sedar akan hal ini. Namun apa boleh buat, dia tetap dengan pendiriannya dan masih dengan sikap bencinya terhadap keluarga yang banyak berjasa itu.
Sudah dua hari aku berada di rumah Pakcik Rashid dan Abin pula di rumah abang iparnya. Hubungan kami semakin renggang kerana berbeza pendapat, tidak semesra dulu. Ini membuatkan aku berasa sangat sedih sehingga terbawa ke dalam mimpi. Mimpi ngeri yang mengundang sengsara...
"Kau telah memungkiri janji kita!" Suara Abin bergema di langit mimpiku.
"Kau ingin meninggalkan aku, sendirian di sini.. Kenapa Yoep? Kenapa?"
"Aku tak berniat pun untuk meninggalkan kamu. Kau yang telah salah jalan! Kau berjalan ke jurang bahaya Abin!"
"Sial! Kau tu penakut dan pengecut!"
Kemudian Abin melangkah pergi. Entah mahu ke mana. Di atas kepalanya ada segumpal awan hitam. Aku merasakan awan hitam itu akan menyelubunginya pada bila-bila masa sahaja. Aku menjerit memanggil namanya, tetapi sedikit pun dia tidak mahu menoleh untuk memandangku. Kemudian aku melihat diriku sendiri, pakaian yang aku sedang pakai, koyak rabak! Langkahku longlai. Di hadapan aku ada jurang yang amat dalam. Hanya ada satu jambatan gantung yang sudah usang untuk menuju ke seberang sana. Aku takut untuk melintasinya sendirian. Siapakah yang sanggup membimbing aku untuk ke seberang sana?
Aku menangis teresak-esak sehingga aku terbangun dari mimpi. Sungguh mengerikan mimpi ini. Aku berdoa pada Yang Esa agar mimpi ini tidak akan menjadi kenyataan.
---------- ♢ ----------
Kembali
Pagi itu aku bersiap-siap untuk meninggalkan kampung ini. Namun betapa berat rasanya hati ini untuk meninggalkan mereka yang aku sayangi, makcik dan pakcik serta adik-adik angkatku ini. Pakcik Rashid meminta aku menunggu untuk makan tengah hari terlebih dahulu. Aku akur. Selepas makan aku bersalam-salaman dengan makcik, pakcik serta anak-anaknya. Aku juga mengucapkan selamat tinggal kepada Abin dan mendoakan agar dia akan gembira selalu.
Anak-anak Pakcik Rashid menemani aku di perhentian bas. Sewaktu aku sudah berada di dalam perut bas, mereka melambai-lambaikan tangan dan aku pun membalas lambaian itu dengan perasaan terharu, selamat tinggal adik-adikku semua, insyaAllah kita akan bertemu lagi..
Aku tiba di Bandar Ipoh pada pukul enam petang. Waktu malam nanti konsert 'Battle of the Band' akan bermula. Aku pun bergerak ke Stadium Indera Mulia yang mana di sinilah konsert itu diadakan. Orang masih belum ramai, para peniaga baru mula hendak membuka gerai jualan mereka.
Satu jam kemudian, orang dah mula berpusu-pusu datang. Ada yang datang menaiki bas rombongan, teksi dan motosikal. Mereka bukan saja dari Bandar Ipoh dan persekitarannya, malahan ada yang datang dari jauh seperti dari Telok Intan, Kuala Kangsar, Taiping dan lain-lain. Suasana sudah mula hiruk-pikuk dengan gelagat anak muda yang hampir semuanya sama gaya, berambut panjang, berseluar ketat dan berbaju hitam dengan imej suram atau seram.
Sepanjang masa menyaksikan persembahan ke lima-lima kumpulan rock itu, aku dapat menghilangkan segala keresahanku. Aku terhibur, benar-benar terhibur. Namun masih ada yang kurang, biasanya aku menyaksikan konsert atas nama 'Paya Blues Gang' yakni kami berlima, kali ini, buat pertama kalinya, aku bersendirian. Abin masih lagi berada di Batu Kurau, yang lain entah ke mana, aku tidak pula menemui mereka di konsert ini. Nampaknya dah sahih lah 'Paya Blues Gang' bubar dan tak akan wujud lagi..
---------- ♢ ----------
Ketika aku menuliskan kisah ini, aku tinggal di rumah ibu kandungku. Selain ibuku, rumah ini di huni bersama abangku yang masih belum berkahwin dan anak perempuan kakakku yang bernama Norita. Bapa kandungku hanya sekali sekala berkunjung ke rumah ini, masanya banyak di habiskan di rumah isteri mudanya.
Aku gembira tinggal di sini. Aku sudah mula mengerjakan sholat berjemaah di surau berdekatan. Aku juga sudah mesra dengan jiran-jiran terutama dengan jiran yang sebaya denganku juga dengan kawan-kawan Norita yang selalu datang bermain di rumah ini. Ya, aku benar-benar gembira.
Namun ada kalanya rinduku terhadap rakan-rakan di Kampung Paya datang membara. Juga rinduku terhadap adik-adik angkatku jauh di desa sana. Setiap hari aku menghiburkan jiwa yang kerinduan ini dengan mendengar muzik kegemaranku, slow rock, hard rock dan heavy metal. Itulah temanku di kala hatiku berduka.
Begitulah takdir yang tersurat dalam hidupku. Kertas putih ini menjadi saksi akan segalanya yang telah berlaku. Tiada sesiapa pun di atas muka bumi ini yang tahu apa yang bakal terjadi. Hanya Dia Yang Maha Mengetahui, Yang Mengetahui masa lalu dan masa yang akan datang.
Kertas putih salju,
ku coretkan kedukaanku.
Hitam dan kelabu,
adalah warna dalam hidupku.
Kejutkanlah aku kawan,
aku sedang bermimpi..
Kejutkanlah aku yang sengsara dalam sepi..
Gementar kakiku,
meniti titian usang.
Berdegup jantungku,
apa dapatkah aku ke seberang.
Sambutlah tanganku kawan,
aku takut tenggelam.
Sambutlah tanganku kawan,
jurangnya sangat dalam..
Ooh! Jurangnya sangat mengerikan,
ramai yang telah kecundang..!
Dia sering menunggu untuk memimpinku.
Di seberang sana ada CAHAYA.....
Rusda B.A. 1986 hingga akhir nanti...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Saudara2ku yang dihormati dan semua yang mengunjungi blog ini, terimakasih saya ucapkan kerana telah sudi meluangkan masa di sini, semoga kehadiran kalian berakhir dengan manafaat. Walau bagaimanapun, saya tetap insan yang lemah, segala kesilapan saya silalah ditegur, dikritik dan dinasihati ..