Bercerita tentang kemenangan,
Janganlah kita melihat kemenangan itu pada satu-satu sudut sahaja. Kemenangan itu perlu dilihat secara global. Pertama sekali kita perlu ketahui bahawa, ada dua jenis kemenangan yakni kemenangan di dunia dan kemenangan di akhirat. Maksudnya di sini, kemenangan juga boleh kita perolehi di dunia, tetapi ianya hanyalah bersifat sementara sahaja dan kemenangan yang kita dapat di akhirat pula adalah kekal abadi. Jadi kita bolehlah memilih mana satu yang kita sukai, atau jika mampu kita dapatkanlah kedua-duanya sekali.
Mari kita ceritakan dahulu tentang kemenangan di dunia.
Mari kita ceritakan dahulu tentang kemenangan di dunia.
Kemenangan di dunia ini terbahagi kepada dua, ada kemenangan berbentuk lahiriah dan ada kemenangan berbentuk batiniah atau rohaniah. Yang lahiriah itu lebih berbentuk material seperti mendapat kuasa kerajaan, menang perang ataupun mendapat harta. Yang rohaniah pula adalah seperti meningkatnya iman, boleh khusyuk dalam sholah, merasa berdosa, dekat dengan Allah SWT dan tenang dengan masalah dunia. Kemenangan lahiriah tiada jaminan Allah SWT. Kemenangan lahiriah adalah nikmat Allah SWT yang belum tentu disertai dengan RahmatNya. Kemenangan lahiriah boleh jadi Allah SWT beri atas RahmatNya dan boleh jadi juga berlaku secara istidraj atau dalam kemurkaanNya. Manakala kemenangan rohaniah sudah pasti berlaku atas Rahmat dan Kasih Sayang Allah SWT. Ia disebut juga sebagai Al Jannatul ‘ajilah atau Syurga Yang Disegerakan. Kemenangan rohaniah ada jaminan selamat dari Kemurkaan Allah SWT. Itu sebabnya dalam hendak mengusahakan kemenangan, eloklah diusahakan kemenangan rohaniah terlebih dahulu. Ataupun setidak-tidaknya, dua-dua itu hendaklah berjalan seiringan.
Sekarang bercerita tentang kemenangan di akhirat pula,
Ianya adalah anugerah Allah SWT atas kemenangan rohaniah yang kita telah perolehi di dunia. Lazimnya, orang yang mendapat kemenangan rohaniah di dunia, sudah Allah SWT sediakan kemenangan di Akhirat. Kemenangan di akhirat ini boleh diberi contoh, seperti mendapat keampunan Allah SWT, dilepaskan daripada azab neraka dan dimasukkan ke dalam syurga. Kemenangan di akhirat adalah kemenangan hakiki. Kemenangan yang selalunya diperkatakan Allah SWT dalam Al-Quran banyak menjurus kepada kemenangan di Akhirat. Kemenangan di Akhirat inilah yang sepatutnya menjadi cita-cita setiap hamba Allah SWT di muka bumi ini.
Wallahu a'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Saudara2ku yang dihormati dan semua yang mengunjungi blog ini, terimakasih saya ucapkan kerana telah sudi meluangkan masa di sini, semoga kehadiran kalian berakhir dengan manafaat. Walau bagaimanapun, saya tetap insan yang lemah, segala kesilapan saya silalah ditegur, dikritik dan dinasihati ..