Jika kita melihat kepada nama tempat yang terdapat di Malaysia, terdapat banyak tempat lama yang menggunakan perkataan KOTA. Kenapakah perkataan kota tersebut digunakan? Adakah saja suka-suka perkataan kota tersebut digunakan? Adakah memang ada sebuah kota di situ pada suatu masa dahulu? Dari apa yang diperhatikan, memang terdapat kota pada kesemua tempat yang menggunakan perkataan kota. Cerita turun temurun masyarakat setempat menjurus kepada kewujudan sesebuah kota bagi setiap nama yang menggunakan perkataan kota. Tetapi kebanyakannya telah lenyap dan diabaikan, diruntuhkan, diratakan, ditimbuskan, ditenggelamkan dan dihilangkan dari pengetahuan umum. Apakah motif sebenar tindakan tersebut, AGENDA siapakah ini?
Foto 1: Binaan batu bata di Sungai Batu, Merbuk Kedah merupakan tapak arkeologi terawal di Asia Tenggara dibina sekitar 100 Masihi. Jika pengetahuan binaan kota batu bata telah wujud pada 100M kenapa di dalam teks sejarah wujud dakwaan kota-kota dahulu dibina dari kayu dan buluh? Hanya setelah kedatangan Portugis kota batu dibina, seolah-olah kita belajar dari pihak penjajah!? Tidak logik jika pada 100M sudah ada binaan batu bata tetapi pada 1500M masih berkotakan kayu.
Foto 2: Peta lama bertarikh 1598 (sumber, Wendy Khadijah Moore, 2011, Malaysia A Pictorial History 1400-2004) menunjukkan kota-kota yang wujud di sepanjang pantai semenanjung tanah air kita. Dimanakah kota-kota tersebut sekarang?
Foto 3: Kampong Kota di Beruas, Perak di mana terdapatnya makam purba raja Melayu yang bernesankan Batu Acheh terukir ayat Al Quran. Kenapa sejarah mainstream menjunjung pengaruh Hindu-Budha di Bruas Gangga Negara, tetapi kisah rajanya yang beragama Islam seolah-olah diketepikan sahaja?
Foto 4: Istana Raja Bersiong di Kepala Batas Alor Star Kedah. Istana yang didakwa asalnya milik Raja Bersiong kemudian diwarisi oleh Tengku Kudin. Lihat sahajalah terbiar dan turut dijadikan tempat pembuangan sampah. Kenapa Kelly Castle dipelihara, tetapi Istana Raja Bersiong ini terbiar hina sebegini rupa?
Foto 5: Gambar ini didakwa sebagai Istana Sultan Ismail di Belanja Perak. Gambar ini berjaya mencetuskan persepsi Melayu itu berdinding buluh dan beratap rumbia. Adakah ini sebenarnya istana atau sekadar tempat persinggahan atau pondok di dalam dusun atau tempat persembunyian ketika diburu penjajah? Jika sememangnya istana tempat bersemayam, bagaimana agaknya kalau gajah baginda yang berpuluh ekor itu menggeselkan badan pada dinding istana tersebut? Bagaimana agaknya kalau baju besi baginda digantung pada dinding istana tersebut?
Foto 6: Kota Ngah Ibrahim di Matang, Perak. Pernah dijadikan markas oleh Inggeris dan Jepun. Menjadi mahkamah untuk mengadili mereka yang dituduh terlibat dengan pembunuhan J.W. Birch, mungkin disebabkan itu ianya masih kekal tidak diruntuhkan
.
Foto 7: Kota Long Jaafar di Bukit Gantang, Perak. Terbiar bersemak tanpa penjagaan rapi. Menurut sejarah mainstream, Long Jaafar merupakan Penghulu Larut yang kaya raya serta kekayaannya itu mengatasi kekayaan Sultan Perak pada ketika itu. Persoalannya, logik kah penghulu lebih kaya dari sultan pada masa tersebut, dan logik kah seorang penghulu memiliki sebuah kota yang dilengkapi dengan meriam?
Foto 8: Kota Kuala Muda, sebahagian kecil sahaja sisa binaan kota yang masih tinggal. Terdedah kepada vandalism dan pencerobohan, diharapkan symbol-simbol yang masih ada dapat kekal untuk tatapan generasi akan datang
.
Foto 9: Kota Kuala Kedah, lihatlah keunikan senibinanya. Pernah dijadikan markas Inggeris dan mungkin disebabkan itu ianya selamat dari diruntuhkan sama seperti Kota Ngah Ibrahim yang pernah dijadikan markas Inggeris
.
Foto 10: Kota Star, binaan asalnya pernah dirobohkan atas alasan untuk membina Wisma Persekutuan. Logikkah alasan tersebut diberikan dalam masa yang sama Kota A Famosa dipertahankan? Namun begitu replica kota tersebut dibina semula pada tahun 2008 tetapi didapati berlaku sedikit perubahan pada corak ukiran pada kota
.
Foto 11: Kota Indera Kayangan, tapak kota telah diratakan dan dijadikan tempat parking kereta untuk pelawat yang berkunjung ke Muzium Kota Indera Kayangan. Logikkah tapak sebuah kota dijadikan tempat parking kereta?
Foto 12: Istana Nagara, foto ini diambil pada 1897 (sumber, Wendy Khadijah Moore, 2011, Malaysia A Pictorial History 1400-2004). Lihat la seni binaannya yang jelas bermotifkan Merong dan Teratai. Telah dirobohkan pada 1930 dan diganti dengan istana yang baru di atas tapak asal yang kemudiannya dikenali sebangai Istana Iskandariah. Kenapa istana secantik ini dirobohkan, tiada lagikah tapak lain selain dari tapak binaan asal untuk dibina istana baru? Kenapa sejarah mainstream cuba melenyapkan maklumat tentang istana ini? Kenapa istana ini diberi nama Istana Nagara? Nagara manakah yang dimaksudkan?
Banyak lagi kota-kota dan istana lain yang tidak dipaparkan disini, apa yang dipaparkan sebagai bahan untuk dikongsi dan difikirkan bersama. Jika Melayu mempunyai kota maka ini amat bertentangan sekali dengan momokan selama ini apabila Melayu dikaitkan dengan rumah kayu beratap rumbia. Jika Melayu memiliki kota, kemanakah perginya pewaris kota tersebut? Jika pewaris sebenar kota tersebut adalah mereka yang berkuasa sekarang, adalah tidak logik jika mereka yang berkuasa ini membiarkan sahaja kota warisan nenek moyang mereka terabai, dirobohkan dan dilenyapkan begitu sahaja. Jadi siapakah sebenarnya yang empunya dan pewaris sebenar kota-kota tersebut?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Saudara2ku yang dihormati dan semua yang mengunjungi blog ini, terimakasih saya ucapkan kerana telah sudi meluangkan masa di sini, semoga kehadiran kalian berakhir dengan manafaat. Walau bagaimanapun, saya tetap insan yang lemah, segala kesilapan saya silalah ditegur, dikritik dan dinasihati ..