Cari Blog Ini



Allah Telah Menjanjikan Kepada Orang-Orang Yang Beriman Dan Mengerjakan Amal Sholeh Untuk Menjadikan Mereka Sebagai Khalifah Di Muka Bumi Ini Sebagaimana Ia Telah Menjadikan Orang-Orang Sebelum Mereka Sebagai Khalifah, Menyebarkan Bagi Mereka Agama Yang Telah DiredhoiNya Untuk Mereka Secara Merata Dan Menggantikan Ketakutan Mereka Dengan Rasa Keamanan (sehingga) Mereka Dapat Menyembah-Ku Dan Tidak MenyekutukanKu. Barangsiapa Engkar Setelah Itu, Merekalah Orang-Orang Yang Fasiq-An-Nur : 56


Wahai Orang-Orang Yang Beriman Barangsiapa Dari Kalian Berpaling (murtad) Dari Agamanya Maka Allah SWT Akan Memunculkan Sekelompok Kaum Yang Dia Cinta Mereka Dan Mereka Juga MencintaiNya -Al-Maidah :54


Ternyata Sekarang Ini Dunia Telah Dipenuhi Dengan Pemimpin Zalim Baik Dari Negara Kafir Mahupun Dalam Negara Muslim Sendiri...


Namun Masanya Sudah Hampir Tiba, Dunia Akan Diwarisi Oleh Hamba-Hamba Tuhan Yang Sholeh. Dia Akan Memenuhi Dunia Dengan Keadilan Setelah Dunia Ini Dipenuhi Dengan Kezaliman Para Pemimpin..




Penyelamat Umat Itu bakal Datang tidak lama lagi...!!!

PeNGiKuT NaN SeTia..

Jumaat, 18 Julai 2014

Wirawati Melayu pemimpin tentera wanita Seri Wijayamala

Assalamu Alaikum;

Tersebutlah sebuah kesah yang menjadi lagenda Bangsa Melayu. Kisah kepahlawanan Puteri Melayu yang berani dan tegas. Beliau ialah yang digelar Cik Siti Wan Kembang I, pengasas dan pemerintah kerajaan Serendah Sekebun Bunga (Kisaran Payung) pada tahun 1335-1345. Nama beliau adalah Adruja Wijayamala Singa. Inilah puteri kesayangan baginda Raja Sang Tawal, pemerintah ke 3 dan terakhir kerajaan Grahi (Jawaka) pada tahun 1267-1325. Datuknya pula adalah Raja Sakranta yang memerintah Negeri Grahi pada tahun 1253-1267. Leluhur Adruja ini sampai kepada Maharaja Srivijaya-Malayu (Palembang-Jambi) yakni yang di kenali sebagai Demang Lebar Daun atau nama rasminya Srimat Trailokyaraja Maulibhusana Warmadewa.


Adapun telah dikatakan orang bahawa puteri perkasa inilah yang telah memenggal leher raja negeri Siam Sukhothai yang terkenal kejam dan zalim, Raja Rama Khamhaeng (1247-1317). Inilah kemenangan bangsa melayu yang mengejutkan bangsa siam sukhothai pada masa itu. Bukan itu saja, malah telah memberi malu orang siam sukhothai itu sehingga mereka menaruh dendam yang tak berkesudahan terhadap orang melayu.

Beginilah ianya bermula, Raja Rama Khamhaeng itu dikatakan mahu meluaskan tanah jajahannya ke arah selatan (Semenanjung Tanah Melayu) tetapi telah dihalang oleh nenda Adruja, Raja Sakranta. Setelah Raja Sakranta mangkat, takhta kerajaan Grahi telah diserahkan kepada ayahanda Adruja, Raja Sang Tawal. Sebagai Maharaja Grahi yang baharu, Raja Sang Tawal telah mengarahkan supaya dibina sebuah kota yang teguh demi menghalang tentera Siam Sukhothai dari menceroboh masuk ke Semenanjung Tanah Melayu. Setelah siap, kota tersebut diberi nama Kota Grahi.



Sejak dari usia kanak-kanak lagi, Adruja dikatakan pandai menunggang kuda dan bermain senjata seperti kelewang. Meskipun perilaku baginda menyerupai lelaki, namun Adruja dikatakan amat menyukai wangian kayu cendana yang telah dicampurkan ke dalam minyak wangi yang diperbuat daripada bunga melur. Ia adalah satu kesukaan khas yang menunjukkan bahawa Adruja masih ada sifat kewanitaan.

Setelah umurnya mencecah belasan tahun, Adruja sentiasa menjadi pembantu ayahandanya di medan perang. Puteri tersebut biasanya dibenarkan membawa bendera kerajaan Grahi ketika Raja Sang Tawal pergi berperang dengan tentera Siam Sukhothai. Pengalaman berada di medan perang telah membantu Adruja membiasakan diri dengan melihat keganasan perang dalam segala aspek.

Setelah perang berakhir, Adruja akan membantu membalutkan luka dan memberi minuman kepada mana-mana tentera ayahandanya yang cedera. Melihatkan keadaan tentera Grahi yang kurang semangat juang serta rakyatnya yang sentiasa berundur, maka tergeraklah di hati puteri tersebut untuk membentuk satu pasukan khas yang terdiri dari kaum wanita.

Selain untuk membantu kaum lelaki di medan perang, tujuan pasukan khas wanita tersebut ditubuhkan adalah untuk membela nasib kaum wanita Melayu di Grahi yang sering diperkosa oleh tentera Siam Sukhothai tatkala mereka menyerang kampung-kampung yang jauh dari Kota Grahi. Selain itu, Adruja juga mahu membuktikan bahawa kaum wanita juga setanding dengan kaum lelaki walaupun di medan perang.

Cadangan Adruja untuk membentuk satu pasukan khas wanita telah diusulkan kepada ayahandanya, Raja Sang Tawal. Pada mulanya, Raja Sang Tawal enggan memperkenankan cadangan puterinya itu kerana tugas kaum wanita pada zaman tersebut hanya terhad kepada kerja memasak dan membantu merawat kecederaan tentera di medan perang sahaja.

Namun begitu, Raja Sang Tawal berubah fikiran dengan serta-merta setelah mengenangkan tindakan puteri kesayangannya itu yang pernah beberapa kali mempertahankan bendera kerajaan Grahi ketika di medan perang. Raja Sang Tawal akur lalu memperkenankan cadangan Adruja itu. Pada masa yang sama, baginda cuba untuk menyelamatkan Adruja dengan mengahwinkan puteri tersebut. Walau bagaimanapun, Adruja terus menolak rancangan ayahandanya itu.

Setelah cadangan tersebut diperkenankan oleh Raja Sang Tawal, maka Adruja pun berusaha untuk membentuk sebuah pasukan khas yang dianggotai kaum wanita. Adruja telah berusaha mendapatkan segala bekalan senjata untuk pasukan khasnya. Baginda telah menempah senjata ringan dengan mengarahkan agar dibentuk busur panah yang kecil tetapi lebih cekap. Selain itu, puteri tersebut juga telah membeli puluhan ekor kuda, kain serta keperluan wanita dari para saudagar Arab dan Turki di pelabuhan yang berhampiran dengan Kota Grahi. Dari mereka jugalah, Adruja mempelajari bahasa Arab dan Turki. Selain itu, Adruja juga telah membeli seekor kuda putih untuk dirinya sendiri. Kuda tersebut diberi nama Halilintar dan ianya sentiasa mendahului sesiapa sahaja, termasuklah pelatih Adruja yang berbangsa Turki bernama Inologlu.

Pada suatu hari, Adruja Wijayamala Singa masuk menghadap Raja Sang Tawal yang sedang sibuk bermesyuarat dengan para panglima perang. Ketika itu, mereka sedang melihat selembar peta. Setelah salam diberi, Adruja terus membuka daun-daun tingkap istana lalu mengajak Raja Sang Tawal dan para panglima perang supaya melihat ke luar tingkap. Puteri itu seraya berkata:

“Itulah pasukan khas patik. Hanya 41 orang. Kebanyakannya janda dan
hamba abdi serta budak suruhan, untuk berperang bersama ayahanda kelak”.

Setelah melihat pasukan khas tersebut, para panglima bertanya kepada Adruja tentang kemampuan mereka - sama ada mereka mampu memikul tombak serta memanah atau pun tidak. Malah, ada juga di antara mereka yang memperlekehkan kemampuan pasukan khas tersebut dengan tersengih-sengih dan ketawa kecil.

Tindakan para panglima tersebut telah membuatkan dada Adruja membara, lalu ditariknya salah seorang dari kumpulan panglima tersebut dan membawanya ke ruang tingkap. Adruja segera memberi arahan kepada Puspa, salah seorang pengikutnya yang berdiri puluhan ela di bawah istana supaya terus memanah panglima tersebut.

Anak panah yang dilepaskan Puspa berdesing membelah udara lalu melekat pada daun tingkap - hanya sejengkal dari muka panglima tersebut. Adruja lantas berkata kepada para panglima yang memperlekehkan pasukan khasnya:

“Jika itu belum memuaskan kalian, silalah tunggu di tingkap itu untuk perintahku yang kedua”.

Tindakan berani Adruja dan pengikutnya, Puspa telah menyebabkan semua orang terdiam. Adruja terus menyembah Raja Sang Tawal lalu turun dari istana. Menurut catatan sejarah, peristiwa tersebut berlaku pada tahun 1317 Masihi.

Pada suatu hari, angkatan tentera Siam Sukhothai telah mula bergerak ke arah selatan untuk menyerang kerajaan Grahi dan ibu kotanya, Kota Grahi. Pada asalnya, penduduk Kota Grahi sememangnya sudah lama bersedia untuk menghadapi serangan dari tentera Siam Sukhothai. Walau bagaimanapun, penantian yang terlalu lama telah menyebabkan mereka menjadi leka.

Namun begitu, Adruja dan pasukan khas Seri Wijayamala sentiasa bersiap sedia. Sifat waspada mereka telah berhasil apabila pada suatu malam, salah seorang pengawalnya telah ternampak panah berapi menembusi angkasa. Pengawal tersebut lantas memaklumkan kepada Adruja mengenai sebuah kampung di sebelah utara yang mula diserang oleh tentera Siam Sukhothai.

Dengan serta-merta, Adruja dan semua anggota pasukan khas Seri Wijayamala berlengkap lalu menunggang kuda mereka dan menyerbu keluar mengikut rakan-rakan yang membawa obor. Setelah tiba, Adruja mendapati tentera Siam Sukhothai sedang mengganas. Mereka membakar kampung, membunuh segala lelaki dan mengheret wanita keluar dari kampung itu.

Seorang panglima Siam Sukhothai telah merebahkan seorang perempuan muda ke tanah untuk mencabulnya. Melihat keadaan tersebut, Adruja segera menebas leher panglima tersebut dengan kelewang panjang miliknya yang dinamakan Kilatan. Kemudian, baginda seraya memberi arahan kepada pasukan Seri Wijayamala:


“Bunuh kesemuanya! Jangan biarkan sesiapapun terlepas! Cincang yang masih bernafas!”

Arahan tersebut segera dipatuhi. Ada di kalangan para pengikut Adruja yang mengalami muntah-muntah serta pengsan setelah melihat darah, kepala musuh terpelanting dan terdengar jeritan tatkala musuh disembelih.

Pada malam itu, Adruja berjaya menyelamatkan ramai wanita Melayu. Tiada seorang pun tentera Siam Sukhothai yang berjaya pulang ke markas mereka. Adruja dan para pengikutnya pula hanya mengalami luka-luka kecil. Mereka berjaya membuktikan kecekapan mereka di medan perang.

Semua pihak di negeri Siam Sukhothai telah mula berasa gentar setelah angkatan perang mereka tidak pulang ke markas. Namun begitu, tidak sedikit pun terguris di hati Raja Rama Khamhaeng walaupun telah kehilangan ratusan tenteranya.

Sebaliknya, raja zalim itu telah mengambil keputusan untuk menyerang Grahi dan Kota Grahi sekali lagi. Pada kali ini, baginda sendiri yang akan mengetuai bala tenteranya.

Sementara di Kota Grahi pula, Raja Sang Tawal telah mendapat maklumat mengenai bala tentera Siam Sukhothai yang sudah menghampiri sempadan Grahi. Baginda segera mengarahkan semua menteri dan panglima perang (kecuali Adruja Wijayamala Singa) datang berunding.

Selesai mesyuarat, Raja Sang Tawal telah menitahkan supaya Adruja tinggal di dalam Kota Grahi sementara baginda dan para tentera Grahi keluar menentang musuh. Arahan ayahandanya itu telah membuatkan Adruja berasa begitu geram kerana tidak dibenarkan untuk turut serta berperang.

Selepas Raja Sang Tawal dan para tenteranya keluar dari Kota Grahi untuk menentang tentera Siam Sukhothai, seorang perempuan penduduk kota yang mengenali Adruja datang bertanya:

“Wahai Dewi Durga, kenapa tidak turut serta?”

“Raja fikir aku perempuan biasa. Layak menunggu di dalam kota sahaja”.

Kata Adruja kepada perempuan tersebut. Lantas perempuan tersebut berkata:

“Tapi… kami dengar cerita dari orang Tuan Puteri sendiri,
banyak kampung di utara Grahi telah Tuan Puteri selamatkan”.

Setelah mendengar kata-kata perempuan tersebut, maka tersenyumlah sang puteri seorang diri. Adruja mula menyedari bahawa perihal itu tidak pernah dilaporkan kepada Raja Sang Tawal dan sememangnya ingin dirahsiakan.

Sepanjang pagi tersebut, Adruja berasa gelisah. Tatkala tengah hari pula, nalurinya mengatakan ada sesuatu yang tidak kena. Lalu diarahnya Puspa supaya pergi selidik di luar Kota Grahi.

Alangkah terkejutnya Puspa apabila melihat tentera Siam Sukhothai telah berjaya mencerobohi kota. Mereka membunuh dan bertindak ganas terhadap orang-orang tua, kanak-kanak dan wanita di dalam Kota Grahi.

Ternyata Rama Khamhaeng seorang yang licik. Raja tersebut telah membahagikan angkatan tenteranya kepada dua ketumbukan - satu untuk berperang dengan angkatan tentera Raja Sang Tawal di medan perang manakala yang satu lagi pula untuk menyerang Kota Grahi secara senyap dan mengejut.

Puspa segera memaklumkan kepada puterinya. Adruja lantas mengarahkan semua anggota Seri Wijayamala bertindak. Kehadiran mereka telah mengejutkan pihak musuh.

Pencerobohan itu akhirnya berjaya dihindari dan Kota Grahi terselamat. Namun begitu, itulah pertama kali hati Adruja berasa amat hiba dan remuk-redam kerana perbuatan pihak musuh yang amat zalim terhadap orang-orang yang lemah.

Pasukan Seri Wijayamala menangis teresak-esak, sambil mendakap para wanita dan kanak-kanak yang meraung. Air mata Adruja jatuh berlinangan.

Benarlah jangkaan Adruja. Di medan perang, segala pasukan bergajah Siam Sukhothai sedang meredah dan merempuh apa sahaja di hadapan mereka. Orang dan kuda habis dibelit dengan belalai, dipijak dengan kaki atau dirodok oleh gading gajah.

Lima anggota Seri Wijayamala telah bersiap-sedia dengan tombak bercangkuk. Mereka turut dibantu oleh pasukan berpanah dan pasukan yang memakai kusa - sejenis alat yang ditakuti gajah.


Sementara itu, Puspa pula diarahkan untuk memegang bendera khas Adruja Wijayamala Singa, iaitu corak helang merah berlatarkan kuning. Tiba-tiba, mata Puspa terpandang ke arah pasukan bergajah Siam Sukhothai yang juga mengibarkan bendera pihak musuh.

“Tuan Puteri! Itu dia, Rama Khamhaeng!”

Adruja terus memecut kuda putihnya ke arah gajah hitam khas milik Rama Khamhaeng tanpa menghiraukan segala hiruk-pikuk di sekitarnya. Api kemarahan dari lubuk hati Adruja telah mengalir ke tangannya yang menggenggam erat Kilatan yang berkilauan disambar matahari petang.

Adruja mengarahkan pasukan berpanahnya supaya memanah semua askar di sekeliling Rama Khamhaeng. Setelah kesemuanya mati terbunuh, baginda lantas mengarahkan pengikutnya supaya membaling tombak ke arah Rama Khamhaeng. Beberapa tombak telah terkena pada tubuh raja tersebut lalu meragut nyawanya. Jasadnya terkeluar dari rengga gajah lalu jatuh rebah ke bumi.

Adruja dengan pantas terus merodok pusat Rama Khamhaeng dengan Kilatan, lalu ditusuknya ke atas hingga ke tenggorok. Pecahlah jantung dan terburailah segala tali perut dengan semburan darah membuak-buak. Kelewang dicabut, lalu leher raja tersebut ditebas hingga terpisahlah kepalanya dari tubuh. Kemudian, Puspa mengambil kepala Rama Khamhaeng dan menancapnya pada hujung tombak lalu diberikan kepada Adruja.

“Heret bedebah ini ke laut! Cincang sesiapa yang cuba menghalang!”

Jerit Adruja kepada pasukan Seri Wijayamala. Dua orang wirawati segera mengangkat kedua-dua belah kaki Raja Siam Sukhothai itu lalu mengheretnya dengan kuda menuju ke pantai.

Perbuatan tersebut telah menyebabkan tentera Siam Sukhothai bersikap seperti orang gila. Mereka cuba untuk mendapatkan kembali kepala Rama Khamhaeng. Adruja dengan segera mencantas dan menebas mereka. Para tentera Siam Sukhothai yang cuba mendapatkan badannya pula terus dipanah oleh pasukan berpanah Seri Wijayamala.

“Seroja, bawa balik kepala ini. Biar beta selesaikan saki-baki anjing-anjing ini.”


Para tentera Siam Sukhothai mula hilang semangat setelah menyaksikan kematian raja mereka. Tiada apa yang boleh mereka lakukan selain berlutut meratap menyembah bumi. Itulah hari bencana besar bagi bangsa Siam (Thai) dari negara Sukhothai kerana tidak menjangka yang mereka akan mati dibunuh oleh seorang puteri raja dengan pasukan khas wanitanya yang bengis.

Adruja mengarahkan semua wirawati supaya mencantas belalai gajah-gajah milik tentera Siam Sukhothai. Pada mulanya, mereka tidak sampai hati hendak membunuh haiwan-haiwan tersebut. Setelah melihat Adruja sendiri mencantas belalai gajah hitam milik Rama Khamhaeng, akhirnya mereka turut berbuat demikian.


Habis semua gajah jatuh merempuh pihak musuh. Barisan hadapan tentera Siam Sukhothai yang berlutut meratapi kehilangan raja mereka turut diranap oleh gajah mereka sendiri. Saki-baki tentera Siam Sukhothai yang lainnya habis dibunuh oleh Adruja dan pasukan khas Seri Wijayamala.

Sementara itu, badan Raja Rama Khamhaeng yang sedang diheret ke pantai pula terus ditombak dan dicincang sepanjang jalan sehingga hanya tinggal rangka dan cebisan daging sahaja. Setelah tiba di tepi pantai, badannya dicampak lalu dihanyutkan ke Laut China Selatan.

Perbuatan tersebut dilakukan di hadapan tentera Siam Sukhothai yang mengiringi mayat raja mereka. Akibat terlalu takut, maka larilah saki-baki tentera musuh untuk menyelamatkan nyawa mereka.

Setelah berakhirnya perang, pasukan khas Seri Wijayamala membantu rakan-rakan mereka yang tercedera dan membawa mereka pulang ke Grahi. Adruja adalah orang terakhir yang meninggalkan medan perang, ketika merah senja mewarnai langit di sebelah barat. Menurut catatan sejarah, peristiwa Adruja memenggal kepala Raja Rama Khamhaeng ini berlaku pada tahun 1317 Masihi.

Beberapa bulan kemudian, datanglah rombongan dari negara Siam Sukhothai untuk menebus kembali kepala raja mereka. Rombongan tersebut terdiri daripada puluhan sami berjubah kuning pinang masak, berkepala botak, berkaki ayam sambil membawa 10 pedati berisi emas dan perak. Mereka memohon kepada Raja Sang Tawal untuk bertemu dengan Adruja.


Setelah Raja Sang Tawal tiba di halaman istana bersama Adruja, semua sami berkenaan berlutut lalu menyembah kedua-dua raja dan puteri tersebut. Ketua sami terus menyampaikan hasrat mereka. Setelah kepala Raja Rama Khamhaeng diberikan, mereka terus pulang ke negara Siam Sukhothai sambil meratap.

Ketika saat kemangkatan Raja Rama Khamhaeng, puteranya yang bernama Loethai sedang berada di tanah besar China untuk menghadap Maharaja China. Alangkah terkejutnya Loethai setelah mengetahui ayahandanya mangkat dibunuh oleh seorang puteri Melayu. Setelah pulang ke tanah air, Loethai telah ditabalkan sebagai pemerintah yang baharu dengan gelaran Raja Loethai.

Meskipun mengalami kekalahan teruk, namun pihak Siam Sukhothai tidak pernah belajar dari kesilapan. Sebaliknya, Raja Loethai dan bangsa Siam (Thai) telah bersumpah akan menghapuskan seluruh bangsa Melayu di Semenanjung Tanah Melayu. Mereka nekad mahu menjajah Grahi serta bumi Semenanjung demi menuntut bela di atas kematian Raja Rama Khamhaeng.

Setiap kali pasukan tentera dari kedua-dua belah pihak bertembung di medan perang, tentera Siam Sukhothai sentiasa mencabar pahlawan Melayu untuk beradu ketangkasan satu lawan satu di hadapan kedua-dua angkatan perang.


Adruja adalah individu yang sering dicabar keluar kerana pihak musuh sememangnya berniat mahu membunuh puteri tersebut demi menuntut bela di atas kematian bekas raja kesayangan mereka. Setelah pertarungan hebat satu lawan satu berakhir, hanya Adruja seorang sahaja yang tinggal dengan Kilatan berlumuran darah.


Setelah sekian lama bertahan dari serangan tentera Siam Sukhothai, akhirnya kerajaan Grahi dan Kota Grahi jatuh juga pada tahun 1325. Kekalahan tersebut menandakan bermulanya zaman pencerobohan bangsa Siam (Thai) di bumi Semenanjung Tanah Melayu.


Kejatuhan kerajaan Grahi dan ibu kotanya, Kota Grahi telah memaksa Raja Sang Tawal berundur ke arah selatan. Pengunduran secara besar-besaran itu turut disertai oleh seluruh kerabat diraja Grahi, para menteri, panglima perang, rakyat jelata dan juga pasukan khas Seri Wijayamala.


Dari Kota Grahi, Raja Sang Tawal dan rombongan pelariannya telah berundur ke Merdalong. Setelah tiba di Merdalong, mereka menuju pula ke Sanjura. Ketika di Sanjura inilah, Raja Sang Tawal telah mengarahkan supaya dibina sebuah kota di Langkasuka untuk dijadikan sebagai pusat pemerintahan yang baharu.

Setelah siap, kota tersebut diberi nama Kota Mahligai. Raja Sang Tawal dan seluruh ahli keluarganya telah berpindah ke Langkasuka lalu bersemayam di Kota Mahligai. Baginda telah ditabalkan sebagai Raja Langkasuka dan memerintah negeri tersebut selama 10 tahun.



Sebelum Raja Sang Tawal mangkat pada tahun 1335, baginda telah menyerahkan takhta kerajaan Langkasuka kepada salah seorang puteranya iaitu Raja Bharubhasa. Di bawah pemerintahan Raja Bharubhasa inilah, Langkasuka telah bertukar menjadi sebuah kerajaan Islam dan semakin ramai penduduknya yang memeluk Islam.

Pada masa yang sama, Raja Sang Tawal juga telah menganugerahkan sebuah negeri kepada Adruja sebagai mengenang jasa puteri kesayangannya itu yang telah berperang demi tanah air serta mencantas kepala Raja Rama Khamhaeng. Negeri tersebut diberi nama Serendah Sekebun Bunga atau nama lainnya, Kisaran Payung.


Setelah kemangkatan Raja Sang Tawal pada tahun 1335, Adruja Wijayamala Singa telah ditabalkan sebagai pemerintah pertama di negeri Serendah Sekebun Bunga atau Kisaran Payung. Pusat pemerintahan negeri tersebut terletak di Kuala Krai (kini Jajahan Kuala Krai di Kelantan). Pasukan khas Seri Wijayamala turut tinggal bersama Adruja.

Dalam tempoh yang singkat, Serendah Sekebun Bunga (Kisaran Payung) telah berubah menjadi sebuah negeri yang sungguh indah di bawah pemerintahan Adruja. Baginda juga diberi gelaran 'Cik Siti Wan Kembang' oleh rakyat tempatan.

Lama-kelamaan, gelaran tersebut telah menjadi satu gelaran rasmi bagi semua raja perempuan yang memerintah negeri tersebut. Menurut sumber pensejarahan di negeri Kelantan, Adruja Wijayamala Singa ialah Cik Siti Wan Kembang yang pertama.


Selepas 10 tahun memerintah, Adruja Wijayamala Singa mangkat pada tahun 1345. Meskipun makam raja perempuan tersebut tidak pernah ditemui hingga ke hari ini, namun baginda dipercayai telah dimakamkan di sekitar Jajahan Kuala Krai di Kelantan.

Adruja merupakan seorang ratu dara (the virgin queen) kerana baginda tidak pernah berkahwin seumur hidupnya. Ini sekaligus bermakna baginda tidak mempunyai waris keturunan. Oleh sebab itulah, Raja Bharubhasa iaitu saudara kandung Adruja yang juga merupakan Raja Langkasuka telah bertindak mengambil alih negeri tersebut.

Sebagai pemerintah yang baharu, Raja Bharubhasa mula menggunakan gelaran Sultan Mahmud Syah. Kemudian, baginda telah menyerahkan takhta kerajaan Langkasuka kepada saudara kandungnya yang bernama Raja Singhadiraja atau Raja Sulaiman.

Kesultanan Serendah Sekebun Bunga atau Kesultanan Kisaran Payung terus diperintah oleh keturunan Raja Bharubhasa (Sultan Mahmud Syah) selama beberapa generasi.

Demikianlah kisah seorang wirawati melayu yang pernah menggegarkan bangsa siam sukhothai suatu masa dahulu. Wahai bangsaku, ingatilah kisah wirawati ini, janganlah dilupakan. Kita ini bangsa yang penuh dengan perjuangan. Berjuanglah demi agama, bangsa dan juga tanah air kita yang tercinta ini.

Wallahu A'lam.



Sumber rujukan;

Sejarah Bangsa Melayu yang hilang
101 Puteri Dunia Melayu - Sejarah dan Legenda.
Pensejarahan Patani.
Ahlul-Bait (Keluarga) Rasulullah S.A.W & Kesultanan Melayu.
Hikayat Seri Kelantan.
Tun Seri Lanang : Sejarah dan Warisan Tokoh Melayu Tradisional.
Perkahwinan dan Kekeluargaan Raja-raja Melayu dalam Sejarah Melayu.
Kesultanan Melayu Kedah.
Laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu @ DBP
Institusi Bendahara; Permata Melayu Yang Hilang ; Dinasti Bendahara Johor-Pahang.
‘Jiwa kental Sheikh Mahmud’ - Laman web Berita Harian Online (20/08/2011).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Saudara2ku yang dihormati dan semua yang mengunjungi blog ini, terimakasih saya ucapkan kerana telah sudi meluangkan masa di sini, semoga kehadiran kalian berakhir dengan manafaat. Walau bagaimanapun, saya tetap insan yang lemah, segala kesilapan saya silalah ditegur, dikritik dan dinasihati ..

Ikutiku di Twitter

Related Posts with Thumbnails