Cari Blog Ini



Allah Telah Menjanjikan Kepada Orang-Orang Yang Beriman Dan Mengerjakan Amal Sholeh Untuk Menjadikan Mereka Sebagai Khalifah Di Muka Bumi Ini Sebagaimana Ia Telah Menjadikan Orang-Orang Sebelum Mereka Sebagai Khalifah, Menyebarkan Bagi Mereka Agama Yang Telah DiredhoiNya Untuk Mereka Secara Merata Dan Menggantikan Ketakutan Mereka Dengan Rasa Keamanan (sehingga) Mereka Dapat Menyembah-Ku Dan Tidak MenyekutukanKu. Barangsiapa Engkar Setelah Itu, Merekalah Orang-Orang Yang Fasiq-An-Nur : 56


Wahai Orang-Orang Yang Beriman Barangsiapa Dari Kalian Berpaling (murtad) Dari Agamanya Maka Allah SWT Akan Memunculkan Sekelompok Kaum Yang Dia Cinta Mereka Dan Mereka Juga MencintaiNya -Al-Maidah :54


Ternyata Sekarang Ini Dunia Telah Dipenuhi Dengan Pemimpin Zalim Baik Dari Negara Kafir Mahupun Dalam Negara Muslim Sendiri...


Namun Masanya Sudah Hampir Tiba, Dunia Akan Diwarisi Oleh Hamba-Hamba Tuhan Yang Sholeh. Dia Akan Memenuhi Dunia Dengan Keadilan Setelah Dunia Ini Dipenuhi Dengan Kezaliman Para Pemimpin..




Penyelamat Umat Itu bakal Datang tidak lama lagi...!!!

PeNGiKuT NaN SeTia..

Ahad, 14 November 2010

Hikayat Badang Perkasa...

Salam saudara2ku yang dikasihi,

Catatanku yang terkini hanya bacaan santai sahaja buat melegakan pemikiran yang tegang.. Sebuah kisah kehebatan bangsa Melayu dahulu kala. Samaada ianya hanya sekadar hikayat atau lagenda atau sejarah yang benar-benar berlaku, ini terpulang pada fikiran dan pendapat masing-masing..






Arakian pada zaman dahulu terdapatlah seorang hamba di Temasik. Akan hamba itu bernama Badang dan tuannya pula bernama Orang Kaya Nira Sura. Akanpun kerja Badang pula sehari-hari menebas hutan untuk tuannya untuk bercucuk tanam. Ketika itu amat payahnya Badang mendapatkan makanan, hanya umbut dan pucuk pokok menjadi lauknya sehari-hari. Maka datanglah rasa jemu memakan umbut dan pucuk semata-mata.

Di pinggir tempat Badang menebas itu ada sebatang anak sungai mengalir. Maka Badang sering singgah di tebing anak sungai itu untuk melepas lelah sambil membersihkan dirinya selepas sehari-hari menebas. Maka pada suatu hari ketika Badang sedang berehat-rehat di tebing anak sungai, dia melihat banyak ikan melompat-lompat dengan galaknya, maka dia pun berfikir-fikir "Tempat ini bagus kalau menahan lukah."

Setelah itu diapun kembali menebang hutan. Ketika sedang menebas semak-samun, Badang ternampak serumpun buluh lalu dia berasa sukacita. Apabila hari telahpun petang, Bandang pun segeralah pergi menebang buluh-buluh itu lalu diletakkannya ditebing sungai. Setelah itu dia pun meraut buluh itu untuk dibuat lukah. Keesokkan harinya, Badang bangun pagi-pagi lagi dan bersegeralah menebang hutan. Apabila hari sudah petang, Badang kembali ke tempat dia menyimpan buluh yang di raut semalam. Badang dengan cepat menyiapkan lukahnya itu. Setelah lukahnya siap, Badang memacakkan buluh menjadikan genting lalu memasang lukahnya digenting anak sungai tersebut. Setelah Badang siap memasang lukah, hari sudahpun beransur malam. Badang pun bersiap lalu tidur.

Setelah fajar mula menjelang keesokkan harinya, Badang pun bangun lalu pergi memeriksa lukahnya. Alangkah hampanya Badang kerana melihatkan lukahnya telah diusik orang dan kosong. Yang tinggal di dalam lukah hanyalah tulang dan sisik ikan yang bertimbun-timbun. Setelah Badang memasangkan lukahnya kembali, dia pun kembali pergi menebang pokok dan menebas semak. Pada keesokkan harinya, Badang kembali memeriksa lukahnya dan dia berasa sungguh hampa sekali lagi kerana hanya sisa tulang dan sisik ikan yang tinggal di dalam lukahnya. Badang merasa sungguh meradang dan dia berazam untuk menangkap orang yang bertanggungjawab mencuri ikan-ikannya itu. Badang memasang lukahnya kembali sebelum pergi menebang pokok diatas tanah tuannya.

Pada sebelah petangnya setelah habis bekerja, Badang memeriksa lukahnya kembali, tetapi tidak diusik orang. Badang pun pergilah membersihkan diri dan bersembahyang dan berzikir. Setelah selesai mengerjakan sembahyang Isya, Badang pun kembali ketempat dia menahan lukah tersebut. Setelah sampai ketebing anak sungai tersebut, Badang pun menyorok dibelakang serumpun belukar dan duduk menunggu. Setelah lama menunggu, maka dilihatnya air anak sungai itu berombak-ombak, dan dengan tiba-tiba muncul satu lembaga yang menjulang lukahnya. Maka dilihat oleh Badang lembaga itu membawa lukahnya ke tebing anak sungai tersebut lalu sibuk meratahnya.

Badang merasa sungguh marah lalu dia menghunus goloknya lalu mara perlahan-lahan kearah lembaga itu. Setelah hampir dengan lembaga itu, Badang melompat dengan cepat lalu meragut janggut lembaga itu yang panjang berjuntai. Lembaga itu meronta-ranta hendak melepaskan diri, tetapi Badang tetap menggenggam janggut lembaga itu dengan kemas. "Oh! engkaulah yang selalu mencuri ikan aku setiap hari." kata Badang dengan marah. "Aku tidak akan lepaskan engkau kali ini." katanya lagi.

Lembaga itu meraya-rayu agar dia tidak diapa-apakan. "Tolonglah tuan hamba. Lepaskan hamba. Hamba akan berikan apa sahaja yang tuan hamba minta sekiranya tuan hamba melepaskan hamba."

Mendengarkan kata-kata lembaga itu, Badang berfikir "Kalau aku meminta rumah atau kekayaan, kesemua harta itu akan menjadi milik tuan aku. Kalau aku meminta isteri yang cantik juga akan diambil oleh tuan aku. Oleh itu baik aku meminta kekuatan yang luar biasa. Oleh itu dapatlah aku membersihkan hutan ini dengan cepatnya."

"Baiklah! Aku hendak menjadi kuat." ujar Badang.

"Kalau tuan hamba hendak menjadi kuat, tuan hamba perlu memakan muntah hamba." kata lembaga itu.

"Baiklah! Cepatlah agar aku menjadi kuat." kata Badang lagi.

Lembaga itu mencapai daun pokok berhampiran dan memuntahkan kedalam daun itu. Daun itu kemudiannya diunjukkan kepada Badang. Tanpa berlengah lagi Badang segera memakan muntah hantu itu. Setelah habis, lembaga itu berkata, "Lepaskan hamba sekarang."

"Nanti dahulu!" kata Badang. "Aku ingin mencuba terlebih dahulu."





Badang berjalan kearah sebatang pokok yang batangnya sebesar sepemelok. Lembaga itu terpaksa mengikut sahaja kerana janggutnya masih dipegang dengan kemas oleh Badang. Badang cuba menolak pokok tersebut dengan sebelah tangannya yang bebas itu. Alangkah gembiranya Badang kerana dengan mudah dia dapat menumbangkan pokok tersebut dengan menggunakan sebelah tangan sahaja. Setelah itu Badang pun melepaskan lembaga tersebut setelah lembaga tersebut berjanji tidak akan mengacaunya lagi.

Badang pun segera membersihkan kawasan hutan tersebut. Pokok-pokok yang sebesar dua pemelok dapat ditumbangkannya dengan mudah sahaja dengan menggunakan tangannya sahaja.

Setelah selesai membersihkan hutan tersebut, Badang kembali kerumah Orang Kaya Nira Sura. Melihatkan Badang, tuannya merasa kehairanan. "Bukankan aku menyuruh engkau membersihkan tanah di baruh. Kenapa engkau kesini?" tanya Orang Kaya Nira Sura.

"Maafkan hamba. Hamba sudah selesai membersihkan tanah tersebut." ujar Badang.

Orang Kaya Nira Sura merasa tidak percaya dan pergi untuk melihat sendiri kebenaran kata-kata Badang. Melihatkan tanah hutan itu benar-benar telah diterangkan, Orang Kaya Nira Sura merasa sungguh gembira dan sedikit bimbang. "Gagah sungguh Badang ini. Hutan sebesar ini dibersihkannya dengan mudah juga. Kalau dia mahu tentu dia boleh mengapa-apakan aku." fikir Orang Kaya Nira Sura. "Baik aku persembahkan Badang kepada raja Temasik."

Dengan itu Badang pun dimerdekakan oleh tuannya lalu dipersembahkan kepada raja Temasik.


****    ****

Tidak berhenti setakat ini, kerana aku suka hendak menyelitkan sebuah lagi versi dari kisah ini;


Dengan parang terhunus, Badang siap untuk menyerang lembaga itu. Lembaga itu ternyata menjadi takut dan merayu meminta belas kasihan. Dia berjanji untuk memberikan Badang apa saja yang diingininya. Badang bersetuju lantas meminta agar dirinya diberikan kekuatan yang luar biasa.

Lembaga itu pun bersetuju dengan permintaan Badang tetapi menjelaskan bahawa kekuatan itu datangnya dari permata (geliga) yang dia simpan didalam perutnya. Jika Badang inginkan kekuatan yang luar biasa itu dia harus menelan permata tersebut. Lembaga itu pun batuk kecil lantas dua buah permata merah seperti batu pun keluar dari perutnya. Dia memberikan ini kepada Badang. Badang menelan permata tersebut.

Sebagaimana yang dikatakan, Badang pun mendapatkan apa yang diinginkannya. Badang masih bekerja di ladang. Ia membersihkan hutan. Dengan kekuatan barunya Badang mampu membawa hasil tuaian yang besar pada tuannya. Dengan kekuatan barunya Badang mampu membawa hasil tuaian yang besar pada tuannya. Dengan kebijaksanaannya Badang menunjukkan tuannya bagaimana menjadi seorang petani sangat berjaya. Tuannya sangat bersyukur lantas beliau membebaskan Badang dan keluarganya dari perhambaan.

Berita kekuatan Badang pun tersebar dan mendapat perhatian Seri Rama Wira Kerma, Raja Temasik. Badang dipanggil ke istana Seri Rama Wira. Raja ingin menguji kekuatan Badang.Raja meminta untuk membina sebuah perahu besar. Raja memerintahkan anak buahnya untuk membina perahu. Ketika perahu selesai, seribu laki-laki tidak boleh menolaknya. Raja meminta Badang untuk menolak perahu itu. Badang menolaknya seperti mainan ke laut. Itu adalah perahu mega. Raja bangga terhadap Badang. Dia mengundang Badang dan keluarganya tinggal di Istana. Badang menjadi penasihat raja dan panglima tertinggi.



Wallahu a'lam


**^^** **^^** **^^** **^^**   Saudara2ku yang dihormati dan semua yang mengunjungi blog ini, sila tinggalkan jejak kalian di sini, agar dapat aku membalas kunjungan dan berterimakasih seadanya diatas kesudian kalian bertandang di teratak hamba ini..

1 ulasan:

  1. Salam saudara, dari mana ya saudara dapatkan gambar-gambar di atas mengenai Badang? Tertarik dengan gaya penyampaiannya

    BalasPadam

Saudara2ku yang dihormati dan semua yang mengunjungi blog ini, terimakasih saya ucapkan kerana telah sudi meluangkan masa di sini, semoga kehadiran kalian berakhir dengan manafaat. Walau bagaimanapun, saya tetap insan yang lemah, segala kesilapan saya silalah ditegur, dikritik dan dinasihati ..

Ikutiku di Twitter

Related Posts with Thumbnails